Wacana Ringkas 118 : Kepentingan Mengetahui Kedudukan Perselisihan Pandangan

4 0 0
                                    

Bukan semua pandangan dikira muktabar. Ini kerana pandangan seseorang tokoh bukan sekadar pandangan semata-mata. Adakalanya suatu pandangan itu memberi kesan sama ada secara signifikan atau kecil kepada isu-isu yang lain yang bersangkutan dengannya walaupun asal isunya adalah pada perkara yang khusus. Atas sebab itulah, betapa pentingnya untuk kita mengenal kedudukan perselisihan pandangan kerana bukan semua perbezaan pandangan boleh diraikan, diterima dan ditoleransi sebegitu sahaja.

Kita ambil contoh tentang dakwaan Ibn Ḥajar al-Haytamiyy yang menyebutkan tentang berlakunya penyisipan palsu terhadap kitab al-Ġunyah karya *Abdul Qōdir al-Jaylāniyy :

وإياك أن تغتر بما وقع في الغنية لإمام العارفين وقطب الإسلام والمسلمين الأستاذ عبد القادر الجيلاني ، فإنه دسه عليه فيها من سينتقم الله منه وإلا فهو بريء من ذلك وكيف تروج عليه هذه المسألة الواهية مع تضلعه من الكتاب والسنة وفقه الشافعية والحنابلة حتى كان يفتي على المذهبين

"Waspadalah engkau dari tertipu dengan apa yang terjadi al-Ġunyah karya imam orang arif serta kutub Islam dan kaum muslimin, al-Ustāḏ *Abdul Qōdir al-Jaylāniyy kerana ia telah disisippalsukan ke atasnya oleh segelintir orang yang akan Allah akan mendendami mereka kerananya. Jika, maka dia terbebas dari hal itu. Bagaimana teredarnya permasalahan pincang itu kepadanya bersama penguasaannya dalam al-Kitāb dan as-Sunnah serta fiqh aš-Šāfi*iyy dan Ḥanbaliyy sehingga dia berfatwa dengan dua mazhab?". [Al-Fatāwā al-Ḥadīṯiyyah, m/s 145, keluaran Dār al-Fikr].

Kita perlu tahu bahawa apabila kita menerima dakwaan ini, ia sebenarnya memberikan impak yang besar, iaitu keabsahan kandungan dalam kitab tersebut walaupun ia sabit penisbahannya kepada empunya penulisnya. Ini bermakna kandungan yang ada dalam karya tersebut memiliki unsur-unsur keraguan dan tidak boleh dijadikan sandaran atau rujukan.

Akan tetapi, para fuqaha mazhab Ḥanbaliyy yang hidup selepas Ibn Ḥajar al-Haytamiyy banyak mengutip pandangan daripada kitab tersebut. Antaranya adalah Mansūr bin Yūnus al-Bahūtiyy dalam Kašf al-Qinā* *An Matn al-Iqnā*, *Abdullah bin *Abdul Roḥmān al-H̱olwatiyy dalam Kašf al-Muẖoddarōt Wa ar-Riyāḍ al-Muzhirōt Li Šarḥ Aẖḍor al-Muẖtaṣorōt, as-Saffāriniyy dalam Ġiḏā^ al-Albāb Fī Šarḥ Manẓūmah al-Ādāb, *Abdul Qōdir bin *Umar dalam Nayl al-Ma^ārib Bi Šarḥ Dalīl aṭ-Ṭōlib, Muṣṭofā bin Sa*d ar-Ruḥaybāniyy dalam Maṭōlib Ūlī an-Nuhā Fī Šarḥ Ġōyah al-Muntahā dan pelbagai fuqaha Ḥanbaliyy banyak menukilkan dari kitab ini.

Bayangkan kalau kita menerima dakwaan al-Haytamiyy ini meskipun sekadar perselisihan yang muktabar, bukan pendapat yang dirajihkan. Ia bermaksud nukilan mereka ini boleh diragukan dan dipertikaikan autentiknya. Akan tetapi, perkara ini tidak pernah dibangkitkan oleh sesiapa pun, khususnya daripada tokoh Ḥanābilah sepertimana yang dibangkitkan oleh al-Haytamiyy. Apakah mungkin tokoh Ḥanābilah ini sengaja bersepakat untuk menyelindungkan perkara ini? Atau sebenarnya dakwaan al-Haytamiyy ini perlu dipertikaikan?

Kita perlu tahu bahawa beban bukti terletak pada pendakwa. Oleh kerana tiada bukti atau dalil yang menunjukkan hal tersebut, maka dakwaan al-Haytamiyy ini tidak boleh diambil kira. Lantaran itu, kandungan yang ada dalam al-Ġunyah ini bebas daripada keraguan memandangkan ia tidak menjadi isu dalam kalangan sarjana Ḥanābilah dan yang sampai kepada kita hari ini adalah juga adalah selamat sepertimana yang aslinya dengan izin Allah.

Begitu juga pandangan sebahagian sufi yang menerima kesahihan hadis melalui kasyaf atau ilham atau anugerah ketuhanan yang lain seperti mimpi atau sebagainya. Dengan kata lain, jika ada hadis yang dipertikaikan kesahihannya melalui pertimbangan metodologi yang digariskan ahli hadis, maka perolehan kasyaf atau ilham boleh menjadi hakim untuknya.

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now