REVIU - Cerpen Santiago

93 2 0
                                    



MENGULAS CERPEN SANTIAGO

Pembaca sering ternanti nanti karya yang Wow! Memikat! Menggoda! Penulis pula tercari cari bahan dan cerita yang mahu disampaikan. Tidak menjadi sudah sekiranya ternanti nanti resepi kisah cinta, bunuh, tikam belakang, kalau penulis gagal melihat suasana terdekat sosio politik, budaya dan nafsu masyarakatnya.

Kisah sebenarnya ada di depan mata, menanti untuk difiksyenkan sahaja.

Mahizan Hussien penulis kondang yang sudah menghasilkan pelbagai novel dan skrip drama televisyen entah bagaimana muncul lewat portal cukaria. Melihat pada reaksi pembaca rata rata menyukainya, ada yang mengatakan sudah lama tidak membaca cerpen yang baik. Sebagai pemerhati, saya kira pembaca matang jadi terpikat kerana segala gerak cerita bagaikan dekat dengan diri, persoalan yang berlegar bagai dicuit cuit. Selepas membacanya kita mahu melihat ayah kita dari jarak dekat ataupun jauh.

Cerpen yang baik itu sederhana tetapi kuat sifatnya, naratif yang tidak malu untuk bercerita tentang kelemahan watak, berisi penuh dan tulisan yang tidak resah ralat kerana gagal membuktikan bijaksana penulis.

Perenggan pertama bernada sastera dimulakan dengan baik sebagai pancingan:

Aku sedang berlari dalam hutan diriku. Keliru adalah kelindan yang membawaku tanpa pemandu. Kian detik. Kian saat. Kian minit. Kian jam. Kian hari. Kian yang sekian kian, aku hilang. Batinku sumur gelap rawan. Fikiranku seteru tak terlawan.

Monolog diri yang perlahan lahan menjadi kasual adalah pengenalan pada situasi watak utama yakni Aku (lelaki tua)

Bukan aku tidak cuba-cuba ke surau atau masjid semula. Telah kucuba banyak kali. Keadaan itu hanya berjalan sekejap. Kemudian aku kembali menjadi orang tua yang hilang pegangan.

Mahizan masuk ke dalam kasut lelaki berusia. Bercerita tentang pengamatan hidup dan sekelilingnya yang bosan pada tatacara yang seolah olah beracuan.

Daniyal ialah anak sulung kami. Usianya 33 tahun. Dari remaja sampai sekarang, dia belum pernah ada kekasih. Dia tak pernah tunjuk minat pada mana-mana perempuan. Ini sangat membimbangkan. Aku takut dia songsang. Anak orang lain songsang tak mengapa, aku boleh terima. Anak aku tak boleh songsang. Anak aku kena normal.

Bersinis dengan cara yang tidak melampau tentang seksualiti tentang tanggungjawabnya (darah daging). Ini penting, untuk pembuktian atau mewakili rasa pembaca. Bersesuaian dengan isu isu yang dibangkitkan oleh negara. Sekali lagi ditekankan naratifnya tidak melampau berdosa neraka pahala.

"Orang dah tua-tua mengaji, awak tua-tua baca buku puisi orang muda." Isteriku datang mencariku di bilik bacaan dan sambung bersyarah. Memang kebelakangan ini dia tersangat ustazah.

"Ini bukan buku puisi orang muda. Ini buku puisi Afrizal Malna. Dia bukan orang muda."

"Sepatutnya awak baca kitab, bukan buku puisi," tegas isteriku.

Dialog realism di atas tidak akan mampu dilakukan kalau penulis tidak pernah melihat atau melalui pengalaman, diri atau situasi dalam keluarga terdekat. Saya kira ini mencantikkan lagi penceritaan.

Ketika aku berkata anak muda itu adalah aku, itu bukan bermakna anak muda itu datang dari masa lalu. Mana ada perkara mengarut sebegitu? Yang sebenarnya, aku teringin mahu menjadi anak muda itu jika aku berpeluang jadi muda lagi. Aku tak tahu kenapa aku memilihnya. Aku tak kisah dia siapa. Aku tak kisah dia setan mana. Latar belakangnya bukan plot utamaku.

Mahizan menyelitkan watak tambahan untuk memberi unsur suspen bagi melanjutkan kembara watak utama. Kata pengulangan aku di sini berulang ulang, pembaca yang membaca ikut serta masuk dalam resah watak utama Aku.

Dari situ kisah dan naratif berkembang mudah. Memberi ruang untuk penulis terus bercerita apa sahaja yang dimahukan. Kerana lawan sandarnya adalah seorang muda maka di situlah dilakarkan bual bicara lawan zaman, sikap dan sifat dalam suasana yang aman dan sedikit lucu. Memberi peluang pada penulis untuk bernostalgia tentang apa apa sahaja. Politisi yang mahu dipuja dan dicerca, Mahizan memilih untuk memetik nama Che Guevarra dan Alberto Granado. Begitu juga secara kelolo meluah rasa kesal apabila si muda tidak membaca (sinis pada generasi baharu), menggunakan sepenuh ruang untuk berkisah dan mengulangi kisah/watak dalam novel asas karya Ernest Hemingway

"Kau pernah baca novel The Old man and the Sea?" Aku menyoal dengan harapan dia adalah anak muda yang kuat membaca

Penceritaan ditamatkan dengan begitu polos terbuka. Membuatkan pembaca merasa senang untuk membuat andaian masing masing. Sehingga tamat cerpen pembaca dibawa bersama berkeluh kesah cuba memahami watak utama yang selamba menangani diri, isteri, anak anak, kehendak masyarakat, ekspresi diri dan identiti. Secara peribadi saya fikir cerpen ini sudah melibatkan budaya, dirian, persoalan, hubungan dan tidak memaksa maksa jati diri.

Satu pujian untuk Mahizan Hussien kerana tidak menjual nilai yang bukan bukan dalam karya ini. Penceritaan tidak bersifat KEMARUK.

Cerpen penuh SANTIAGO boleh diketik di untaian ini: https://www.facebook.com/Cukaria/photos/a.1842186552770492/22200711183

1842186552770492/22200711183

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
MENULISWhere stories live. Discover now