Wacana Ringkas 151 : Mengenali Pendirian Seseorang Melalui Tanda-Tandanya

4 0 0
                                    

Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَاهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

"Kalau Kami mengkehendaki, pasti Kami akan perlihatkan mereka kepada kamu, lalu engkau benar-benar mengenali mereka dengan tanda-tanda mereka dan engkau benar-benar mengenali mereka pada lenggok kata-kata. Allah sentiasa mengetahui amalan-amalan kalian". [Surah Muḥammad ayat 30].

Kadangkala, untuk mengetahui pendirian sebenar seseorang itu, tidak semestinya memerlukan kata-kata yang jelas bahawa dia berprinsip sebegitu atau memilih pandangan itu atau menafikan daripada sesuatu yang dinisbahkan pada dirinya. Adakalanya, ia adalah semata-mata dakwaan atau pengamalan prinsip yang tidak mencerminkan hakikatnya sama ada ia kerana kepura-puraannya atau ketidaktahuannya memahami hakikatnya atau memiliki kefahaman menyimpang tentang hakikatnya. Kita mampu mengenalinya dengan melihat tanda-tandanya atau prinsip-prinsip yang dia memperjalankan dalam pengamalannya tanpa terikut dengan rentak yang mereka mainkan dalam usaha menyelindungkan hakikat mereka.

Ada sahaja di antara mereka yang menafikan mereka adalah liberal dari kalangan Muslim dan tidak menolak prinsip-prinsip mendasar dalam agama Islam. Akan tetapi, kita seringkali melihat banyak rujukan mereka dan nukilan mereka bukan daripada kalangan para ulama yang telah berpaksi pada ortodoks, konservatif dan fundamentalisme yang telah lama diwarisi dan diperjuangkan oleh tokoh-tokohnya yang tulus lagi berwibawa. Malah, adakalanya mereka mengutip pandangan dari mereka yang ada rekod terang-terangan memperlekehkan syariat, mengingkari sunnah Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, memusuhi Islam secara khusus dan mengutip daripada orientalis yang ada niat jahat terhadap agama ini demi mempertahankan pandangan mereka.

Apatah lagi cara mereka mengemukakan pentafsiran dan membawa justifikasi dalam berpandangan sesuatu. Selalu sahaja kita melihat mereka ini melanggar kaedah-kaedah yang diterima dalam agama dan mereka ini melakukan kecelaruan dalam metodologi ilmu dalam pelbagai bidang seperti bahasa, uṣūl fiqh, hadis dan lain-lain apabila kita memerhatikannya secara tuntas demi mempertahankan pandangannya. Kita pun tahu ini adalah cara golongan liberal walaupun mereka selalu menafikannya.

Ada sahaja di antara mereka yang berkata bahawa mereka bukan dari kalangan Bāṭiniyyah. Akan tetapi, kita melihat mereka gemar sahaja menuruti tafsir-tafsir yang dikatakan tafsir al-Išāriyy, pemahaman sudut batin, pandangan dimensi hakikat dan pelbagai lagi yang tidak ada dasarnya daripada al-Qur^ān dan as-Sunnah serta menyimpang jauh daripada neraca ilmu. Apabila dipersoalkan, alasan bodoh dan dalih bebal seperti para pengkritiknya belum faham, bukan ahlinya, tidak faham istilah khusus, tidak ada sanad tarekat dan pelbagai lagi akan dijaja. Inilah sebenarnya taktik Bāṭiniyyah dalam menutup kebejatannya, mengelabui orang ramai dan mengelakkan diri dari tanggungjawab ilmiah.

Ada sahaja di antara mereka yang berkata bahawa mereka tidak taksub pada guru mereka atau mana-mana tokoh. Akan tetapi, apabila syeikh tarekat at-Tijāniyy sebagai contoh mendakwa bahawa selawat al-Fātiḥ lebih baik daripada pembacaan al-Qur^ān, ada sahaja pengikutnya yang mempertahankan kenyataan jelek ini. Dakwaan telah pun dibantah secara tuntas oleh Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, tokoh sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dari keluarga al-Ġumāriyy dalam I*lām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn. Kalaulah ia bukan taksub, mengapa perlu lagi mempertahankan kalam yang kufur lagi celaka yang kesalahannya boleh dikenal pasti hatta orang awam sekalipun?

Ada sahaja di antara mereka yang menafikan bahawa mereka ini ada prinsip seumpama Jahmiyyah, khususnya dalam pengisbatan sifat Allah. Akan tetapi, kita seringkali melihat mereka ini gemar, gampang, sembarangan dan lancang menuduh orang lain yang mengisbatkan sifat-sifat Allah yang selayaknya dengan kemuliaan zat-Nya sebagai mujassimah, musyabbihah, al-Ḥašwiyyah dan wahabi. 

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now