Wacana Ringkas 74

15 0 0
                                    

Awliyā^ Wa Karōmāt Karya *Abdullah Bin Muḥammad Bin Aṣ-Ṣiddīq Al-Ġumāriyy : Karya Kritis Dalam Penerimaan Kisah Karamah Wali

Dalam muqaddimah kitab Awliyā^ Wa Karōmāt, *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, dia menyatakan bahawa dia pernah dituduh cenderung kepada wahabi jika kitab ini dibentangkan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Dalam muqaddimah kitab Awliyā^ Wa Karōmāt, *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, dia menyatakan bahawa dia pernah dituduh cenderung kepada wahabi jika kitab ini dibentangkan.

Ini sememangnya sesuatu yang menghairankan kerana dia adalah tokoh yang diangkat oleh golongan sufi disebabkan dia adalah keturunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang sufi lagi ahli hadis serta aktif dalam menentang wahabi dan menyanggah al-Albāniyy. Kes sebegini sememangnya wajar untuk kita ambil cakna tentangnya.

Dalam kitab ini, iaitu Awliyā^ Wa Karōmāt, dia bersikap kritis dalam penerimaan cerita-cerita karamah yang tersebar dalam kalangan sufi. Sebahagiannya mengarut dan khurafat melalui pertimbangan ilmiah. Dalam menolak serta menyatakan bahawa cerita itu mengarut, dia membentangkan hujah empirikal dan rasional dalam menepis serta menyaring ketulenan dan pengukuran keabsahan cerita karamah wali.

Dalam muqaddimah kitab ini, dia mengingatkan bahawa sesiapa sahaja yang tidak memperbaguskan diri dalam ilmu kalam dan usul fiqh, lebih baik dia mendiamkan diri daripada berbicara topik karamat kerana apabila dia berbicara, dia menjelekkan dirinya dan menzahirkan kebodohannya.

Dalam muqaddimah kitab ini juga, dia mengingatkan jangan bersikap melampau dalam meletakkan kewalian sehingga taraf seolah-olah seumpama memiliki taraf kenabian sehinggalah ketuhanan.

Contohnya adalah dakwaan bahawa Allah mewakilkan setiap wali dalam kuburan memiliki kekuasan untuk menunaikan hajat para penziarahnya yang bertawassul dengan wali tersebut. Menurutnya, ini adalah salah dengan apa yang disebutkan oleh tokoh sufi tersebut. Diamembawakan kalam al-Quṭb Šamsuddīn Muḥammad al-Ḥanafiyy bahawa apabila seseorang wali itu mati, telah terputus perlaksanaannya dalam memberi pertolongan. Kalaulah berlaku pertolongan kepada para penziarah selepas kematian wali atau tertunai hajat penziarah, ia sebenarnya adalah daripada Allah melalui tangan wali Allah yang masih hidup kerana yang mati tidak ada penghuluran pertolongan padanya dan tidak ada kekuasaan di kuburnya.

Antara cerita karamah wali yang dia tolak adalah kisah yang kononnya ar-Rifā*iyy mencium tangan Rasulullah-ṣollallahu *alayhi wasallam- di kuburan. Dia membentangkan hujah mengapa cerita ini mengarut dan tidak sabit. Salah satu penghujahannya adalah di kuburan nabi semestinya ramai orang akan menyaksikan peristiwa tersebut. Baik dari Iraq, Syam, Yaman dan seumpamanya. Oleh sebab ia adalah peristiwa yang ajaib, pasti orang ramai akan menyebarkannya dengan pantas. Akan tetapi, cerita ini hanya berdasarkan beberapa orang sahaja. Atas sebab itulah dia menolaknya. Panjang perbahasannya dalam menolak cerita ini.

Antara cerita karamah yang lain adalah kononnya Jalāluddīn ar-Rūmiyy yang menghidupkan orang mati. Malah, kononnya cara penghidupan ar-Rūmiyy jauh lebih hebat daripada *Īsā -*alayhissalām-. Kalau *Īsā menghidupkan orang yang mati, baginda berkata: "Bangunlah dengan izin Allah". Akan tetapi, kononnya ar-Rūmiyy berkata kepada si mati ketika dia mengantuk, lalu berkata: "Bangunlah dengan izinku!". Oleh sebab keterlaluan sebegini, dia mengatakan ini adalah cerita para pelampau yang berdusta.

Banyak lagi cerita yang dia tolak yang dia masukkan dalam bab peringatan terhadap karamah-karamah yang tidak diterima dan tidak masuk akal. Saya memang mencadangkan pembacaan karya ini kerana kita boleh meneliti sendiri bagaimana cara pemikiran kritisnya dalam membentangkan hujahnya.

Namun, dalam banyak cerita yang dia tolak, dia juga seterusnya membawakan cerita-cerita karamah yang sabit dan yang boleh diterima. Maksudnya, dia bukanlah menolak sepenuhnya cerita-cerita karamah wali. Hanya sahaja dia tapis dan saring.

Namun, disebabkan sikap kritis dia ini, dia yang sufi dan berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- pun dituduh ada cenderung kepada wahabi!

Antara yang menarik adalah dalam kitab ini, dia berpandangan Khidir adalah nabi, bukan wali. Dia berkata bahawa pandangan Khidir adalah wali tidak betul. Ini sememangnya bersalahan dengan pandangan arus perdana sufi.

Sebenarnya, ini tidak dihairankan kerana keluarga al-Ġumāriyy tidak begitu apologetik dengan praktis kesufian meskipun mereka adalah sufi dan ikon yang dibanggakan sufi. Mereka sebenarnya memperjuangkan penentangan kepada taklid yang dicela, ketaksuban mazhab dan bersikap kritis dalam ajaran-ajaran sufi. Saya telah menjelaskan hal ini dalam penulisan yang lalu.

Daripada karya ini, kita dapat satu faedah yang bermakna. Tuduhan sebagai wahabi yang selalu dilemparkan oleh sufi ini tatkala mereka berhadapan kitikan terhadap mereka boleh jadi sebenarnya adalah lemparan yang melulu kerana tidak mahu menghadam kritikan dan hanya ingin membungkuskan diri dalam kedegilan. Hamzah Yusuf antara orang yang telah mengingatkan hal ini tentang kepincangan yang berlaku pada sufi ketika adanya usaha penapisan, reformasi dan pembetulan untuk praktik kesufian. Melabelkan seseorang dengan label yang menunjukkan aliran musuh mereka antara cara gamblang untuk melepas diri dari tanggungjawab ilmiah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/650782719173869568/wacana-ringkas-74-awliy%C4%81-wa-kar%C5%8Dm%C4%81t-karya

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now