BACAAN TAHUN 2018

17 0 0
                                    


BACAAN TAHUN 2018

Kamu pasti banyak membaca bukan? Tidak juga, saya menganggap diri sebagai pembaca yang tidak rajin (non avid reader). Apa yang sudah didisiplinkan semenjak dahulu adalah membaca apa yang sedap,diperoleh mudah, topik yang menarik perhatian dan memberi reviu kalau bahan tersebut bagus (goodreads, salin lekat perkongsian dan mungkin disarankan pada teman teman). Ada buku yang saya sentuh tetapi tidak direviu langsung.

Bahan bacaan dibeli dari kedai buku terpakai, dihadiahkan teman penulis, dipinjam sebentar atau diklaim setelah menulis untuk portal mereka. Setakat ini berpuluh puluh buku terbitan FIXI saya dapat setelah tersiar cerpen di Cukaria. Jangan risau, kamu juga boleh meminjam dari Pusat Sumber tempatan berdekatan. Apa yang perlu hanyalah NAFSU MEMBACA yang tidak mati.

Bahagia melihat paparan teman teman medsos gambar gambar bahan bacaan yang macam macam dari luar dan dalam negara. Ada yang bagaikan bertanding berapa banyak buku dihabiskan dalam tempoh tertentu. Sesekali ditampar rasa berkurangan kerana saya jenis membaca perlahan. Kalau sedap diteruskan, diteliti dan kalau masuk bab ke 3 masih membosankan ditolak ke tepi.

Apakah 10 bacaan menarik secara peribadi di tahun 2018? (berikut adalah susunan tanpa merit)

1. A girl in the picture – Chong Denise

Dibeli sewaktu percutian di Hanoi. Buku buku tiruan bercambah di tepi jalan dari Hanoi sehinggalah ke Nha Trang dan Dalat yang dingin. Tidak ada apa apa sebenarnya hanyalah ingin lebih dekat dengan sejarah Vietnam dan perang sivil. Menyelami golak hidup huru hara rakyat dan pemerintahan membawa debar lari memohon suaka politik.

2. Tsukuru Tazaki Tanpa Warna – Haruki Murukami

Teruja mahu tahu. Apalah yang hebat sangat tentang Murukami yang dipuja puji oleh ramai penulis. Cara penceritaan yang bagaikan tokwan sangatlah menginspirasikan. Butiran butiran yang digunakan memberi idea bahawa cerita itu boleh jadi apa sahaja, kabur, sulit dan mendesah pada keremehan hidup. Baca satu sudah cukup, kalau ada lagi dikedai terpakai akan saya ambil.

3. Luka and the fire of life – Salman Rushdie

Dipinjam dari penulis Fahmi Mustaffa. Juga akibat rasa teruja mahu tahu kenapa dan bagaimana Salman begitu sensasi sekali. Teknik penceritaan tradisi tetapi moden ini menarik rupanya. Butiran butiran watak dan lokasi menjadikan Salman pencerita yang baik. Kemampuannya mengimbang sifat bijak dan bodoh mengkagumkan! Gambaran yang dijelaskan itu meskipun fiksyen tetap jelas. Saya akan tidak teragak agak akan mencari Harun dan Laut nanti...

4. Salafi – Shaz Johar

Menjadi pembaca beta untuk beliau adalah satu penghormatan. Shaz Johar penulis yang celupar bila memberi nasihat pada penulis muda. Karyanya dalam trilogi Mental sangatlah memikat. Salafi menghidangkan kritikannya pada khilaf orang Melayu dalam beragama dan drama dibawa sekali dalam hidup. Kalau Salafi sudah memikat, nantikan satu lagi naskah 2019 beliau. Saya sudah membacanya dan dijamin akan jadi naskah Malaysia yang harus ditelaah. Tunggu...

5. Five Star Billionaire - Tash Aw

Saya terlepas keretapi. Kalau ditanya apakah buku favorit, ini antaranya. Ia akan kekal berada dalam sanubari. Tash sewaktu residensinya di China menulis dengan lancar. Digabungkan resah orang cina dari Malaysia dan latar negara China di alaf baharu setelah zaman Mao. Kekalutan nafsu dan cinta pada wang mereka berbisnes dan sesekali pulang dalam imbas kembali di Malaysia. Ianya buku yang bijak dan berperasaan. Buku ini saya dapatkan percuma dari himpunan buku kitar semula di Penang.

6. Mao Last Dancer – Li Cunxin

Sekali lagi saya tertinggal keretapi. Pernah mendengar tentang filemnya juga. Dibeli di kedai jimat di Katoomba Australia. Kisah penari dari kampung hulu di China yang berjuang hingga ke Shanghai dan hidup di bawah rejim komunis yang dahsyat. Menilai kembali kemiskinan, perjuangan, disiplin dan kekejaman pemerintah. Dipaparkan juga kejutan budaya setelah tiba di Amerika dalam elemen elemen lucu, pilu dan mencengkam. Saya sudah terlalu banyak membaca karya China di usia 20an. Jadi sesekali kembali ada rasa yang menguja.

MENULISOnde histórias criam vida. Descubra agora