Wacana Ringkas 115 : Penerimaan Ilmu Dan Pengambilan Teladan

3 0 0
                                    

Dalam prinsip penerimaan ilmu dan pengambilan teladan, saya menyimpulkan dengan satu seloka :

إِنَّمَا الْعِلْمُ يُؤْخَذُ بِسَدِيدِهِ # وَالْأُسْوَةُ يُقْتَدَى بِهَا بِمَنْهَجِهِ

وَكَمْ مِمَّنْ يَتَبَحَّرُ أنْ يَضْطَرِبَ # وَصَاحِبِ الْخُلُقِ أَنْ يَسْفِهَ؟

Ilmu itu diambil dengan sebab ketepatannya # Teladan diikuti kerana manhajnya

Betapa ramai yang berlautan ilmunya yang berbadai # Begitu juga berperilaku santun yang dungu

Dalam menjadi seorang hamba Allah yang diredhai, kita memerlukan ilmu yang didasari dengan kefahaman yang lurus dan amalan yang terbaik untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Cuma, bagaimana yang dikira berguna bagi kedua-dua ini untuk diri kita?

Adakah yang banyak ilmunya? Tidak sama sekali walaupun ia adalah tuntutan. Yang paling penting adalah ilmu yang memberi manfaat kita dalam mencetuskan minda berintelektual dan membina garapan kefahaman yang jitu. Aš-Šāfi*iyy berkata :

لَيْسَ الْعِلْمُ مَا حُفِظَ الْعِلْمُ مَا نَفَعَ

"Bukanlah ilmu itu pada apa yang dihafal, tetapi apa yang dimanfaatkan". [Ḥilyah al-Awliyā^ Wa Ṭobaqōt al-Aṣfiyā^, karya Abū Nu*aym al-Aṣbahāniyy, jilid 9, m/s 123].

Ibn Rojab al-Ḥanbaliyy berkata :

لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ وَلَا بِكَثْرَةِ الْمَقَالِ وَلَكِنَّهُ نُورٌ يُقْذَفُ فِي الْقَلْبِ يَفْهَمُ بِهِ الْعَبْدُ الْحَقَّ وَيُمَيِّزُ بِهِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَاطِلِ وَيُعَبِّرُ عَنْ ذَلِكَ بِعِبَارَاتٍ وَجِيزَةِ مُحَصِّلَةٍ لِلْمَقَاصِدِ

"Bukanlah ilmu itu pada banyak riwayatnya dan bukan juga pada banyak kata-katanya, tetapi ia adalah cahaya yang dihidupkan di dalam jantung yang hamba itu memahami kebenaran dengannya dan dengannya juga dia membezakan antara kebenaran dan kebatilan, lalu mengungkapkan dengan beberapa ungkapan yang ringkas daripada pendapatan itu untuk tujuan-tujuan tersebut". [Bayān Faḍl *Ilm as-Salaf *Alā al-H̱olaf, m/s 5].

Sebab itulah dalam mencari guru yang ingin mendidik pemikiran kita, tidak semestinya perlu mencari yang panjang bicaranya, meleret perbahasannya dan luas hafalannya walaupun ini adalah pencarian penting sepanjang menuntut ilmu. Boleh jadi yang banyak riwayatnya dalam fiqh tidak faqih. Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

 نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ ، فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ ، وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ

 "Semoga Allah memperindahkan seseorang yang mendengar hadis daripada kami, lalu dia menghafalnya, kemudian dia menyampaikannya. Kadangkala seseorang menyampaikan fiqh kepada orang yang lebih faqih daripadanya dan kadangkala orang yang menyampaikan fiqh tidaklah faqih". [Sunan Abū Dāwud, kitāb al-*Ilm, no. 3177].

Di sana ada sahaja yang menghafal pelbagai riwayat, tetapi tiada daya ketajaman dalam menyaring antara riwayat yang benar dan batil. Kadangkala, hadis-hadis palsu, hadis yang tidak ada dasar rujukannya atau hadis yang batil disebarkan kononnya ia wujud dalam suatu kitab atau dia mendengarkan daripada tokoh yang dia meletakkan kepercayaan padanya. Di sana, ada sahaja yang mindanya telah meliputi pelbagai jenis pembacaan dan informasi ilmu, tetapi tidak mampu menghadapi permasalahan yang mendatang sama ada mengenal pasti atau menganalisis atau menggali penyelesaian, khususnya isu yang kritikal atau yang baharu.

Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now