Wacana Ringkas 100 : Apa Ikutan Agama Mereka Ketika Memusuhi Pertanyaan Dalil?

0 0 0
                                    

Sebahagian orang sangat keberatan dengan soalan yang meminta untuk membawakan dalil dan fiqh padanya. Bahkan, mengecam mereka yang sedemikian kerana mereka seolah-olah dianggap tidak beradab dengan para ulama dan cuba mencari perbalahan dalam sesuatu isu. Kita mungkin akan tertanya apa sebenarnya yang mereka ikuti dalam kehidupan beragama mereka? 

Kalau benar mereka mengikut al-Qur^ān dan as-Sunnah, untuk apa mereka takut menjawab? Sampaikan sahajalah ayat al-Qur^ān dan teks hadis. Apa yang menyusahkan mereka dalam hal ini? Adakah kerana khuatir yang kebatilan mereka terbongkar atau ketaksuban mereka terzahir?

Jika tidak tahu, mereka cukup sekadar mengkhabarkan bahawa mereka tidak tahu atau nukil sahaja daripada kata-kata ulama lain yang dia ikuti dalam memberikan jawapan atau suruh sahaja untuk bertanya orang lain yang lebih mengetahui daripadanya. Apa yang susah untuk mengamalkan sikap ketelusan atau transparensi dalam agama? Apa yang perlu disembunyikan kalau sememangnya ikutan itu adalah benar?

Setiap audien yang kita berinteraksi dengannya, bukan sentiasa sama tahapnya dengan kita. Sebahagian mungkin cukup sekadar jawapan yang biasa-biasa sahaja, tetapi yang lain sangat menginginkan jawapan yang komprehensif. Penuntut ilmu tentu sahaja entusiastik dengan hal ini. 

Apabila kita menyedari realiti perbezaan sikap dalam menuntut ilmu, kita sesekali tidak akan mengherdik orang yang sedang berusaha mencari pengukuhan dalam sesuatu jawapan. Itu sudah lumrah menjadi penuntut ilmu. Janganlah herdik mereka yang bertanya atau meminta dalil atau menjelaskan dlailnya. Firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā :

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ

"Adapun orang yang meminta, janganlah engkau mengherdik". [Surah aḍ-Ḍuḥā ayat 10]

Bermusuhan dengan mereka bererti kita memusuhi ilmu itu sendiri. Memandangkan mereka juga tidak tahu, tetapi ingin kekal menjadi tidak tahu, maka selama-lamanya mereka tidak akan mendapat manfaat yang mereka dambakan dari ketidaktahuan itu. Kalau mereka tahu dan mereka menjelaskan, lalu kita bermusuhan dengannya, tentu sahaja ini juga bermusuhan dengan ilmu kerana tidak memberikan hak dalam ilmu. Tentu lagi dicela jika mengikuti apa-apa yang tidak tahu tetapi berani untuk mengajarkan orang ramai.

Sememangnya sebahagian dalil perlu ditimbang dengan banyak perkara sebelum merumuskan hasil fiqh padanya atau tafsirnya atau mengambil pengertian daripadanya, tetapi bukan bermakna para penuntut ilmu akan selama-lamanya jahil dan tidak mengerti. 

Jika tidak ingin bersikap memudahkan jalan, maka jangan pula kita menyusahkan jalannya. Sememangnya ilmu yang bermanfaat bukan semata-mata apa yang banyak di kepala, namun tiada siapa yang tahu di mana adanya keberkatan dalam pengetahuan itu dan di mana pahalanya apabila kita menyampaikan yang benar. Sesuatu yang kita pandang kecil boleh jadi ianya besar di sisi Allah Ta*ālā. Oleh itu, jangan merasa bakhil dalam menyampaikannya.

Maka, apabila seseorang memusuhi terhadap orang yang bertanyakan dalil, maka wajar kita persoal ikutannya dalam beragama. Apakah ikutannya pada kejahilan atau ketaksuban yang disembunyikan dari mata orang ramai?

Saya berseloka :

فَمَا يَرْجُو مَنْ يَجْحَدُ الْعِلمَ # إِلَّا أَنْ يَتَطَلَّبَ اللَّجَّ فِي السَّرَفِ

لَا يَنْفَعُ هَذَا الْمُنْكِرَ مِنَ الْمَعْرِفَةِ # كَإِفَاضَةِ الْمَاءِ عَلَى وِعَاءٍ انْغَرَفَ

لَقَْد قَالَ فُولْتَيْرُ إِنْ أَرَدْتَ # أَنْ تَعْرِفَ مَنْ هُوَ عَلَيْكَ أَشْرَفَ

فَانْظُرْ إِلَى مَنْ ذَا الَّذِي يَمْنَعُكَ أَنْ تَنْقُدَهُ # فَالْآنَ أَنَّى انْصَرَفَ؟

Apa yang orang menentang ilmu mengharapkan # Melainkan berkobar hasratnya untuk kekal dalam kebodohan?

Tidaklah pengenalan itu bermanfaat pada pengingkar # Laksana menuangkan air ke bekas yang berlekuk pecah

Voltaire telah berkata jika engkau ingin # Mengenali siapa yang mengemudimu

Maka lihatlah siapa yang dia menegahmu dari mengkritiknya # Maka, sekarang ke mana mereka berlalu?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/654000331117740032/wacana-ringkas-100-apa-ikutan-agama-mereka


Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now