Wacana Ringkas 174 : Jawapan Bagi Mereka Yang Skeptikal Terhadap Aksiom

10 0 0
                                    

Sebahagian orang mungkin pernah terjerumus dalam skeptikal yang melampau dan tenggelam dalam keraguan yang seseorang itu terpinga-pinga untuk mencari jalan keluarnya. Skeptikal itu adakalanya sampai meragukan keseluruhan kepercayaan kepada pancaindera dan akal sendiri. Dengan kata lain, dia sudah tidak lagi mempercayai dirinya sendiri dan tidak tahu apa sebenarnya keberadaannya di dunia ini.

Abū Ḥāmid al-Ġozāliyy dalam al-Munqiḏ Min aḍ-Ḍolāl pernah menceritakan bahawa dia pernah terheret dalam skeptikal terhadap perkara apodiktik dan aksiom sehingga dia jatuh sakit sehingga hampir dua bulan. Kita perlu ketahui bahawa sesiapa yang meragui keabsahan aksiom, ia bukan shaaja meruntuhkan kepercayaan terhadap agama, bahkan ia meruntuhkan kepercayaan terhadap akalnya dan pancainderanya.

Dia tidak menceritakan bagaimana dia mengharunginya dan keluar daripada kemelut yang menimpa dirinya. Namun, penghujungnya adalah dia menyedari kepentingan aksiom secara aman dan yakin. Dapat dikatakan bahawa keseluruhan isi kitab tersebut adalah dapatannya sepanjang dia mengharungi dan mencari jalan keluar daripadanya.

Cuma, di sini, saya akan membentangkan jawapan saya mengapa aksiom ini adalah sesuatu yang boleh dipercayai secara yakin dan sekaligus saya mengharapkan agar penjelasan saya ini membantu mereka yang terjerumus dalam skeptikal ini sepertimana yang terjadi pada al-Ġozāliyy. 

Saya perlu akui bahawa penjelasan saya memerlukan penelusuran kronologi supaya dapat difahami rentas perjalannnya sebelum mencapainya. Akan tetapi, saya akan berusaha untuk memudahkan penjelasannya serta saya mengharapkan bantuan daripada Allah agar dipermudahkan segala urusan dan memberkati usaha saya.

Tidak ada kehinaan seseorang dalam keraguan seperti ini jika dia bersungguh-sungguh untuk mencari jalan keluar dan jawapan baginya. Keraguan ini seumpama penyakit yang tertimpa pada badan. Keraguan adalah bentuk penyakit yang berbentuk intelektual atau rohani. Apa yang penting bagi pesakit adalah mencari ubat sama ada dia berikhtiar sendiri dengan menghasilkan ubatan sendiri atau meminta bantuan daripada doktor atau ahlinya bagi merawat penyakit tersebut.

Sesungguhnya Allah Tabāroka Wa Ta*ālā pernah menawarkan ubat bagi Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- jika baginda ditimpa syak. Dia berfirman :

فَإِن كُنتَ فِي شَكٍّ مِّمَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكَ ۚ لَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

"Jika engkau dalam suatu syak terhadap apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada mereka yang membaca kitab sebelum kamu. Benar-benar telah datang kebenaran dari tuhanmu kepadamu. Maka, janganlah engkau sama sekali termasuk orang yang sangsi". [Surah Yūnus ayat 94].

Jika demikian, maka kita yang ditimpa dalam keraguan ini pun wajar mencari ubat. Ini kerana penyakit berupa keraguan ini juga adalah ujian yang Allah bebankan kepada kita, cabaran hidup sebagai seorang hamba yang tulus untuk beramal yang terbaik dan lumrah manusia yang berhadapan dengan penyakit. Teruskan mencari dan jangan berputus, lebih-lebih lagi berputus asa dari rahmat Allah. Dia sama sekali tidak akan menyia-nyiakan usaha kita yang ikhlas dan membiarkan kita terabai.

Seseorang yang dibadai dengan skeptikal terhadap semua perkara, pasti dia akan berakhir dengan kesimpulan yang disebutkan Descartes: "Aku berfikir. Maka, inilah aku!". Tidak ada sesiapa pun akan skeptik terhadap segala sesuatu hatta akal dan pancaindera sendiri melainkan disebabkan dia berfikir. Maka, dengan berfikir, dia menyedari kewujudan dirinya dan itulah sebab dia wujud.

Kenapa dengan berfikir dapat menyimpulkan kewujudan diri seseorang? Jawapannya adalah kerana itulah keteraturan. Ia adalah natijah yang menepati dengan realitinya sama ada melalui penaakulan atau pemerhatian pancaindera. Daripada sini, ada empat perkara yang telah kita berjaya capai daripadanya; fikiran, kewujudan, keteraturan dan realiti. Semua ini dicapai melalui penaakulan.

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now