Wacana Ringkas 147 : Hakikat Kesatuan Dan Perpecahan Dalam Islam

4 0 0
                                    

Firman Allah *Azza Wa Jalla :

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ‏

"Janganlah kalian menjadi seperti orang yang saling berpecah dan saling berpisah setelahmana datang bukti-bukti itu kepada mereka. Mereka itulah yang mendapat azab yang besar". [Surah Āli *Imrōn ayat 105].

Firman Allah *Azza Wa Jalla :

وَمَا تَفَرَّقُوا إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ

"Tidaklah mereka saling berpecah melainkan setelah datang ilmu itu kepada mereka kerana irit hati sesama mereka". [Surah aš-Šūrō ayat 14].

Persaudaraan sesama muslim terbina dan terikat dengan prinsip, pegangan dan pendirian akidah yang murni, syariat yang suci, pemahaman yang mapan, ketundukan yang penuh patuh lagi redha terhadap wahtu yang telah diturunkan untuk mereka dan akhlak yang ditoleransi. Apabila masing-masing telah sampai bukti yang nyata dan hujah yang kukuh daripada Allah dan rasul-Nya kepada setiap individu dan masyarakat, lalu setiap daripada mereka berpegang erat dengannya, dari situlah faktor jalinan perhubungan sesama insan yang sejati yang diredhai Yang Maha Pengasih.

Perpecahan pula bermula dengan apabila seseorang atau sesutu kelompok membelakangkan, mengabaikan dan menyelisihi kebenaran yang telah tertegak kepadanya dan berpaling daripada bukti yang telah nyata kepadanya serta masih berkeras dan berdegil untuk pendapatnya yang menyalahi ilmu yang sejati. Antara faktornya adalah kerana iri hati kerana kelompok mereka tidak dapat keistimewaan dalam beberapa perkara setelah bukti tersebut terbentang dengan megah di hadapan mereka.

Inilah yang gagal difahami oleh sebahagian orang. Apabila kita menegur atau menentang beberapa individu atau sesuatu kelompok masyarakat atau tokoh kebesaran sama ada dari segi ilmu, kedudukan dalam masyarakat dan sebagainya yang mana mereka telah ditegakkan hujah yang solid dan bukti yang teguh terhadap kesalahan dan kepincangan mereka, mereka yang menganggap bahawa perbuatan ini adalah penyebab kepada pecah belah terhadap masyarakat.

Padahal, tidak dikira kesatuan yang diredhai agama ini dalam mana-mana kelompok jika masing-masing saling menyokong, saling mendukung dan bersama-sama perjuangan untuk mempertahankan norma dan dogma kefahaman yang menyimpang, sesat dan batil yang metodologi dan manhaj mereka berdiri di atas kerapuhan, kecelaruan dan ketidaktekalan.

Sekalipun mereka menjual nama Allah dan rasul-Nya serta para tokoh yang menjadi penyumbang bakti kepada mereka atau masyarakat muslim secara umum demi mengelabui orang ramai agar terus bertahan bersama kelompok mereka, seruan dan pembelaan mereka tetap tidak memberikan apa-apa manfaat.

Mereka tidak ubah sepertimana yang disebutkan firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

إِن كَادَ لَيُضِلُّنَا عَنْ آلِهَتِنَا لَوْلَا أَن صَبَرْنَا عَلَيْهَا

"Sesungguhnya dia hampir-hampir sahaja menyesatkan kita dari tuhan-tuhan kita kalau bukan kerana kita tetap bersabar terhadapnya". [Surah al-Furqōn ayat 42].

Cuma, yang berbeza adalah mereka bukan mempertahankan dan berdedikasi penuh dalam bersama terhadap berhala-berhala yang berbentuk patung, tetapi berhala yang berupa pemikiran, norma, dogma, sistem, individu tertentu atau tokoh tertentu dan lain-lain. Kemudian, mana-mana orang yang mengkritik berhala itu dianggap pula sebagai pemecah belah seolah-olah kesatuan umat atau masyarakat atau sesuatu kelompok berpaksi padanya.

Sangat malang sekali yang mereka yang berdiri di atas hujah bersama bukti yang berkuasa pula dianggap sebagai perosak kesatuan masyarakat, bahkan dituduh mengelirukan orang ramai hanya kerana tidak memihak pada norma dan dogma kelompok tersebut, sedangkan mereka sedang menyeru, mengajak dan berusaha untuk mengembalikan masyarakat kepada dasar yang murni yang menjadi ikatan kesatuan yang sejati dari sebarang kepincangan, ketempangan, kerancuan dan korupsi ilmu, manhaj dan kefahaman yang menjadi perpecahan kepada sesama umat Islam dan perosak kepada agama yang suci ini.

Sememangnya perpecahan adalah sesuatu tidak dapat dielakkan dalam hidup bermasyarakat dan perjalanan tamadun. Akan tetapi, lebih baik masyarakat berpecah belah, tetapi nyata antara kebenaran dan kebatilan antara beberapa kelompok berbanding masing-masing bersatu atas kebatilan dan buta terhadap kebenaran.

Yakinlah bahawa kebenaran pasti akan melangkaui dan mencantas kebatilan. Firman Allah Ta*ālā :

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Dan katakanlah: "Telah datang kebenaran dan telah lenyap kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu sememangnya lenyap". [Surah al-Isrō^ ayat 81].

Biarlah kita bermula dengan berseorangan atau dalam kelompok sedikit di samping menghadapi tekanan dan cabaran yang hebat dalam menyuarakan dakwah kebenaran serta menyebabkan perpecahan dan konflik sesama masyarakat atau menyebabkan respons kebingungan dan kekeliruan orang ramai. Itu lebih baik daripada manusia terus terpuruk dalam kebatilan dan penyelewengan serta menyedarkan masyarakat tentang hakikat durjana dan bahaya kebatilan itu.

Pada mulanya, sememangnya adanya reaksi negatif, bingung dan benci. Selebihnya, biarlah Allah putuskan sama ada untuk memberikan hidayah kepada orang yang tulus mencari kebenaran atau menutup jantungnya terhadap orang yang berpaling.

Cuma, yang melucukan adalah apabila kita mengkritik seseorang individu tertentu atau sekelompok pihak tertentu, kita akan ditanggapi sebagai orang yang cuba memecahbelahkan umat. Mereka seolah-olah ingin berkata bahawa paksi kesatuan Islam adalah melalui apa yang difahami dan dipegang oleh individu tertentu atau sekelompok pihak tertentu serta mana-mana yang menyalahi individu itu atau pihak itu, maka itu dianggap berpisah daripada jemaah Islam dan telah melakukan pecah belah dalam agama.

Samalah seperti mereka apabila dikritik beberapa individu atau suatu kelompok, mereka akan berkata bahawa kita bersikap biadap ulama dan tidak hormat terhadap kewibawaannya! Padahal, ulama yang mereka memaksudkannya boleh sahaja sebenarnya bukan ulama sejati. Abū Naṣr as-Sijziyy telah pun berkata :

وهو أن كل من يخالفهم نسبوه إلى سب العلماء لينفروا قلوب العوام عنه وقرفوه بأقاويل لا يقول بها ولا يعتقدها بهتا منهم وكذبا

"Ia adalah bahawa setiap orang yang menyalahi mereka, nescaya mereka menisbahkannya kepada mencela ulama agar mereka menyentak keluar jantung orang awam daripadanya dan mempertaut tuduhan terhadapnya dengan kata-kata yang dia tidak berkata padanya dan yang dia tidak beriktikad akannya kerana fitnah dan dusta daripada mereka". [Risālah as-Sijziyy Ilā Ahl Zabīd Fī ar-Rodd Man Ankaro al-Ḥarf Wa aṣ-Ṣowt, m/s 308-309, keluaran *Imādah al-Baḥṯ al-*Ilmiyy Bi al-Jāmi*ah al-Islāmiyyah, al-Madīnah al-Munawwaroh].

Haji Abdul Malik Karim Abdullah berkata: "Kadang-kadang pula dikatakan kaum muda tidak hormat kepada ulama. Padahal, yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Mālik atau Imam aš-Šāfi*iyy, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau telah pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah". [Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 66, keluaran Pustaka Dini].

Bezakanlah baik-baik dengan siapa kita saling berpecah belah dan siapa yang dianggap ulama! Jangan merasakan Islam itu hanya bersatu di bawah bendera mereka sahaja dan ulama yang muktabar hanya ada pada kelompok mereka sahaja.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/664429518101135360/wacana-ringkas-147-hakikat-kesatuan-dan

com/post/664429518101135360/wacana-ringkas-147-hakikat-kesatuan-dan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb al-WajīzWhere stories live. Discover now