KENAPA BAHASA INGGERIS?

43 2 2
                                    

BAHASA INGGERIS


Apalah pilihan yang kita ada?

Memang benar ia bukan bahasa untuk diagung banggakan, tetapi (ada banyak tapi...) jika mampu dan berpeluang kenapa tidak dipulun untuk menulis dan berbicara dengan baik dalam bahasa tersebut?

Ada laba menanti jika kamu fasih berbicara dan menulis dengan baik bahasa tersebut. Jangan dinafikan.

Ia bukanlah senjata untuk berangkuh-angkuh mengukur taraf cendiakawan seseorang. Ada yang bicaranya berhabuk penuh jargon-jargon barat tetapi tidak membawa sebarang isi. Ada... (Kita orang kampung dulu dulu kagum ternganga bila bertemu penutur Inggeris yang bukan natif berbicara - kagum sebab kita tidak tahu hujung pangkal).

Harus ingat, ia bahasa ke 2 yang membantu. Di negara yang mengambil Bahasa Inggeris sebagai jalan tengah untuk kelancaran kerja dan penerangan bilamana kefasihan Bahasa Malaysia berada di tahap miskin bila berhubung sesama.

Jadi bila ada peluang untuk belajar memperbaiki tulisan, sebutan dan tata bahasa rebutlah tanpa ralat. Tidaklah molek bila bahasa kemudahan dunia (walaupun tidak kita setuju atau selesa) kita palit dengan kesumat bangsa, kelas, sejarah jajah, agama dan lain lain konotasi negatif. Orang ajar, kita belajar.

Apa yang mahu dimalu? Ini bukan bahasa ibunda kita, jika mahu boleh digilap atau jika sudah puas hati bolehlah digunakan sebagai jambantan komunikasi yang berkesan (biar diri tidak dilekeh hina). Tidak perlulah memberi contoh negara negara lain yang maju tanpa Bahasa Inggeris. (Merekapun dalam diam memaksa generasi muda untuk PULUN berbahasa Inggeris dengan baik atas dasar peluang tempatan dan perkembangan globalisasi).

Buanglah sifat ego bila ditunjuk ajar. Penguasaan Bahasa Inggeris tidak akan membawa kamu berdiri di tangga gereja, makan bersudu garpu, berbaju senteng dan terlupa asal usul. Eja, sebut dan tuturlah dengan molek biarpun berbunyi kam kam.. tidak ada masalah. Pasang niat mahu yang betul. Kalau 11 tahun di persekolahan Malaysia kamu main main, inilah masanya dikarau semula kemahiran tersebut - lebih mudah belajar di usia tua jika masuk bab bahasa.

Janganlah sampai kamu mula berkata: "My Malay is not so good lah... i prefer Inglis...." Penyapu bersalut tahi mama berikan untukmu.

Regina Ibrahim
160221

Regina Ibrahim160221

Ops! Esta imagem não segue nossas diretrizes de conteúdo. Para continuar a publicação, tente removê-la ou carregar outra.


MENULISOnde histórias criam vida. Descubra agora