MENULIS MEMBACA

25 1 0
                                    

BUAL SANTAI TAMAN ARMENIAN

Bertemu secara santai teman yang menulis untuk makalah serius tentang budaya, politik dan sosial entah bagaimana kami beralih pada bicara tentang Suratkhabar, Hasrat Pemerintahan Semasa, Editor yang silih berganti dan tidak pernah dibaca penulisan tentang luahan terhadap kerja kerja mereka selama ini... bagaimana bila tataan akbar harian telah siap, menerima arahan untuk digugurkan rencana/artikel yang dirasakan menyanggah tidak sesuai aspirasi semasa dan siapa agaknya tukang pantau dan memberi arahan? Ia sesuatu yang agak misteri bukan? Meskipun suratkhabar dengan mata kasar dilihat sebagai bentuk perniagaan melalui edaran.

Beberapa akhar lama disebut... Bintang Timur, Straits Echo, MalayMail, New Thrill dan macam macam lagi. Sesama kami jadi terfikir apakah suratkhabar fizikal masih disambut edarannya? Mungkin The Sun yang percuma ketika ini jadi akhbar nombor satu?

Kemudiannya kami masuk pada bicara tentang akhbar sisipan yang mempunyai peminat tersendiri. Pancaindera? Bi-pop? Atau sisipan yang membawa pada Harian Metro, Sinar dan tabloid tabloid lama seperti Mingguan Perdana, Bacaria dan macam macam lagi yang cuba ikut serta di zaman komputer masih berskrin hijau. Harus diakui banyak syarikat akbar nyamuk tersebut sudah gulung tikar. Diakui juga pada artikel artikel yang masih baik untuk tatapan pembaca. Kami saling tertawa membicarakan paparan penting di Sungai Patani atau jauh di pendalaman Sabah ada golongan yang mahu tahu akan kisah kisah artis tempatan. Tidak salah dan tidak dipersoalkan. Mereka sudi membeli secara setia.

Akhbar sebagai jambatan penerangan pada hasrat pemerintah semasa tidak boleh dinafikan langsung.

Perlahan lahan kami beralih pada bicara tentang karya karya Melayu di Pulau Pinang secara ringkas. Sama sama ketawa apabila wacana terhadap karya berbahasa Melayu dilakukan dalam Bahasa Inggeris. Selalunya begitulah, namun lama lama ia terjadi secara biasa. Ketawa lagi apabila pembaca Malaysia yang kerap membaca naskah naskah berbahasa Inggeris kerap tertinggal pada hal sosial yang dibicarakan oleh penulis tempatan berbahasa Malaysia. Banyak karya karya bagus jadi terlepas pandang.

"I want to read your work, but my bahasa is so bad...," aduhai..

Sebagai manusia yang menulis, banyak persoalan bermain di kepala kami sebenarnya. Berapa ramai yang membaca tulisan Hishamuddin Rais? Berapa ramai masyarakat majmuk di negara ini kenal pada Shaz Johar? Nadia Khan? Raiha Baharrudin? Karya karya para SN jangan cakaplah, kami sendiri adakala terlepas. Dalam meraba raba mencari jawapan, kami fikir ada pembahagian minat bangsa, aktiviti kegemaran dan sibuk menjana pendapatan sebagai hadangan. Begitu juga kedekatan pada bahasa dan kiblat budaya yang dibina secara tidak sedar dalam semua insitutsi keluarga. Membaca hanya setakat melepasi peperiksaan besar dan kemudiannya dilupakan atas dasar kesibukan membina kehidupan yang beracuan konstruk tanpa sedar.

Jadi teringat pada tulisan Rehman Rashid dalam Bahasa Inggeris. Isi kandung padu buku beliau mungkin hanya dibaca oleh kelompok tertentu.

Bicara santai sebegini, meskipun tidak berlandaskan bukti dan fakta kukuh membuatkan saya kembali dan berfikir. Berfikir dalam sebenarnya tentang pembacaan dan serapan ilmu dari buku yang sudah tentu diwakili oleh pilihan bahasa yang dirasakan dekat dan menyumbang. Sebagai penulis fiksyen dalam Bahasa Melayu sudah tentu saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap bahasa pilihan tersebut dan percaya akan lebih banyak ilmu yang mahu dikongsi dengan para pembaca yang setia.

Tidak ada yang akan jadi konkrit sebenarnya bual bicara santai sebegini, namun ia mencuit deria peri pentingnya kerja kerja penulisan, tanggungjawab, editan, terjemahan (siapa yang bertanggungjawab?), pandangan para pembaca yang membaca dan berfikir secara Inggeris? Apa yang kami sedar, pembahagian terjadi secara semulajadi akibat sistem persekolahan, tafsiran peribadi warganegara, dorongan asal bangsa dan pelbagai lagi hal yang mungkin sensitif untuk disebut.

Ada manusia membaca untuk menjadi pandai berinformasi dan menyerap berilmu. Terdapat yang memilih buku sebagai pengisi masa lapang dan mahu dihiburkan. Ada yang membaca hanya kerana terdesak pada suatu peringkat sahaja (peperiksaan, tesis, hadir wacana)

Bicara yang tidak akan pernah tamat ini paling tidak membuatkan kami sebagai penulis berfikir dan mahu melihat perubahan positif paten membaca terhadap generasi mendatang. Saat di mana ilmu dan penulisan tempatan tidak dienteng entengkan, diterjemahkan sepantas mungkin demi pasaran dan dari aktiviti tersebut mungkin tahap pemahaman akan beranjak pada tahap yang selesa dan menyenangkan.

Kami akan bertembung lagi dan sebagai penulis sudah tentu akan ada sahaja cerita cerita terhadap dunia penulisan.

Menurut temanku, kami boleh sahaja bersifat penting diri kerana dikurniakan pemikiran dan kebolehan memahami situasi penerbitan dunia serta bernasib baik mampu membaca karya karya dunia, namun ada hal yang maha penting tentang penulisan (tempatan) yang tidak akan pernah sampai pada khalayak... entah mereka sedang lapar ilmu? Atau mereka tidak peduli? Atau mereka sedang rabun identiti? Tidak pasti.

Kami masing masing tertawa, mengucapkan selamat jalan bergerak menuju destinasi masing masing...

Kami masing masing tertawa, mengucapkan selamat jalan bergerak menuju destinasi masing masing

Ουπς! Αυτή η εικόνα δεν ακολουθεί τους κανόνες περιεχομένου. Για να συνεχίσεις με την δημοσίευση, παρακαλώ αφαίρεσε την ή ανέβασε διαφορετική εικόνα.
MENULISΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα