Wacana Ringkas 126 : Keabsahan Dalam Penisbahan Kepada Sesuatu Kelompok

Comenzar desde el principio
                                    

Begitu juga dengan al-Bāṭiniyyah. Penisbahan ini juga diambil kira dari beberapa kriteria. Yang pertama adalah dia daripada kalangan sufi atau mereka yang berlatarbelakangkan medan kerohanian. Ini kerana mereka sentiasa beranggapan bahawa ilmu yang sebenar atau capaian yang tertinggi bagi seorang hamba Allah ada pada pengamalan dan pengalaman kerohanian dan kebatinan.

Yang kedua adalah mereka ini memiliki sikap memandang remeh terhadap apa yang dikatakan sebagai zahir, permukaan dan kulit. Bagi mereka, kesemua ini tidak menggambarkan hakikat pengetahuan yang sebenar dan sekadar aksesori yang tidak memberikan apa-apa makna. Walaupun mereka secara zahir tidak menyatakan peremehannya, namun sudah memadai untuk melihat dari kata-katanya kerana Allah Ta*ālā berfirman bahawa lenggok kata-kata seseorang itu dapat mengetahui cerminan sebenar mereka :

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَاهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

"Kalau Kami berkehendak, pasti Kami akan memperlihatkan mereka untuk engkau, lalu engkau pun mengenali tanda-tanda mereka. Benar-benar pasti engkau mengenali mereka pada lenggok kata-kata. Dan Allah sentiasa mengetahui amalan-amalan kalian". [Surah Muḥammad ayat 30].

Antara contoh bentuk peremehan mereka adalah kaedah penentuan status hadis sama ada sahih atau selainnya. Pada mereka, apa yang dilakukan ahli hadis ini adalah cara zahir sahaja dan untuk orang awam sahaja. Manakala, mereka yang dikatakan sebagai wali Allah dari kalangan sufi mendapat pengetahuan status sebenar melalui kasyaf, mimpi atau pembukaan langsung daripada Allah. Mereka ini tidak memandang kaedah yang digubal dan disusun oleh ahli hadis sebagai pengamalan yang paling superior dan paling berkesan dalam mengetahui status sebenar hadis serta mengangkat tinggi lebih daripada dapatan yang lain.

Mereka tidak dapat melakukan demikian kerana bagi mereka, dapatan yang bersifat kerohanian adalah lebih unik yang tidak diperoleh secara mudah oleh sesiapapun dan kononnya hanya dibuka oleh Allah kepada orang tertentu yang Dia pilih dan cintai sahaja, sedangkan yang zahir adalah dapatan oleh sesiapa sahaja dengan mempelajarinya secara tekun sama ada fasik atau yang soleh. Mereka tidak sedar dapatan mereka ini mungkin sahaja adalah bentuk tipu daya syaitan yang halus dan mahir dalam memperdaya orang ramai.

Yang ketiga adalah mereka ini mereka amat mudah terjebak dengan pengamalan atau pemahaman dari sesuatu yang asing daripada Islam seperti falsafah agama lain, khurafat atau ritual daripada agama lain, mudah mengambil sumber yang tidak diterima dalam Islam seperti hadis yang parah kedhaifannya atau hadis palsu yang mereka tidak menyedarinya dan sumber yang diragukan keabsahan epistemologinya seperti kasyaf, ilham, mimpi dan lain-lain yang dianggap pembukaan langsung daripada Allah sebagai sandaran untuk menetapkan sesuatu perkara, khususnya yang bersifat ghaib. Mereka juga terjebak dengan penafsiran yang jauh menyimpang dari sudut ilmu yang tulen, sistematik dan diterima sehingga menghasilkan dapatan dan pandangan yang tersasar jauh daripada landasan asalnya.

Namun, mereka cuba sedaya upaya untuk memaparkan bahawa ia tidak terkeluar daripada dasar-dasar utama dalam agama Islam walaupun ia adalah kegagalan yang nyata. Adakalanya, mereka ini lebih mengunggulkan pandangan tokoh mereka atau bermati-matian berpegang kepada hadis yang tidak ada dasarnya serta mengabaikan hadis yang sahih dan berpaling daripada hujah yang secara matang, rasional, objektif dan padu. Ini kerana mereka menganggap perolehan itu di luar capaian orang yang sekadar pada permukaan, zahir dan lapisan kulit sahaja atau perolehan itu adalah daripada kalangan wali Allah yang dikurniakan keistimewaan kepadanya daripada Allah yang tidak diperoleh oleh sembarangan ulama, apatah lagi orang kebiasaan walaupun mereka tidak menyatakan secara terus terang.

Sebab itulah tidak dihairankan sebahagian pengikut tarekat at-Tijāniyy sehingga sanggup menerima dan beriktikad bahawa selawat al-Fātiḥ lebih mulia daripada al-Qur^ān kerana kononnya syeikh mereka mendapatnya daripada pertemuan dengan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- secara jaga. Inilah puncak kesesatan yang telah dibantah oleh tokoh sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dalam I*lām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn.

Daripada ketiga-tiga ciri ini, cukuplah seseorang itu dikira sebagai al-Bāṭiniyyah sekalipun dia mendakwa dia bukan daripadanya atau mendakwa dia menentangnya. Mungkin ada yang menambah bahawa sebahagian mereka ini menjadikan seseorang syeikhnya atau individu atau beberapa kelompok orang sebagai tokoh yang maksum walaupun mereka tidak mengakuinya. Akan tetapi, saya melihat bahawa beberapa daripada mereka ini sebenarnya langsung tidak ada yang dikatakan guru mursyid atau syeikh tarekat yang dia berbaiah dengannya atau seumpamanya untuk dia menadah ilmunya, menjadikannya sebagai panutan kefahamannya dan keberagamaannya serta wasilah untuk sampai kepada tujuan, namun mereka ini juga terjebak dengan al-Bāṭiniyyah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/659453600201850880/wacana-ringkas-126-keabsahan-dalam-penisbahan

com/post/659453600201850880/wacana-ringkas-126-keabsahan-dalam-penisbahan

¡Ay! Esta imagen no sigue nuestras pautas de contenido. Para continuar la publicación, intente quitarla o subir otra.
Al-H̱iṭōb al-WajīzDonde viven las historias. Descúbrelo ahora