Wacana Ringkas 25

7 0 0
                                    

Tenaga Pengajar Bahasa Arab Perlu Jauhi Ini Sepanjang Pengajarannya

Saya mendoakan kepada semua yang berkhidmat sebagai tenaga pengajar bahasa Arab dalam jasanya untuk merapatkan masyarakat kepada ilmu alat agama yang begitu vital dan krusial agar sentiasa dalam rahmat Allah *Azza Wa Jalla. Bahasa Arab adalah kunci kepada khazanah kefahaman agama bagi mereka yang mahu mencapai ke darjat yang lebin tinggi. Jadi, mereka ini sesungguhnya adalah pendidik yang mempunyai kedudukan yang besar dalam agama ini.

Di sini, saya ingin coretkan pesanan kepada mereka yang terjebak dalam kekhilafan ini dalam keadaan mereka tidak sedar yang mana ini adalah suatu kekhilafan yang serius dan tersebar sehingga boleh menimbulkan suatu tanggapan buruk terhadapnya. Saya harap tenaga pengajar bahasa Arab yang telah membaca ini agar menyemak semula pengajarannya supaya tidak lagi terbabas kepada kesilapan ini.

Pertama, setiap orang ada matlamat masing-masing dan tahap yang mahu dicapai dalam pembelajaran bahasa Arab. Ada yang cukup dapat membaca karya berbahasa Arab. Ada yang mahu memantapkan lagi sehingga dapat menghasilkan karangan dan berkomunikasi. Ada yang telah tekad cita-citanya untuk sampai ke peringkat karier penterjemahan dan interpretasi. Setiap tahap ada keistimewaannya tersendiri. Ada juga mereka yang menyerlah antara salah satu tahap, tetapi tidak tahap yang lain da ada juga mereka yang boleh merangkul kecemerlangan untuk semua. Oleh itu, saya pesan kepada tenaga pengajar bahasa Arab jauhilah daripada menganggap orang yang mampu membaca kitab yang berbelit-belit bahasanya, tetapi tidak dapat berkomunikasi dengan baik, maka dia masih belum cukup pandai atau malah diperlekehkan pula.

Saya memang mengenali beberapa orang, terutamanya lepasan pengajian pondok yang sememangnya jika dibentangkan kitab-kitab klasik yang bahasanya cukup kompleks, dia mampu merungkaikannya semudah menepis lalat. Namun apabila kita cuba ingin berkomunikasi dengannya dalam bahasa Arab, dia seolah-olah seperti tidak pernah belajar bahasa Arab. Adakah mereka ini masih dikira bodoh? Tidak! Sama sekali tidak! Dia sudah dikira pandai untuk tahapnya. Dan dia sememangnya menyerlah pada bahagian itu. Walaupun dia tidak mampu bertutur untuk yang asas, tetapi dia telah memperoleh yang terbaik untuk bahagian pembacaan. Raikanlah kejayaan pada tahap yang dicapai masing-masing. Tidak perlu dibanding-bandingkan pandai atau bodoh hanya dengan melihat tahap, tetapi tidak melihat sejauh mana pencapaian individu tersebut.

Kedua, mana-mana yang mendakwa dia adalah Muslim pasti dan wajib mengakui bahawa tiada bahasa yang hebat setanding al-Qur^ān dan kalam Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Meskipun cara penuturan dan ungkapannya tidak diamalkan atau tidak dapat diamalkan oleh orang ramai kerana kesukarannya dan pertuturan orang ramai lebih selesa dengan bahasa pasar, tetap ia adalah yang terunggul lagi terhebat. Pun begitu, saya melihat sesetengah tenaga pengajar tidak menjaga adab dalam meletakkan hak al-Qur^ān yang tidak tercabar istimewanya, terutamanya semasa pengajaran komunikasi.

Sememangnya kalau kita menggunakan gaya pertuturan sepertimana al-Qur^ān dalam komunikasi harian, orang awam akan merasa kehairanan, pelik dan sukar difahami. Malah, kita pun sukar untuk melangsungkan kehidupan jika tidak tahu selok belok cara ungkapan orang ramai di sana dan kita juga akan sukar untuk mencapai kesefahaman bersama dalam interaksi disebabkan tidak meluas penggunaannya. Namun, janganlah sampai mencipta imej bahawa loghat Mesir atau Saudi atau Jordan atau Sudan atau Yaman atau selainnya dianggap superior berbanding al-Qur^ān. Janganlah sampai mencipta konotasi bahawa penggayaan al-Qur^ān bagaikan kurang nilainya jika dibandingkan dengan loghat bahasa pasar. Janganlah sampai menganggap bahawa cara ekspresi al-Qur^ān tidak ada keunggulannya hanya kerana orang tidak menggunakannya.

Bukankah sepatutnya menjadi seorang Muslim yang begitu tinggi kecintaannya terhadap al-Qur^ān akan berusaha sedaya upaya untuk meneledani dan meniru ekspresinya? Bukankah gaya bahasa al-Qur^ān ini menjadi kebanggaan kepada umat Islam kerana kehebatannya? Jadi, berhati-hatilah dalam bicara.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623339518386421760/wacana-ringkas-25-tenaga-pengajar-bahasa-arab

com/post/623339518386421760/wacana-ringkas-25-tenaga-pengajar-bahasa-arab

Oops! Ang larawang ito ay hindi sumusunod sa aming mga alituntunin sa nilalaman. Upang magpatuloy sa pag-publish, subukan itong alisin o mag-upload ng bago.
Al-H̱iṭōb al-WajīzTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon