DUNIA TANPA INTERNET (SURAT SURAT YANG DILUPAKAN)

30 3 1
                                    

DUNIA TANPA INTERNET

Menulis surat adalah sejenis seni. Seni yang kini hilang begitu sahaja ditelan zaman dan arus hidup.

Berseni, kerana kita mancari jalan merangka kata kata lantas dicurahkan atas kertas, bertukar khabar sesama sanak saudara, adik beradik, kenalan baharu dalam dan luar negara. Kita bercerita tentang surat surat kasual bukan surat rasmi demi jalinan siratulrahmi. Ada ketikanya boleh mencecah 4 keping... entah apa agaknya yang dibicarakan?

Anak anak yang lahir setelah tahun 1985 pasti terfikir bagaimana agaknya proses ini dijalin. Setiap majalah dan akhbar mingguan di zaman sebelum itu mempunyai ruang untuk berkenalan. Ia menjadi hobi. Begitu juga dengan mereka yang mahu bertukar pengalaman mempunyai pen-pals dari luar negara. Ia pengalaman yang indah bertukar gambar, hadiah dan ucapan hari lahir. Begitu polos jika ditoleh semula terkenang.

Ketika inilah kita kenal saiz sampul, surat udara, surat kapal, surat berdaftar, timbangan berat bungkusan di pejabat pos, pad menulis dari yang biasa hingga yang berhias cantik. Berjalan pulang dari sekolah pagi, singgah di Pejabat Pos membeli setem, lantas dijilat dengan alamat yang ditulis kemas.

Tujuan berutus surat berbeza tentunya... ada ruang mencari jodoh, berkenalan sahaja atau untuk bertukar tukar fikiran. Ada yang menikah di hujung segalanya setelah lama berbicara romantis melalui kepingan kepingan curhatan ditulis tangan. Ya, terbukti memang ada mereka yang menikah dengan kenalan dari ruang sebegini.

Mama pernah? Mama hanya gembira punya ramai kenalan dalam dan luar negara. Melatih berekspresi dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Pulang keletihan dari sekolah ceria disambut oleh beberapa keping surat balasan, ada ketikanya mendapat hadiah atau sisipan di dalamnya... dan terus menjalin persaudaraan sehinggalah dunia menjadi lebih moden, digantikan oleh telefon rumah dan e-mel canggih sesawang hotmail dan Yahoo.

Semua ini membuahkan senyuman sambil membayangkan entah kemana hilangnya abang angkat askar Kedah yang baik, teman perempuan di Afrika, kenalan dari siri tv Big Blue Marble di Australia... begitu juga kenalan kenalan dalam negeri yang dijalin melalui ruang sahabat pena untuk latihan berbahasa Inggeris dari akbar The New Thrill...

Sebenarnya secara peribadi saya terlupa untuk berTerima Kasih pada wadah lapuk surat menyurat dalam dunia penulisan (tidak teringat langsung akan aktiviti tersebut bila ditanya, apakah latihan menulis kamu selama ini). Ia melintas sekali sekala setiap terpandang stem, pejabat pos dan peti pos besi warna merah di pinggir jalan.

Novel EPISTOLARI adalah tulisan berbentuk dokumentasi, selalu dari himpuan surat surat, mungkin juga catatan diari harian, cuplikan suratkhabar, resit atau lain lain bahan. Terkini rakaman secara elektronik juga terlibat, teramasuklah salinan blog, e-mel menjadi isi subjek penceritaan.

Ahhh... indah sekali. Nostalgia sungguh... terasa begitu tua sekali.

Nota: Banyak karya sastera yang menggunakan surat sebagai isi naskah: Letters To Home - Matahari book, Warkah untuk salmi manja - A.Samad Said, Surat Surat Perempuan Johor - Faizal Tehrani, Surat Surat Dari Maninjau - Hafizul Faiz dan Surat Untuk Tuhan -letters to God.

Regina Ibrahim

160420

MENULISWhere stories live. Discover now