BICARA BUKU INDIE

64 6 3
                                    



Sebelum menjadi penulis di FIXI ada juga terdengar tentang desas desus hal Indie dan topik yang dibawa mereka. Mama bayangkan ia mungkin keterlaluan dari segi bahasa dan isi kisah yang dipersembahkan para penulis penulis ombak pertama fixi. Benarlah kata orang, jangan dihakimi jika belum membaca.

FIXI, DUBOOK, LEJEN, TERFAKTAB, THUKUL CETAK, SELUT dan lain lain.

Tidaklah seburuk mana rupanya naskah yang moden dan muda, cuma mereka tidak menurut teknik penceritaan sedia ada selama ini. Dahulu kita cuma ada buku buku cerita biasa (buku buku lucah pula di pasaran gelap) Ya, sejak tahun 60an lagi novel novel lucah sudah ada. Jelasnya buku fixi bukan begitu. Buku fixi setakat ini adalah wadah terus terang dalam penceritaan. Ada waktunya digunakan lingo jalanan. Begitu juga buku buku dari penerbitan kecil indie yang lain, topik topik pilihan berbunyi sangat bijak dan selamba. Tajuk pilihan berbunyi bagai memanggil manggil untuk dimiliki.

Sekali sekali penulis muda bersinis akan isu isu semasa dalam penceritaan. Pembaca yang matang dituntut berfikir akan hal ini. Negara dan budaya, gerak manusia yang semakin pantas dan keresahan mahu bersuara akan menjentik kotak fikir, setelah lama berada dalam acuan moral palsu pastilah ada isu isu yang tidak dapat tidak perlu disentuh. Setelah kejayaan Dubook dan buku Fixi semakin banyak penerbit penerbit indie tampil (Ada yang menerbitkan buku buku tentang bunuh, seksualiti, jelang usia dan pelbagai percubaan lain). Pilihan buku kekal tertakluk pada diri kita sebagai pembeli/pembaca. Bukan semua genre sesuai untuk semua, tidak juga bermakna segala paparan buruk akan diikuti bukan?

Perlu tahu bahawa penerbitan indie mempunyai panel yang bermata tajam dan editor yang mantap (typo - salah eja salah tatabahasa dan istilah istilah silap mereka tebak mudah). Bagi pembaca tegar, ada buku buku karya anak muda yang ternyata membawa perspektif yang segar dan baharu.

APA YANG DICARI DI DALAM NASKAH?

1. Cerita yang menarik dan luar biasa
2. Hal hal tabu yang jarang dirungkaikan dalam penceritaan
3. Teknik dan gaya penulisan menarik (gaya lama atau semasa) untuk gambaran bingkai waktu
4. Huraian dan informasi yang tidak terlalu berbentuk ceramah
5. Gerak laku/badan/gaya watak watak yang ditulis secara realistik
6. Penamat pula ada pelbagai. Ada yang sukakan penamat pasti, tergantung dan penamat yang pembaca boleh membuat andaian sendiri.
7. Menghiburkan (hal yang subjektif) tidak semua isu menghiburkan, meskipun setelah tamat bacaan ia mungkin memberi ilmu baharu dan membuatkan kamu befikir

Jadi buku dibaca dengan dada yang lapang dan otak matang terbuka. Hal hal seperti rogol, sumbang mahram (incest), khilaf, hitam tersorok itu meskipun khayalan penulis, ia sudah tentu berada dalam kapasitas pemikiran manusia fana.


Kenapa memilih buku Fixi? Kerana ianya berada dalam kerangka bercerita tentang sifat manusiawi yang wujud (unless it's futuristic), berwatak muda bersahaja, dekat dengan rasa hati/pengalaman pembaca atau paling tidak dicuit gambaran pemikiran kita di sana.
Informasi dan ilmu TIDAK menanti kita supaya suka sahaja, selitan selitan dalam fiksyen itu akan memberikan kita daya fikir tentang dunia yang kita diami. Ya, bagus atau bermoral, hitam atau jahat juga ada di dalam hidup ini...

PENULIS MAHU TULIS APA?

Jawapannya apa sahaja yang dekat atau isu yang bermain main dalam minda kamu. Teknik mudah adalah kembali pada diri sendiri (bukanlah kisah kisah kamu yang tidak pernah glamer itu, tetapi siapa di tepi dan sekeliling kamu? Sifat apa yang kamu sanjung, benci, lemas, meluat atau ingin tahu. Kerana resepi ikhlas hakikatnya sudah azali, betullah kata para otai bahawa menulis adalah kerjaya ikhlas yang datang dari lubuk hati nurani. Sesekali penulis berkhayal bagai nak gila diadun ramu pula sebaik kaki berpijak ke tanah. Akhbar harian yang sensasi sendiri sudah mampu memberikan kamu idea idea yang menarik, pandai pandailah kamu menongkah kisah dari situ. Keupayaan masuk dalam kasut setiap watak secara adil juga dituntut (biarpun untuk watak antagonis)

Jangan lupa untuk membaca karya karya orang lain. Ini penting untuk melihat sejauh mana mereka pergi atau setakat mana kadar mampu diri. Mana tahu, kamu memperolehi kemahiran atau inspirasi darinya. Inspirasi bukan sahaja hadir dari naskah hebat, naskah naskah lemah juga ada ketikanya memberikan kamu inspirasi yang mengejutkan. Paling tidak membacalah, kerana ianya seiring dengan nafsu untuk menulis.

Kamu pernah membaca kisah yang simple tetapi sedap bukan? Ya, itu petanda bahawa asal ada cerita dan kemahiran berkata kata, pemindahannya ke naskah dengan tertib akan tetap membuahkan hasil.

Lain waktu kita berbicara tentang bagaimana sedihnya dunia penulisan yang nyata....okay?

okay?

Ups! Ten obraz nie jest zgodny z naszymi wytycznymi. Aby kontynuować, spróbuj go usunąć lub użyć innego.
MENULISOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz