Wacana Ringkas 53 : Yang Dimaksudkan Dengan Mengikut Ulama

12 1 0
                                    

Sebahagian orang beranggapan bahawa apabila dikatakan mengikut ulama, maksudnya mengikut bulat-bulat apa yang dikatakan, malah sampai tidak perlu peduli sama ada salah atau benarnya berdasarkan dalil walaupun kita merasakan adanya salah daripadanya. Maksudnya, ia adalah ikutan yang penuh tanpa perlu dipertikai dan dipersoal sekalipun kita mampu membentangkan dalil untuk menyelishinya atau menyatakan ia adalah salah.

Hakikatnya, mengikuti ulama juga adalah mengikuti prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah ilmu yang mereka gariskan supaya boleh menentukan benar atau salahnya bagi sesuatu perkara. Apabila kita mengaplikasikan kaedah yang mereka susun, maka ini juga sebenarnya mengikut ulama. Misalnya, kaedah dalam mengenal sama hadis itu sahih atau tidak. Kita menilai sesuatu hadis itu berdasarkan apa yang telah didefinsikan ulama pada hadis sahih, iaitu bersambungnya sanad melalui perpindahan yang berkredibiliti lagi berkejituan dari yang berkredibiliti lagi berkejituan sehingga empunya kalam tanpa syaz dan illah. Apabila kita menyelidik sesuatu hadis itu, lalu didapati tidak ditemukan sanad untuknya setelah pencarian menyeluruh, lalu kita katakan hadis itu tidak sabit, maka ini juga dikira mengikut ulama melalui panduan yang diberikan meskipun tidak ada kalam mana-mana ahli ilmu berkenaan dengannya.

Kadangkala, mengunapakai kaedah ini boleh jadi akan menyelisihi beberapa ahli ilmu yang lain dalam sesuatu perkara. Lantas, timbullah pertanyaan siapakah guru kita dan apakah sanad pengajian kita. Maka, kita katakan bahawa guru kita adalah ahli ilmu yang menggariskan dan menerangkan kaedah ilmu dalam penilaian benar dan salah serta sanad pengajian kita adalah warisan-warisan ahli ilmu yang mereka tinggalkan untuk kita yang berupa kebenaran. Kita mengambil dan memanfaatkan warisan itu serta sama sekali kita tidak persia-siakan ajarannya setelah semat kefahamannya dalam diri kita. Mereka inilah ikutan kita kerana khidmat mereka untuk kebenaran serta kebenaran dari tinta mereka yan telah terbukti.

Malah, tidak mengikut pandangan mereka yang salah setelah nyata kesalahannya yang tidak boleh diselamatkan lagi berdasarkan kaedah-kaedah ilmu atau tidak mengambil pendapat yang belum dipastikan ketulenannya juga adalah mengikut ulama. Abū Ḥanīfah berkata :

لا يحل لمن يفتى من كتبي أن يفتي حتى يعلم من أين.

"Tidak halal untuk seseorang berfatwa daripada kitab-kitab aku yang dia berikan fatwa sehinggalah dia mengetahui sumbernya". [Al-Intiqō^ Fī Faḍō^il aṯ-Ṯalāṯah al-A^immah al-Fuqohā^ Mālik Wa aš-Šāfi*iyy Wa Abū Ḥanīfah Roḍiyallahu *Anhum, karya Ibn *Abdur Barr, m/s 145, keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Mālik bin Anas berkata :

إنما أنا بشر أخطئ وأصيب فانظروا في رأيي فكلما وافق الكتاب والسنة فخذوا به وكلما لم يوافق الكتاب والسنة فاتركوه.

"Aku cumalah seorang manusia yang kadangkala benar dan kadangkala tersilap. Maka, hendaklah kalian telitilah pandanganku. Apabila bertepatan dengan al-Qur^ān dan as-Sunnah, maka ambillah ia. Apabila tidak bertepatan dengan al-Qur^ān dan as-Sunnah, maka tinggalkanlah ia". [Jāmi* al-Bayān al-*Ilm Wa al-Faḍl, karya Ibn *Abdul Barr, jilid 1, m/s 775, kelaran Dār Ibn al-Jawziyy, as-Saudi, tahqiq Abū al-Ašbāl az-Zuhayriyy].

Aš-Šāfi*iyy berkata :

كل ما قلته فكان من رسول الله صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تقلدوني

"Setiap apa-apa yang aku berpendapat tentangnya, lantas terdapat hadis daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- menyalahi pendapatku setelah terbukti kesahihannya maka hadis itu lebih utama dan jangan kalian bertaklid kepadaku". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^, karya aḏ-Ḏahabiyy, jilid 8, m/s 248, keluaran Dār al-Ḥadīṯ, al-Qōhiroh].

Aḥmad bin Ḥanbal berkata :

لا تقلدني ولا تقلد مالكا ولا الثوري ولا الأوزاعي وخذ من حيث أخذوا.

"Jangan engkau bertaklid kepadaku dan jangan engkau bertaklid kepada Mālik, aṯ-Ṯawriyy dan al-Awzā*iyy, tetapi ambillah daripada mana yang mereka ambil". [I*lām al-Muwaqqi*īn *An Robb al-*Ālamīn, karya Ibn al-Qoyyim al-Jawziyyah, jilid 2, m/s 138, keluaran Dālr al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq Muḥammad bin *Abdul Salām Ibrōhīm].

Apabila kita ingin menyatakan penyelisihan kita terhadap ulama, pasti kita akan ditanya siapakah kita untuk menyanggahi ulama? Kita katakan bahawa kerana kita adalah pengikut ulama itulah sebab kita mengambil pendirian ini. Para imam dan tokoh kebesaran telah mewasiatkan kita untuk tidak tetap berdiri di atas kesalahannya setelah tidak dapat diselamatkan lagi. Mengapa pula kita tidak boleh junjung wasiat yang mereka sampaikan kepada kita?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633298968150949888/wacana-ringkas-53-yang-dimaksudkan-dengan

com/post/633298968150949888/wacana-ringkas-53-yang-dimaksudkan-dengan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now