Wacana Ringkas 38 : "Kamu Cari Memang Tidak Jumpa, Kalau Ulama Cari Boleh Jumpa"

4 0 0
                                    

Saya ada terjumpa dakwaan bahawa ada seorang sahabat Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang bernama aš-Šumaysiyy yang menamakan suatu tempat itu sebagai Jelebu di Negeri Sembilan. Saya berminat untuk kenal siapakah orang ini. Namun, saya tidak menemukan identiti orang yang dinamakan seperti ini.

Tentu sahaja carian di Google tidak jumpa. Saya pun cuba cari di kitab yang mengumpulkan nama para Sahabat seperti al-Iṣōbah Fi Tamyīz aṣ-Ṣohābah karya Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy, Ma*rifah aṣ-Ṣohābah karya Abū Nu*aym al-Aṣbahāniyy, Mu*jam aṣ-Ṣohābah karya Ibn Qōni*, Ma*rifah aṣ-Ṣohābah karya Ibn Mandah dan aṭ-Ṭobaqōt al-Kubrō karya Ibn Sa*d. Saya juga usahakan untuk mencari di kitab al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl dan biodata perawi hadis seperti al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, Tārīẖ Baġdād karya al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy, Tārīẖ Dimašq karya Ibn *Asākir, Tārīẖ al-Islām karya aḏ-Ḏahabiyy, Siyar A*lām an-Nubalā^ karya aḏ-Ḏahabiyy, Tahḏīb al-Kamāl karya al-Mizziy, Ikmāl Tahḏīb al-Kamāl karya Muġlaṭōy, Tahḏīb at-Tahḏīb karya Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy, aṯ-Ṯiqōt karya Ibn Ḥibbān dan lain-lain. Saya juga usahakan untuk merujuk kitab sejarah seperti Tārīẖ aṭ-Ṭobariyy, al-Bidāyah wa an-Nihāyah karya Ibn Kaṯīr dan lain-lain. Saya juga usahakan untuk mencari karya yang mengumpulkan nasab seperti al-Ansāb karya as-Sam*āniyy, al-Ansāb al-Muttafaqoh karya Ibn al-Qoysorōniyy, Jumal al-Ansāb al-Ašrōf karya al-Balāḏuriyy, Nihāyah al-Arb Fi Ma*rifah Ansāb al-*Arob karya Ibrōhīm al-Ibyāriyy dan lain-lain. Namun, malangnya saya tidak berhasil menemukan identiti insan yang dimaksudkan. Ya, carian saya adalah melalui Maktabah Syamilah.

Apabila saya nyatakan bahawa usaha carian saya tidak jumpa, mereka yang taksub untuk percaya riwayat itu dengan mengatakan: "Kalau kamu cari, memang tidak jumpa. Kalau ulama cari, pasti akan jumpa".

Bukan hanya isu ini sahaja. Pelbagai isu yang lain juga yang apabila saya nyatakan bahawa saya tidak menemukan sandaran bagi sesuatu dakwaan, herdikan sebegini akan menjadi ratib yang rutin.

Jawapan seperti ini tidak lain tidak bukan hanya menambahkan kedegilan dan pengingkaran sahaja. Mereka sembang seolah-olah riwayat itu wujud, tetapi mereka tidak pernah menggerak usaha untuk mencari pun. Mereka percaya apa sahaja yang disuapkan terlebih dahulu sebelum semak sama ada benar atau tidak. Mereka yakin terlebih dahulu sebelum mengukuhkan dasar untuk membina keyakinan itu. Inilah beza antara manhaj ahli ilmu dengan manhaj si pandir yang tolol.

Tanyakan diri sendiri, adakah orang seperti ini kita boleh percayakan khabarnya? Sedangkan mereka menyampaikan khabar dan bercakap seolah-olah yakin kesahihannya sebelum menyemaknya? Adakah orang seperti ini kita yakin akan berhujah secara ilmiah? Sedangkan mereka membina pendapat hanya dasar kekosongan yang belum dipastikan lagi. Lebih baik merujuk buku, Google atau Maktabah Syamilah yang kononnya tidak ada berkat pada pembelajaran melaluinya atau kurang nilainya daripada pembelajaran secara bertalaqqi berbanding percaya kata-kata orang yang hebat bicaranya, tetapi ia bersandar pada tiang yang rapuh. Dengan kata yang lain, jenis orang yang percaya dahulu, semak kemudian atau mungkin tidak menyemak langsung!

Yang menghairankan adalah apabila orang politik membuat sesuatu dakwaan, mereka tidak percaya selagimana mereka tidak membuat semakan. Adakah isu agama mereka terus menjadi orang yang percaya buta hanya kerana ia disampaikan daripada orang yang mempunyai imej agamawan dan memiliki aura sakral daripadanya?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/627315409817862144/wacana-ringkas-38-kamu-cari-memang-tidak-jumpa

com/post/627315409817862144/wacana-ringkas-38-kamu-cari-memang-tidak-jumpa

Ops! Esta imagem não segue as nossas directrizes de conteúdo. Para continuares a publicar, por favor, remova-a ou carrega uma imagem diferente.
Al-H̱iṭōb al-WajīzOnde as histórias ganham vida. Descobre agora