Wacana Ringkas 149 : Adakah Islam Tidak Boleh Difahami Dengan Akal?

3 0 0
                                    

Sebahagian salah faham yang tersebar dalam kalangan umat Islam yang meluas adalah teks-teks agama Islam, iaitu al-Qur^ān dan hadis sama sekali tidak boleh difahami dan ditafsir dengan akal. Seakan-akan peranan akal sama sekali tidak ada langsung dalam Islam dalam mana-mana bidang penafsiran.

Ini bercanggahan dengan realitinya. Betapa banyak ayat-ayat al-Qur^ān menggunakan kalimah Yatafakkarūn (يَتَفَكَّرُونَ), Yataḏakkarūn (يَتَذَكَّرُونَ), Ya*qilūn (يَعْقِلُونَ) dan pelbagai lagi makna yang seumpamanya yang menunjukkan suruhan untuk menggiatkan fikiran, pengamatan dan gerak kerja minda. Apa guna penggunaan kalimah ini secara kerap kalau ia sama sekali tidak menjustifikasikan penggemblengan akal untuk mencari jawapan, melakukan pemerhatian dan menyelidiki secara tuntas tentang sesuatu perkara?

Lihat ayat firman Allah *Azza Wa Jalla :

لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ ‎﴿٢٢

"Kalaulah dalam kedua-duanya (langit dan bumi) ada beberapa tuhan selain Allah, pasti kedua-duanya hancur. Maha Suci Allah, tuhan Arasy daripada apa yang mereka sifatkan". [Surah al-Anbiyā^ ayat 21].

Boleh cernakah ayat ini ditujukan kepada bukan orang yang berakal dan bukan bertujuan untuk menggunakan akal? Sangatlah bodoh pandangan orang yang mengatakan bahawa teks-teks agama Islam tidak boleh difahami dengan akal. 

Malah, pembinaan ilmu Muẖtalaf al-Ḥadīṯ dan Muškil al-Ḥadīṯ adalah bukti yang jelas pada peranan akal bahawa akal sama sekali tidak boleh menerima percanggahan dan tindak balas akal mengesan perkara ini sama sekali tidak memerlukan pemberitahun daripada wahyu secara langsung untuk mengenal pasti percanggahan yang bersifat zahir serta ia adalah respons yang automatik. Apabila kita mendapati percanggahan, akal kita akan mencari jalan untuk penyelesaiannya berdasarkan beberapa kaedah dan metodologi yang muktabar untuk menyelesaikannya.

Lagipun, ijtihad dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya adalah hasil tuaian akal dan terbina atas teras pemikiran yang mengikut kaedah-kaedah dan metodologi yang telah dibangunkan. Tidak mungkin adanya ijtihad jika ia tekanan usaha akal untuk menjawab persoalan apa, kenapa dan bagaimana serta kalaulah tidak ada ijtihad, maka semua perkara dalam urusan agama adalah bersifat definit lagi tawqīfiyy sehingga tidak terhasil perbezaan pandangan yang muktabar. Jika akal tidak ada peranan dalam Islam, maka banyak ilmu yang akan roboh dan tidak ada manfaat bagi penganutnya seperti ilmu kalam, ilmu mantiq, ilmu uṣūl dan ilmu hadis.

Sebenarnya, jika kita lihat prinsip para ulama salaf yang soleh lagi berilmu, ia sangat jelas tentang prinsip mereka dalam penggunaan akal. Mereka sama sekali tidak memusuhi penggunaan akal untuk menjustifikasikan pandangan peribadi dalam permasalahan agama. Akan tetapi, mereka menentang apabila pandangan peribadi itu menyalahi hadis yang sahih, lebih-lebih lagi setelah tertegaknya kesabitan hadis tersebut kepadanya. Al-Awzā*iyy berkata :

 «إِنَّا لَا نَنْقِمُ عَلَى أَبِي حَنِيفَةَ الرَّأْيَ كُلُّنَا نَرَى، إِنَّمَا نَنْقِمُ عَلَيْهِ أَنَّهُ يُذْكَرُ لَهُ الْحَدِيثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُفْتِي بِخِلَافِهِ»

"Kami tidak mengecam Abū Ḥanīfah kerana pandangannya. Setiap daripada kita mengeluarkan pandangan. Sebenarnya kita mmengecamnya kerana apabila disebutkan hadis daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, lalu dia berfatwa dengan sebaliknya". [As-Sunnah, karya *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal, jilid 1, m/s 207, keluaran Dār Ibn al-Qoyyim, tahqiq Muḥammad bin Sa*īd bin Sālim al-Qoṭḥōniyy].

Al-H̱iṭōb al-WajīzDove le storie prendono vita. Scoprilo ora