DINSMAN TENTANG KERIS MAS

95 1 0
                                    

KERIS MAS SASTERAWAN DAN PEMIKIR
(Kolum Tekad Budaya, 18.2.2018)

Oleh Dinsman

Sempena siri bulanan Mengimarah Sasterawan Negara anjuran PAKSI dan IDE (Institut Darul Ehsan) pada bulan Februari ini memilih Keris Mas, saya ingin menulis sesuatu mengenai Keris Mas yang sempat saya kenal

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sempena siri bulanan Mengimarah Sasterawan Negara anjuran PAKSI dan IDE (Institut Darul Ehsan) pada bulan Februari ini memilih Keris Mas, saya ingin menulis sesuatu mengenai Keris Mas yang sempat saya kenal.

Tak banyak sebenarnya kenangan saya berkaitan Keris Mas, tetapi kenangan yang ada sedikit ini pun cukup bermakna dan mempengaruhi saya, khasnya dalam memahami dan bersikap mengenai seni dan sastera. Ia sangat kuat melekat dalam minda saya.

Saya mengenali Keris Mas sewaktu bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka mulai Julai 1974. Dia ketua Bahagian Sastera DBP pada waktu itu. Saya di unit kajian yang diketuai oleh Baha Zain. Usman Awang mengetuai unit majalah. Boss keseluruhan Bahagian Sastera ialah Keris Mas. Jadi dialah boss saya.

Tak banyak yang saya ingat Keris Mas selama saya bekerja di situ lima tahun enam bulan, sebelum saya berhenti awal Januari 1980. Tapi satu imej yang kuat tergambar dalam minda saya mengenai Keris Mas sebagai boss sastera DBP pada masa itu ialah gaya dia duduk di kerusi dalam pejabatnya ketika saya menjengok hendak masuk berjumpa dia – dia sangat rileks duduk dengan kaki diletak di atas meja sambil membaca. Dan di atas mejanya bersih tiada longgokan fail atau apa-apa.

Dan satu imej lagi ialah gaya dia berjalan di ruang jalan dalam pejabat itu, dengan lenggang yang bersahaja dan seperti tiada masalah. Itulah imej seorang boss di jabatan sastera. Dia mentadbir dan menguruskan perjalanan sebuah jabatan yang terdiri kira-kira 30 orang kakitangan itu dengan gaya yang rileks dan bersahaja.

Saya suka dengan cara dan gaya dia mentadbir. Bukan tidak ada masalah. Saya pun pernah membawa masalah kepada dia, dan dia menasihati saya bagaimana menyelesaikan masalah itu. Gaya dia sangat mesra, dan saya yang baru tamat pengajian di universiti dan langsung bekerja di bawahnya, waktu itu, merasa bahawa dia seperti seorang ayah yang mengasuh kami anak-anak buahnya, dengan kasih sayang seorang ayah.

Itulah imej Keris Mas yang terus ada dan sangat kuat hadir dalam minda saya, sehingga kini. Dan seingat saya sepanjang dia mengetuai jabatan itu, yakni sepanjang dia menjadi boss di situ, tidak ada masalah di situ. (Saya tak ingat bila dia bersara; sebelum saya berhenti).

Hanya itu sahaja sosok Keris Mas yang ada dalam memori saya; selain daripada pesan/amanat yang pernah diberi atau dinyatakannya kepada kami anak buahnya dalam suatu mesyuarat yang terpahat kuat di minda saya, katanya: sastera atau karya yang baik itu seharusnya menjernihkan jiwa masyarakatnya.

Selama saya berkhidmat di DBP di bawah asuhan seorang pengarang sasterawan besar bernama Keris Mas (sebelum dia menghasilkan novel 'Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur' dan 'Rimba Harapan'), itulah satu pesan/amanat yang terus melekat kuat dalam minda saya hingga sekarang.

Pesannya itulah yang menggerakkan saya jadi berani bertanya pelbagai soalan yang pernah saya lontarkan kepada khalayak seni-budaya di negara ini, mengenai fungsi dan peranan sasterawan-seniman-budayawan dalam masyarakat yang sedang bergolak dengan pelbagai masalah sejak dekad 90-an hingga kini.

Saya selalu teringatkan pesan Keris Mas bahawa sasterawan seharusnya berusaha menjernihkan jiwa masyarakatnya melalui karya-karya sastera. Dalam satu interviu majalah 'Dewan Budaya' dengannya, tahun 1988, dia bercakap hal masyarakat kita yang sedang bergolak dan 'kucar-kacir', dan berkata: "Itulah sebabnya sekarang pemikir atau intelektual mesti berjuang..."

Kita semua pun tentu tahu betapa perjuangan Keris Mas bersama kawan-kawannya Usman Awang dan lain-lain di dekad 50-an yang kumpulan mereka dikenali sebagai 'Asas 50' itu, dengan tema dan prinsip perjuangan "Seni Untuk Masyarakat" yang terkenal itu.

Barangkali pesan Keris Mas bahawa "sastera harus menjernihkan jiwa masyarakatnya" itulah juga yang turut menggerakkan saya dan kawan-kawan dalam PAKSI sejak kira-kira sepuluh tahun lalu memperjuangkan agar seniman-budayawan-intelektual kita bangun menghidupkan semula peranan mereka masing-masing, melalui gerakan yang dinamakan Tekad Budaya itu.

Selain itu pemikiran Keris Mas yang disuarakannya melalui interviu 'Dewan Budaya' 1988 itu juga, bagi saya adalah sangat penting, untuk kita mengenali ketokohan dan kewibawaan Keris Mas bukan sahaja sebagai penulis/sasterawan tetapi juga sebagai pemikir yang berilmu dan yakin dengan ilmu dan pemikirannya.

Membaca semula interviu tersebut saya dapati Keris Mas adalah seorang tokoh sastera kita yang agak berbeza daripada sasterawan lain, yang konsisten dengan perwatakannya yang saya kenal sewaktu di Dewan Bahasa itu, iaitu seorang pemikir dengan gaya falsafah, yang tidak mudah ditemui pada mana-mana penulis dan sasterawan kita.

Perhatikan saja bagaimana dia menjawab soalan awal: "Secara umum, apa komen Pak Keris terhadap kehidupan masyarakat hari ini?" Jawapannya rengkas dan padat, seperti berikut:

"Kehidupan umum masyarakat sekarang dipengaruhi oleh pemikiran orang sekarang. Orang-orang biasa nak cari makan. Sebenarnya sekarang cari makan tak susah. Semua orang tak susah nak cari makan. Tapi makan yang macam mana yang dia hendak, itu yang jadi soal. Dan kehidupan sekarang diharu oleh pergeseran politik, di samping diharu oleh pancingan-pancingan kebendaan yang terlalu banyak.

"Itulah saya kata, kehidupan macam mana yang orang mahukan? Kalau sekadar nak hidup, tak ada masalah. Cuba kita tengok di Kuala Lumpur, dalam bulan puasa baru ini sampai tak dapat nak berjalan, macam semut ramainya manusia. Semua orang itu bawa duit. Susahkah mereka? Mereka tak susah? Dalam ertikata perbandingan dengan kesusahan pada masa-masa yang lampau, dan perbandingan dengan setengah-setengah negeri yang lain.

"Kehidupan umum sekarang okey. Cuma sikap kita terhadap hidup. Mahu hidup yang macam mana? Sekarang ini tafsiran kekayaan dan kemiskinan sudah lain. Kekayaan sekarang ini orang nak punyai semua yang ada dalam dunia. Bagi saya, selagi kita berkehendakkan sesuatu, tak dapat, kita miskin. Apabila kita dapat semua yang kita perlukan, kita kaya."

Insya Allah saya akan bincang selanjutnya mengenai pemikiran-pemikiran Keris Mas yang saya fikir selaras dengan pesannya bahawa sastera itu seharusnya menjernihkan jiwa masyarakatnya. Insya Allah.

(Dari kolum 'Tekad Budaya' akhbar Amanah, 18.2.2018)

Program Wacana Pemikiran Keris Mas akan diadakan di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam, 28.2.2018, jam 4.00 ptg, dengan ahli panel Saleeh Rahamad, A.Rahim Abdullah dan Dinsman.

Dinsman  - Shamsuddin Osman - merupakan sasterawan kondang Malaysia yang pernah ikut tercalon untuk pemilihan Sasterawan Negara

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Dinsman  - Shamsuddin Osman - merupakan sasterawan kondang Malaysia yang pernah ikut tercalon untuk pemilihan Sasterawan Negara. Pemikir yang tidak pernah kering idea dan keprihatinan terhadap negara tercinta. Masih aktif menzahirkan persembahan teater (Apa lagi yang bapa mahu? dan Uda & Dara - pentas bendang). Teknologi menghubungkan kami untuk saling melihat pemikiran masing masing. Saya fikir dia antara sasterawan milik negeri ini yang saya sanjungi.

MENULISWhere stories live. Discover now