Wacana Ringkas 110 : Persepsi Kita Dalam Seni

3 0 0
                                    

Ini adalah salah satu album daripada kumpulan muzik Cannibal Corpse

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Ini adalah salah satu album daripada kumpulan muzik Cannibal Corpse. Kumpulan ini sememangnya telah biasa dengan lagu-lagu gore.

Lagu death metal ini memang lubuk lagu gore walaupun bukan semuanya sedemikian. Cincang mayat, siat kulit, cungkil mata, toreh organ, kupas badan, hentak bertubi-tubi, pecahkan tulang, ratah daging, sembelih, sumbat babi dalam mulut dan bermacam-macam lagi jenis seksaan yang tidak terbayang cara seksaan. Kalau zaman ini masih mengamalkan penyeksaan, pasti tukang penyeksa akan ambil idea dari lirik lagu macam ini.

Malah, ia dizahirkan dengan rasa keseronokan dan dinikmati muziknya. Memang tidak terbayang ada orang suka dengan lagu-lagu macam ini. Namun, orang lebih tertarik kerana nada instrumennya yang sedap dan padu berbanding dengan lirik yang tidak begitu diambil perhatian memandangkan vokalnya adalah jeritan dan menggeram.

Di luar sana, memang ada berfantasi sebegini. Sememangnya ada orang suka berfantasi sesuatu pelik dan luar daripada kebiasaan orang. Selagimana manusia itu adalah makhluk berfikir, kreativiti tetap akan ada. Maka, pelbagai jenis fantasi akan ada sama ada yang mampu dibayangkan atau tidak.

Apabila ia dizahirkan dan dipaparkan sama ada dalam bentuk seni atau selainnya sama ada berupa penulisan, puisi, gambar atau muzik, ia akan menjadi ekspresi. Ekspresi adalah menunjukkan apa yang kita berfantasi padanya. Seni hanya berperanan sebagai pemangkin agar ekspresi itu memiliki estetika dan nilai yang dipandang dan dinikmati.

Gubahan puisi akan menjadikan ekspresi itu enak dibaca. Penulisan cerpen akan menjadikan ekspresi itu seronok dibaca. Gambar akan menjadikan ekspresi itu mempesonakan tatkala menatap. Lagu akan menjadikan ekspresi itu menarik untuk didengari. Animasi atau filem akan menjadikan ekspresi itu seronok ditonton. Begitulah seterusnya dalam peranan seni.

Kita tidak tahu apa yang ada di fikiran seseorang melainkan ia diekspresikan. Melalui ekspresi, kita tahu apa sebenarnya yang tergambar, terkhayal dan tergambar dalam minda seseorang.

Cuma, yang menjadi isu adalah sejauh mana penerimaan ekspresi ini. Nilai penghargaan dan penerimaan tidak seragam atau universal. Masing-masing akan memiliki pelbagai reaksi, respons dan tanggapan mengenai ekspresi tersebut.

Apa yang menarik pada kita, belum tentu di sisi orang lain. Apa yang menjadi igauan bagi ramai orang, bukan bermakna ia adalah sama untuk sekelompok orang. Begitulah seterusnya.

Persepsi ini bukan hanya terbentuk pada latar belakang kehidupan peribadi sama ada pengalaman, pendidikan dan kawasan dia membesar, malah kadangkala faktor budaya, agama dan bias pemikiran pun akan menghasilkan persepsi yang pelbagai bergantung pada apa yang di sekitar individu.

Sebab itulah bukan semua ekspresi atau seni dari luar patut menjadi tatapan, tayangan dan perkongsian kepada masyarakat tempatan kerana budaya tempatan kita mampu menghadam sama sepertimana mereka di luar. Malah, bukan semua seni ekspresi dari kelompok tertentu juga akan diterima dalam masyarakat umum. Ia akan menjadi berbeza.

Sebab itulah kalau radio sajikan lagu-lagu daripada Cannibal Corpse, Infant Annihilator, Cattle Decapitation dan kumpulan muzik gore yang lain akan menyebabkan para pendengar tempatan rasa jelek dan kecam terhadapnya. Bukan hanya kerana lagu tersebut terlalu ganas dan buas, tetapi ekspresi liriknya juga tidak menepati citarasa budaya tempatan. Ia ada konotasi negatif.

Malah, kalau kita ekspresi imaginasi kita dengan bentuk gurauan dalam sembang kita dengan kawan atau orang lain, belum tentu mereka akan sama tahap penerimaannya. Bukan semua mampu menghadam ekspresi fantasi dalam bentuk gurauan atau sembang biasa tentang cincang mayat, seksa orang dan seumpamanya. Tentu sahaja lagi kalau fantasi tersebut dalam bentuk animasi atau filem. Bukan semua akan mampu menerima sama.

Namun, sekalipun kita benci, ia ada di luar sana yang mungkin kita tidak ambil tahu tentangnya atau mungkin kita terlepas pandang daripadanya. Ia mungkin ada dalam komuniti yang di luar daripada rangkaian teman-teman kita atau capaian kelompok yang kita mampu rangkul.

Cuma, sama ada dari sudut moral salah atau tidak fantasi sebegini pada asalnya, lalu diekspresikan sama ada dalam bentuk seni ataupun selainnya, bagaimana halnya?

Adakah ekspresi seni tentang penyeksaan manusia ini boleh dijadikan sesuatu yang dinikmati keseronokannya? Sudah tentu mengekspresikan ideanya sahaja sudah mampu menimbulkan kegusaran dan ketidaksenangan. Apa lagi jika ia menjadi sebuah seni yang diindahkan.

Cuma, bagaimana pula dari sudut pandang penggubah dan penghasil lagu sebegini yang sememangnya berfantasi tentang pencabulan hak kemanusiaan dan perobekan sifat ihsan manusiawi? Baginya, ia tidak ada apa-apa masalah. Tentu lagi baginya ia adalah seni yang seronok didengarkan lagunya dan ditonton filemnya. Malah, dirancakkan dan dipromosikan dengan penuh minat dan ghairah.

Argumen mereka adalah: "Kami sekadar berfantasi dan ekspresi sahaja serta menikmati keseniannya, bukan betul-betul mahu sampai buat betul-betul apa yang terkandung dalam lagu dan filem tersebut. Kalau anda tidak suka dan tersinggung, itu adalah hak kebebasan kami mengekspresikannya dan biarkan sahaja kelompok kami menikmatinya. Kamu boleh buat kerja kamu yang lain. Biarkan kami." atau seumpamanya.

Bagaimana? Kalau anda seorang peminat death metal, tetapi sebegini jawapan yang dilontarkan oleh peminat lagu death metal yang menghasilkan lagu gore yang melampau, apa jawapan balas? Death metal itu sendiri salah? Death metal itu adalah faktor penyumbang kepadanya? Atau ia hanya perbuatan individu tertentu sahaja? Atau ia sememangnya hak setiap orang untuk mengekspresikan seninya?

Usahkan death metal sahaja. Kaitkan dengan yang lain. Kita mungkin boleh bagi jawapan dari sudut persepsi budaya, pandangan agama tentangnya, sentimen rasa kemanusiaan, moral yang kita pegang dan pelbagai lagi yang lain, namun di luar sana yang sememangnya ada komuniti sebegini meskipun kita benci.

Apa pendirian yang sepatutnya? Terus berjuang melawan lagu-lagu gore yang melunturkan rasa ihsan kemanusiaan sehingga ia pupus lagunya dari Spotify, Youtube dan laman web yang lain atau berjuang sehingga kiamat atau berjuang sehingga nafas akhir kita? Menyatakan pendirian bahawa ekspresi itu dibenarkan, cuma terhadkan kepada komuniti tertentu agar ia tidak menyemarakkan kekecohan komuniti luar yang tidak sama penilaian seninya? Atau ada cadangan yang lain boleh dijadikan pendirian yang diterima bersama?

Sekarang, itu terserah untuk penilaian masing-masing. Boleh kongsikan apa yang terisi dalam fikiran anda.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/654040308994195457/wacana-ringkas-110-persepsi-kita-dalam-suatu

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now