Wacana Ringkas 34

11 0 0
                                    

Menolak Kebenaran Dan Meremehkan Manusia? Cukup Syarat Masuk Neraka!

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى ، وَمُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ ، وَإِبْرَاهِيمُ بْنُ دِينَارٍ جميعا ، عَنْ يَحْيَى بْنِ حَمَّادٍ ، قَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى : حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ حَمَّادٍ ، أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ ، عَنْ أَبَانَ بْنِ تَغْلِبَ ، عَنْ فُضَيْلٍ الْفُقَيْمِيِّ ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ النَّخَعِيِّ ، عَنْ عَلْقَمَةَ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ " ، قَالَ رَجُلٌ : إِنَّ الرَّجُلَ ، يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا ، وَنَعْلُهُ حَسَنَةً ، قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ .

Muḥammad bin al-Muṯannā, Muḥammad bin Baššār dan Ibrōhīm bin Dīnār kesemuanya telah merawi hadis kepada kami daripada Yaḥyā bin Ḥammād. Ibn al-Mutsanna berkata; Yaḥyā bin Ḥammād telah merawi hadis kepada kami; Šu*bah telah merawi khabar kepada kami, daripada Abān bin Taghlab, daripada Fuḍoyl al-Fuqomiyy, daripada Ibrōhīm an-Naẖo*iyy, daripada *Alqomah, daripada *Abbdullah bin Mas*ūd, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-: "Tidak masuk syurga sesiapa yang di dalam jantungnya terdapat seberat zarah daripada kesombongan". Seorang lelaki berkata: "Sesungguhnya orang itu menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang bagus". Dia berkata: "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia". [Ṣoḥīḥ Muslim, kitab kitāb al-Īmān, no. 134].

Apabila kita mengingatkan dan mendedahkan bagaimana falasi dan bias boleh mempengaruhi sikap kita dalam menghadapi hujah ilmiah, ia sebenarnya adalah sangat penting untuk dijelaskan kerana ia adalah penentu sama ada seseorang itu ke syurga atau ke neraka.

Kita dedah dan kupas bagaimana Ad-Hominem yang suka membangkitkan isu-isu peribadi berbanding untuk terus kepada hujah yang diutarakan menyebabkan seseorang tidak mahu mendengar kebenaran atas sebab menganggap lekeh terhadap isu peribadi yang diungkitkan. Kita dedah dan kupas bagaimana kesan Kontras mempengaruhi sangka buruk terhadap kemampuan orang lain dalam ilmunya tanpa didasari fakta yang sebenar hanya kerana kurang atau tiada kelebihan yang dibandingkan dengan tokoh ikutannya, lalu dengan sangka buruk itu, dia menutup telinga daripada mendengat kebenaran dan mencemuh mereka yang tidak sependapat.

Kita dedah dan kupas bagaimana Argumentum Ad Verecundiam menatijahkan sikap ketaksuban terhadap sesuatu pihak sehingga seseoang enggan memperhatikan hujah orang lain yang diutarakan dan menjadikan pertentangan itu sebagai penghalalan untuk mempersenda orang lain. Kita dedah dan kupas bagaimana falasi Bandwagon yang juga menatijahkan ketaksuban kerana sesuatu itu dilakukan atau dipercayai oleh orang ramai, lalu ia menjadikan perlawanan itu sebagai ruang luas untuk mencemuh orang lain. Dan banyak lagi.

Kita peringatkan ini sebab dosa seperti ini sangat mudah menjerumuskan ke dalam neraka. Ya! Hanya semudah enggan menerima kebenaran dan memperlekeh manusia! Ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Saya fikir sudah sampai masanya dalam pendidikan tazkiyah an-Nafs atau seumpamanya memasukkan isu-isu falasi dan bias dalam pendidikan fardu ain yang paling penting sekali. Jika kita menyedari bahawa sangat bahayanya dosa ini dan ia adalah jalan paling mudah untuk menggelincirkan orang lain ke kancah dosanya, maka ia adalah sesuatu yang perlu kita perlu mendapatkan pemantapan dalam pemahaman dan keteguhan dalam jiwa.

Sebab itu, jalan yang paling selamat adalah diam. Mungkin faktor seseorang itu menolak pendapat orang lain atau bersikap degil bukan kerana dia sengaja memilih jalan itu, tetapi kerana dia masih belum ada keyakinan dan rujukan atau kemampuan yang cukup untuk membuat kajian. Kita perlu toleransi, memaafkan dan teruskan menyampaikan kebenaran. Namun, jika sampai menjadi seorang penentang, lebih-lebih lagi dia sedar yang dia bukanlah sang mapan dalam bahagian tersebut, maka inilah yang dikhuatiri.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/624165085159505920/wacana-ringkas-34-menolak-kebenaran-dan

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now