Wacana Ringkas 21 : Pendidikan Adab Untuk Minda Bagi Penuntut Ilmu

6 0 0
                                    

Sebahagian orang memahami adab itu sebagai perlakuan sopan dan budi pekerti yang halus, tetapi sebenarnya adab merangkumi lebih luas sehinggalah kepada minda kita. Mempelajari adab sebelum menuntut ilmu sebenarnya salah satunya ialah belajar disiplin fikir untuk memproses dan menyaring ilmu sebelum kita mengutip ilmu. Apabila kita mempelajari ini, maka kita akan mengenal ilmu yang memberi manfaat kepada kita dan ilmu yang tidak ada apa-apa keuntungan untuk kita.

Salah satu penekanan penting dalam adab minda dalam pembelajaran ilmu ialah sentiasa menyelidik dengan jitu terhadap pendapat-pendapat yang dikeluarkan dengan membandingkannya dengan ketepatan al-Qur^ān dan as-Sunnah. Sebahagian orang apabila pendapat sesuatu tokoh disanggah oleh al-Qur^ān dan as-Sunnah, mereka menganggap hal itu kebiadaban terhadap ilmu dan ahli ilmu, sedangkan al-Qur^ān dan as-Sunnah merupakan teras agama ini serta sumber ilmu yang mutlak di bumi ini. Merekalah yang sebenarnya tidak beradab pada minda mereka dengan berpaling untuk mendahulukan firman Allah dan sabda Rasul-Nya berbanding yang lain. Mereka fikir al-Qur^ān dan as-Sunnah menzalimi dan membuli mereka, sedangkan merekalah yang menzalimi diri sendiri disebabkan sikap yang menjauhkan diri berpedomankan hakim yang paling adil. Hanya mengikut membuta tuli tanpa memperlengkapkan kefahaman itu dengan pegangan yang kukuh.

Antara adab yang lain ialah menerima kebenaran tatkala zahirnya kebenaran. Adab bagi minda untuk penuntut ilmu ialah sentiasa terbuka dan bermatlamatkan untuk kebenaran walau apa-apa jua cabang ilmu itu. Setiap perkara hendaklah dibuktikan kehujahannya dan mengukuhkan argumentasinya supaya ilmu yang diperoleh itu bukan sahaja sejahtera untuk minda, tetapi menjadi keselamatan dalam amali. Kata-kata kosong, sentimen dan sandaran yang tidak konkrit hanya menatijahkan khayalan dan kecundang. Ini perkara yang sama sekali tidak akan mampu dinafikan. Sebab itulah minda perlu dididik dengan adab supaya lapang untuk menyambut kebenaran biarpun pahit. Orang yang tidak bersungguh dan bermatlamat untuk kebenaran nescaya dia telah memilih jalan untuk kebodohan, kebebalan dan kesombonganm malah kepada kebatilan.

Demikianlah pentingnya adab untuk minda yang wajar dipelajari dan dididik supaya perjalanan menuntut ilmu sentiasa berorientasikan minda yang kritis dan saksama. Tidak ada guna seseorang yang berperwatakan manis, tetapi di jiwanya keras penentangannya terhadap kebenaran dan berkepala batu yang keras. Tidak ada guna seseorang pandai menjadi tukang menasihat yang paling ramah, tetapi dialah paling jahat dalam melanggar adab muzakarah dan mengabaikan budaya ilmiah. Tidak ada guna seseorang yang berperilaku sopan, tetapi dungu akalnya dan gemar berbicara dan menentang sesuatu di luar capaian pengetahuannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623081348910956544/wacana-ringkas-21-pendidikan-adab-untuk-minda

com/post/623081348910956544/wacana-ringkas-21-pendidikan-adab-untuk-minda

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now