SOROTAN

68 2 0
                                    


Dengan statistik 32. 4 juta rakyat Malaysia setakat ini, kita masih berbicara tentang Budaya Membaca. Secara longgar kita mahu berfikir tentang separuh daripada jumlah tersebut yang mungkin boleh jadi pembaca. Masakini apakah bahan bacaan mereka? Bagaimana agaknya mereka baca?

Bukanlah hal yang mudah. Perpindahan dari bahan bacaan berbentuk fizikal bagaikan api marak menuju digital. E-book yang dikatakan meringan dan memudahkan. Pembaca yang masih suka pada bau kertas. Jelasnya ada VS di situ. Bagaimana pula kalau penerbitan kamu masih di tahap tradisional tanpa portal digital?

Apa agaknya definasi membaca? Masing masing kita akan tampil dengan pendapat peribadi. Membaca paparan Mukabuku juga gerak mengeja, memahami dan membaca bukan? Ah! Kita semua ketawa, berlucu lucu pada hal tersebut agar minda jadi lebih ringan.

Masuk pula berita bahawa Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan 'KL Baca - Caring Through Reading' oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Menusup rasa bangga dan sedikit kerisauan sebenarnya.

Kenapa risau? Kenapa bangga?

Risau memikirkan tentang Budaya Membaca orang kita. Melalu pengalaman peribadi ramai yang ditemui tidak mencapai nikmat membaca. Ya, menurut mereka membaca adalah aktiviti yang tidak selagu dengan cara hidup. Sibuk, tidak ada masa, terpaksa bekerja cari duit... Buku percuma juga belum sempat disentuh. Pokoknya tidak bertemu akan nikmat menelaah ilmu dari buku.

Bangga? Memikirkan negara tidak tercorot di bawah dalam senarai negara negara dan tahap literasi mereka. Malaysia berada di tempat yang ke 10 menurut portal Wise Step yang menyenaraikan negara di dunia yang berpendidikan. Jadi kita mahu berfikir bahawa aktiviti perbukuan sudah pasti mempunyai masa depan yang cerah.

Hal yang saling berkait antara Penulis dan Pembaca tidak dapat dielakkan. Kita sudah berbicara tentang nyamannya memperkenalkan diri sebagai penulis, bagaimana terujanya mereka bertanya: Tulis buku apa? Terjual di mana? Fiksyen atau apa? Dan pelbagai soalan termasuk imaginasi mereka bahawa penulis kehidupannya senang lenang dan kaya raya.

Penulisan sebenarnya tidak mempunyai erti sekiranya tidak dibaca.

Buku dibeli lebih penting atau buku yang dibaca? Subjektif sungguh persoalan sebegini. Terbayang bagaimana cita cita ramai yang mahu menjadi penulis mati separuh jalan sahaja setelah melaluinya. Bakinya? Hanyalah mereka yang tangguh/ampuh/bersemangat yang terus menggilap cara penulisan untuk dibaca. Makanya lahirlah pelbagai aktiviti wacana penulisan untuk mendekatkan lagi penulis dan pembaca.

Tidak dapat lari dari gabungan sifat niaga penerbitan, pembaca yang semakin meminta minta, pembahagian bahasa pengantar (Bahasa Malaysia dan Inggeris atau bahasa bahasa lain), terjemahan yang diusahakan, upah upah yang turut serta, pesta pesta buku untuk menjana sifat membaca dan pelbagai urutan lain akan terlibat jika mahu dibicarakan tentang buku sesebuah negara.

Penulis yang bertindak sebagai jejantas ilmu/hiburan/panduan sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan. Memilih genre dan sebarang ekspresi yang mahu mereka tonjolkan. Terpulang pada mereka untuk membaca pasaran selagi mendapat dukungan dari pihak pihak tertentu. Ada yang bersedia untuk masuk dalam dunia penulisan untuk bersaing, ada juga yang terus menulis selagi ada ruang untuk mereka berekspresi dan paling sedih jika penulis harus berpatah pulang mencari rezeki yang lain.

Dunia penulisan kalau dilihat seimbas kelihatan mudah. Cari bahan, kukuhkan isi dan tulis, sayangnya yang tersorok adalah hal hal remeh lain yang tidak kurang pentingnya sehingga buku terhasil dan mendapat perhatian. Jangan kata buku fiksyen, buku akademik juga harus melalui proses yang sama.

Ini belum lagi pengalaman menerbitkan buku sendiri. Laluannya tetap sama, mana mungkin kamu menjadi penulis yang ekslusif sekiranya kamulah menggalas tugasan pemasaran, penjualan, edaran dan penghantaran.

Hilanglah nikmatnya menjawat tugasan menulis. Belum lagi diambil kira babak penipuan dan tidak sistematiknya pihak penerbitan. Bagaimana agaknya kekentalan hati penulis mahu dikekalkan?

Menjawat tugasan menulis sepenuh masa nampaknya hampir mustahil. Lainlah kalau bertuah mempunyai ruang pojok di akhbar harian atau majalah sambil menjawat jawatan di sana. Persoalannya apakah kita mahu gelar bahawa menulis hanya untuk suka suka? Penulis hujung minggu? Menyedihkan.

Sebagai penulis inilah yang sering bermain di fikiran. Kamu bagaimana? 

 Kamu bagaimana? 

ओह! यह छवि हमारे सामग्री दिशानिर्देशों का पालन नहीं करती है। प्रकाशन जारी रखने के लिए, कृपया इसे हटा दें या कोई भिन्न छवि अपलोड करें।
MENULISजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें