APA YANG PENULIS BACA?

253 14 7
                                    

APA YANG PENULIS BACA?

Secara terus terang, sering terbit rasa malu mahu menggelar diri sebagai penulis. Bayangkan dalam keramaian, diperkenalkan sebagai penulis. Lama lama barulah dibiasakan. Secara berjenaka, dilapik kata santai bahawa menulis di medsos juga adalah penulis bukan?

Bertemu dengan teman teman penulis yang pembacaannya luas boleh menjadikan kamu diserang rasa rendah diri. (entah buku apa dan penulis mana yang dia sebut?) Ingat! Bukan buku popular sahaja yang boleh dibincangkan, bukan nama nama besar sahaja yang harus dipulun seolah olah ia kemestian/wajib. Bukan, jangan silap. Kalau kamu sudah membaca bentangkan sahaja karya tersebut dan perasaanmu terhadapnya secara adil. Jika masih ragu ragu, jangan! Memang, timbul rasa menakutkan apabila nama nama pengkarya antarabangsa dipetik, sedangkan dunia penulisan yang kita terokai masih kecil. Kamu boleh memilih untuk mendengar dan bertanya sahaja, apa salahnya?

Ya, penulis perlu membaca. Nasihat klise yang sering dihulurkan oleh sang senior pada junior. Mana mungkin penulis tanpa sebarang isu duduk mengadap papan kekunci lalu automatik menaip. Secara tradisi penulis membekalkan diri dengan segala golak isu dan polemik sosial negara atau global demi jalinan kreatif yang mahu diangkat jadi bahan tulisan. Segala ini dicakup dari bahan bacaan dan pemerhatian hati. Galur sosial dan manusiawi ditekuni, dibaca dari pelbagai sisi agar wujud proses mudah ketika merangka penulisan, tidak kiralah samada ianya berbentuk artikel akademik, puisi, cerpen atau sebarang jenis fiksyen.

Buat penulis pemula, jangan gentar!

Kamu sebelum ini sudah tentu sudah membaca banyak bahan bacaan kegemaran. Meski ada kecenderungan tertentu, membaca biarlah luas dan mencakupi genre yang pelbagai, nasihat sang senior lagi. Membaca pula tidak boleh dipaksa paksa, kerana badan dan otak manusia harus selagu dengan apa yang sedang dibaca. Membaca pula bukanlah sekadar membaca, ia lebih dari itu. Ingat, kalau buku tersebut masuk hingga bab 3 masih lagi membuatkan kamu menguap, letih, kabur, terkial kial tidak berdaya dan masih kosong, tinggalkan sahaja. (mungkin kembali membaca semua bila sudah bersedia) Perihal ini akan jadi panduan apabila kamu menulis nanti. Setiap halaman yang dicetak harus menarik, menggoda dan menangkap. Jadi kalau bahan bacaan masih tidak sedap, meski dipuji oleh portal reviu dan rating tinggi jualan, tinggalkan sahaja. Mungkin boleh kembali kemudian, bila otak dan badan bersedia. Harus ingat suka atau tidak perlu ikhlas... menidakkan kecenderungan genre pilihan bukanlah bermaksud kamu berlesen mengutuk. Bukan semua penulis berkongsi suka pada Murukami, Eka Kurniawan, Wan Nur Azriq, Faisal Tehrani dan Edgar Karet.

Bacaan boleh dialihkan pada sidang editor, jurnal sains sosial, majalah dan macam macam termasuk bacaan percuma yang ada di sidang internet tertakluk pada genre pilihan. Kata kata lama bahawa membaca membawa kemakmuran fikiran ada benarnya. Dari situ penulis boleh mempelajari bagaimana kosa kata dihasilkan, mungkin juga menemui beberapa istilah baharu dan lama yang boleh diguna pakai dalam penulisan mendatang. Mungkin mempelajari silap eja, editan silap, salah tatabahasa atau salah info dalam penulisan orang lain, ya, silap orang adalah antara jambatan latihan dan panduan kita. Membaca karya lama dan mencari bahan cetak di perpustakaan amat digalakkan.

Penulis fiksyen disarankan membaca novel atau kumcer sementara menanti stail peribadi menyusul. Setakat ini novel dan kumcer tempatan sudah mempamirkan pelbagai teknik penceritaan dan penulisan. Kita sudah memasuki fasa tidak lagi membicarakan hal hal sastera indie dan sastera asli. Ia menghabiskan waktu dan airliur, sedangkan karya para penulis mendatang dipercayai akan berbunyi lebih bijak, moden mendepan dan lebih bersifat inovatif meskipun masih bercerita tentang 'cinta manusia' yang sama genrenya. Percayalah bahawa kita semua mampu hadir ke tahap kualiti penulisan yang mewakili zaman atau paling tidak sejajar dengan karya antarabangsa.

Lebih beruntung sekiranya kamu pemula yang jadi pengamal dwi- bahasa. Jengok jengok juga karya karya terjemahan dari bahasa asing ke Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Paten dan stail bercerita sebenarnya bukanlah hal yang dilatih. Kursus kursus menulis hanyalah memperkenalkan kamu pada teknik dan cara melampirkan maklumat agar jadi susunan cerita, selainnya tergantung pada kreatif luahan hati yang disusun istimewa untuk pembaca sasaran.

Sewaktu membaca banyak karya, kamu secara tidak langsung menemukan teknik teknik menulis para penulis yang sudah established. Lagi banyak ditelaah, lebih jelas proses mereka menyusun informasi (untuk akademik mahupun fiksyen), plot cerita, pilihan kosa kata dan ketaatan pada tatabahasa yang piawai. Ramai di kalangan kita menganggap Bahasa Melayu itu mudah, apabila mula menulis barulah kamu mula melihat kesulitan susunan dan aturan yang seharusnya bagaimana. Di sinilah muncul musabab tentang perihal rajin membaca menjadikan kerja menulis/merangka ayat semakin mudah. (isu atau jalan cerita sudah ada, tinggal menongkah kata sahaja)

Kita sudah berbicara tentang tanda tanda bacaan, ejaan, kata sendi, huruf huruf condong, akronim dan isitilah isitilah bahasa yang diiktiraf pusat bahasa negara. Diulang pesan berkali bahawa penulisan yang baik hadir dari pengalaman yang banyak, matang dan panjang. Banyak membaca mempercepatkan proses penulisan agar tampil lebih matang. Membaca genre pelbagai akan membolehkan kamu membezakan hal hal lewah, apa yang boleh dan tidak boleh. (harus ingat ada karya karya sastera yang sengaja dilewahkan demi menyentuh mood rasa sewaktu dibaca – banyak juga karya yang tidak memerlukan teknik lewah tersebut).

Membaca dan tersangkut hanya pada satu genre juga tidak molek, namun lebih baik membaca dari tidak membaca langsung. Sang bijak pandai yang berura ura menulis ada mengatakan bahawa dia tidak membaca kerana takut terikut ikut. Ingat, terikut ikut itu adalah situasi di mana penulis berimaginasi lemah, tidak kreatif dan gagal mendakap isu yang mahu diketengahkan. Kita sudah tentu tidak mahu 10 buku bernada sama, dengan cerita yang lebih kurang dan dibandingkan nanti.

Apabila sudah membaca dan menulis, masuk pula hal hal reviu dan kritik. 

Kita sudah berbicara tentang etika semasa di negara ini panjang lebar mereviu di dinding Independent wattpad. Dunia medsos kini bersemarak tanpa batasan, ingin dinasihati penulis agar hati hati ketika memberi reviu karya orang atas sebab sebab tertentu. Kawal nafsu aneh yang bersarang, atau boleh memilih untuk berhubung terus dengan si penulis tempatan tersebut. Marah/kutukan kita sudah tentu akan diangkat jadi sensasi kerana ia melibatkan orang lain... mula mula sensasi, lama lama ia akan membentuk persepsi dunia penulisan terhadapmu. Membaca dan memberi bintang tanpa reviu juga boleh bukan? Tidak mereviu juga boleh, kamu tidak akan mati. Sahsiah diri sebagai penulis penting. Nah, satu lagi teknik menulis yang akan kamu pelajari sewaktu memberi reviu. Ada sebabnya bila penulis veteran menasihati kamu yang mula berkarya agar tidak membaca reviu langsung.

Ingat, kritik tidaklah berat sebelah pada hal hal buruk sahaja. Mata jangan terlepas pada niat niat baik sang penulis.

Penulis selalunya dianugerahkan sifat mahu membaca sambil tercari cari bahan bacaan yang baik untuk diangkat, di waktu yang sama mampu menikmati variasi karya orang lain. Percayalah akan ada bahan bacaan yang mampu menaikkan semangat dan menyumbang inspirasi untuk terus mantap menulis.

Jadi bacalah apa sahaja: Ruang Editor, Surat Pembaca, Cerpen Mingguan, Majalah Lama, Novel Tempatan, Kerja kerja terjemahan, Situs situs politik atau situs sosial percuma, hatta pamplet jualan sekalipun.

Selagi ada cerita/bahan kamu akan mampu menulis. Semangat jangan mati!

 Semangat jangan mati!

Ops! Esta imagem não segue nossas diretrizes de conteúdo. Para continuar a publicação, tente removê-la ou carregar outra.
MENULISOnde histórias criam vida. Descubra agora