Wacana Ringkas 41 : Fahami Realiti Melalui Kaca Mata Realitinya

5 0 0
                                    

Britain dan Jepun pada zaman penjajahan Malaysia belum tentu sama dengan zaman kemerdekaan hari ini. Zaman penjajahan dahulu, sememangnya banyak rekod yang menunjukkan perlakuan buruk dan kejelakan para penjajah serta mungkin ada beberapa pujian yang boleh diterima pada praktik yang dilakukan penjajahan. Sekalipun begitu, mereka belum tentu sama dengan realiti hari ini. Apabila seseorang cuba mendeskripsikan Britain dan Jepun pada zaman ini dengan berdasarkan lensa yang dilihat pada zaman dahulu yang berlainan, pasti dia telah melakukan penyelewengan faham sekalipun sumber yang dinyatakan itu tepat dan autentik. Yang salah bukanlah teks itu, tetapi cara memahami teks dan melihat realiti secara perbandingan itulah yang menjadi permasalahan dirinya.

Sememangnya boleh sahaja seseorang menyebutkan "sebahagian penjajah telah melakukan itu ini" atau "suatu pihak telah melakukan itu ini" secara umum tanpa menamakan sesuatu yang ingin ditujukan. Namun, kita perlu hormati, akui dan terima realitinya bahawa uruf masyarakat tidak sebegitu walau di mana-mana jua pun dan pergerakan tamadun tidak selalu terikat dengan peraturan itu. Sebabnya mereka akan berinteraksi secara langsung dengan yang lebih dekat dengan sekeliling mereka dan penyebutan itu mempunyai pelbagai tujuan. Maka, penyebutan langsung sememangnya lumrah dalam mana-mana tamadun. Sekalipun tanpa menyebutkan nama pihak secara khusus, masyarakat sekeliling akan memahaminya konteks yang ditujukan kerana itulah yang mudah dicapai pada persekitaran mereka. Sesiapa yang membaca sejarah pun tidak akan mampu menafikan itu walaupun teks yang ditulis tidak menamakan mana-mana pihak.

Begitulah juga apabila kita membaca teks al-Qur^ān dan hadis tentang deskripsi orang Yahudi, Kristian dan Musyrik. Kita sama sekali tidak boleh menyamakan realiti pada zaman dahulu dan realiti hari ini. Malah, kita juga tidak boleh menggunakan retorik, nada, gaya dan pendekatan yang sama apabila berinteraksi dengan mereka pada hari ini. Sesiapa yang melakukan sebegitu, maka dia telah melakukan penyelewengan terhadap al-Qur^ān dan hadis kerana pada hakikatnya al-Qur^ān dan as-Sunnah tidak menuntut seseorang melakukan deskripsi yang salah terhadap sesuatu yang bukan hakikatnya. Meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya merupakan kezaliman, sedangkan agama ini jauh daripada perbuatan terkutuk sebegitu.

Janganlah kita terlalu meneropong zaman, tempat dan masa sejarah itu sehingga kita memandang realiti hari ini yang berbeza dengan lensa yang sama dalam memandang sejarah. Jika sejarahnya baik, maka semoga ada rahmat dan manfaat untuk manusia yang hidup ketika itu serta berterusan kebaikan itu pada masa akan datangnya. Jika sejarahnya buruk, maka kita sama sekali tidak mengharapkan kebejatan itu berterusan sepanjang zaman dan Allah telah pun menghakimi segala yang dilakukan oleh manusia. Menggertak dan menyesali pada hari ini tidak mampu mengubah masa lepas dan tidak sama sekali mengatasi takdir Allah. Biarlah kita teruskan kehidupan hari ini dan warnainya dengan penuh makna.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/627330052284088320/wacana-ringkas-41-fahami-realiti-melalui-kaca

com/post/627330052284088320/wacana-ringkas-41-fahami-realiti-melalui-kaca

Ups! Tento obrázek porušuje naše pokyny k obsahu. Před publikováním ho, prosím, buď odstraň, nebo nahraď jiným.
Al-H̱iṭōb al-WajīzKde žijí příběhy. Začni objevovat