APA SAHAJA KEGIATAN MENULIS DI TAHUN 2018?

46 4 0
                                    

APA SAHAJA KEGIATAN MENULIS DI TAHUN 2018?

Selain mencari makan dengan kerja pentas, penulisan agak rancak sebenarnya di tahun ini. Menulis artikel artikel sosial semasa untuk siaran atau disimpan. Masih belum berani menghantar pada media sastera, walaupun artikel serius pertama sudah disiarkan di majalah Dewan Sastera tentang Usman Awang Julai lalu. Mudah untuk berlaku adil kerana Usman adalah penyajak favorit.

Sesekali masih terdengar akan kata Indie dalam dunia penulisan. Badan dan minda sudah berdamai bahawa tidak ada tulisan indie, yang ada hanyalah penulisan dan sastera semata mata, selagi mahu dibaca.

Ramai penulis yang hadir di jalur masa medsos. Ada yang bermurah hati berkongsi tips dari waktu ke waktu. Begitu juga dengan pameran kerja kerja kasar mereka. Begitulah gelojak penulis pemula (saya juga termasuk). Ia satu proses yang indah sebenarnya. Mungkin tidak dipersetujui 100 peratus, kerana masih ramai para penulis lama dan baharu yang hadir dengan sifat peribadi mereka yang pemalu dan takut kalau nanti dilabelkan secara tidak sedap. Saya kira, kalau kita terlalu malu dan merendah diri, kita tidak akan kemana mana. Penulis yang agresif juga ada, itu variasi dunia manusia.

Terus terang, ramai penulis Malaysia menyumbang pada idea dan semangat menulis. Tidak kiralah apa sekalipun genre mereka. Rasa hormat pada teknik dan gaya mereka sudah lama saya amalkan. Kita belajar dari sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau pengalaman. Setelah membaca dan memerhatikan gerak tingkah penulis di Malaysia, secara peribadi sudah dipelajari bagaimana penulis tidak perlu bersensasi berlebihan, kerana di hujung cerita, karya yang dicetak akan memberi gambaran dan jawapan pada kehebatan masing masing.

Penulis juga bergantung pada nasib. Ada penulis yang bagus bagaikan diselubungi selimut, tidak ditemui oleh pembaca. Kita tidak berbicara lagi tentang paten membaca dan nafsu pembaca di Malaysia.

2018 juga menjadi tempoh untuk diedit kembali kerja kerja lama. Artikel dan cerpen terutamanya. Percayalah sewaktu mengedit akan ditemui diri sang penulis, tersenyum berfikir tentang apa sebenarnya sewaktu karya ditulis. Ada terserempak pada kesalahan kesalahan kecil yang terlepas pandang, ejaan, kata sendi, ulangan tidak wajar, POV tidak sesuai dan tanda bacaan. Terbayang bagaimana kalutnya menulis apabila inspirasi menerpa, sehingga hal dekat jauh, perbuatan atau lokasi menjadikan penulis leka. Bagaimanapun ini semua adalah proses.

Novel? Setelah Budiman edisi terhad terbitan fixi, novel gabungan bersama penulis muda tidak lancar pada tarikh sebenar. Belajar lagi menerima hakikat bahawa susunanNYA boleh jadi apa sahaja. Penulis hanya mampu berusaha. Novel terbaharu bertajuk Australia sudah berada di tangan editor. Itu sangat melegakan.

Novel dan jualan? Satu segmen yang masih ditatih. Melihat unit jualan novel teman teman yang hebat, sesekali kami sesama penulis tertawa, hati jadi tercuit bertanya, kenapa? Bagaimana? Apa salahnya kalau kami tumpukan sahaja pada kisah kisah remaja yang romantik bergabung dengan genre seram?

"Kau mampu kau buatlah..., apa salahnya?"

Di sini sebenarnya godaan dan latihan terhadap nafsu menulis. Apa falsafah yang sudah diangkat ketika memutuskan mahu menulis. Manusia berbeza, penulis juga sudah tentu berbeza. Setiap perbezaan itu harus dihormati. Tidak kiralah genre apa sekalipun, apa yang penting cara penulis bermain dengan susunan plot, bahasa, cerita dan matlamat. Setiap tamat menulis manuskrip, mana mana penulis sekalipun jadi ternanti nanti akan inspirasi baharu.

Kenapa disiarkan 2 novel di wattpad? Tidak rasa rugikah?

1. Menanti lama, takut kalau isinya jadi tidak semasa/relavan lagi

2. Sukar mencari penerbit yang bertanggungjawab (holistic responsibilities)

3. Hadiah pada pembaca yang setia mendukung selama ini

4. Wattpad membenarkan siaran berjangka masa. Boleh dikunci nanti.

5. Mahu menemui kelompok pembaca baharu kalau bernasib baik.

Jadi Delima2 dan Hey! Perempuan sudah dihantar secara berkala untuk memeriahkan lagi koleksi bahan bacaan secara gratis, memang membaca di talian bukanlah hal yang seronok. Untuk pembaca yang muda, kalau dalam perjalanan atau ketika menanti mereka boleh saja membacanya di telefon pintar mereka.

Ketika ini saya hanya berdoa agar dunia penulisan menjadi meriah, lancar dan mudah. Mana tahu akan terpacul sesuatu yang segar baharu? 2019 bakal dipenuhi dengan artikel artikel menarik, cerpen yang bernafas baharu dan hajat hati mahu lebih menyertai wacana penulisan, menemui ramai lagi penulis kondang dan pemula di sekitar Malaysia. Katakanlah indie, urban, kampungan, picisan, murahan atau mindfuck, menulis tetap menulis.

Sudah berada di dunia penulisan sejak 2014, saya masih di tahap mentah. Semangat didoakan agar jangan mati, itu adalah kunci utama sebenarnya.

Selamat membaca dan menuliskan tentang apa sahaja yang dekat dengan dirimu atau apa sahaja yang kamu fikir harus ada di rak buku di negara kita.

Selamat membaca dan menuliskan tentang apa sahaja yang dekat dengan dirimu atau apa sahaja yang kamu fikir harus ada di rak buku di negara kita

Oops! Această imagine nu respectă Ghidul de Conținut. Pentru a continua publicarea, te rugăm să înlături imaginea sau să încarci o altă imagine.
MENULISUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum