BERADA DALAM DUNIA PERBUKUAN

91 7 0
                                    

BERADA DALAM DUNIA PERBUKUAN

Saya sudah perlahan lahan meninggalkan zaman memberi pencerahan tentang situasi LGTQ (Lesbian,G ay, Transeksual dan Queer). Disuntik masuk dalam rangka fiksyen dan artikel mungkin sekali sekala bagi merealistikkan jalan cerita atau isi penulisan.

Bertalu talu mengupas, selagi orang tetap menutup pintu adalah kerja sia sia. Namun, jika ada satu dua memberitakan bahawa mereka sudah menerima pencerahan (bukan setuju), ia adalah sesuatu yang Alhamdulillah.

Dengan kulit wajah tebal dunia penulisan sudah diharungi. Di usia emas tidaklah ada lagi ruang untuk berkisah tentang Terima atau Tolak. Di hujung hari, wang dan waktu tetap jadi milik pembaca, penulisan percuma juga belum tentu dibaca. Ingat, nafsu membaca tidak datang mudah pada setiap orang.

Pertikaian perihal dukungan sesama penulis juga tidak menjadi hentang lagi. Ya, dukungan semangat dan galakan menjadi sukar untuk seorang penulis Transnita kepada pengkarya cisgender (atau yang merasakan dia dari kelompok cisgender). Takut dikatakan mahu mengurat atau jatuh hati, tambah tambah lagi jika penulis tersebut lelaki dari sektor penerbitan bebas. Jadinya didukunglah anak anak LGT yang berbakat, begitu juga dengan penulis perempuan muda yang berpotensi (yang tua mereka punya tendensi condong jadi pedakwah jadi biarlah mereka damai di situ), mahu didukung banyak banyak entah mereka suka entah mereka geli? Pecayalah ini fikiran yang berlegar di minda ketika awal menyertai dunia perbukuan dan penulisan di Malaysia.

Namun jika terbaca penulisan yang menarik, saya tetap mempunyai cara tersediri untuk memuji atau memberi iklan percuma. Berdiam diri juga dipilih untuk karya karya yang tidak menawan hati... tungkus lumus mereka harus diambil kira, jadi tidaklah adil kita masuk menghencap. Untuk apa? Bukan dapat sesen pun!

Saya tidak boleh simpan perasaan ini, kerana atikel ini mungkin dibaca oleh anak anak pemula tidak kira apa jantina mereka yang bakal menulis di tahun tahun mendatang.

Pokoknya semua mereka adalah penulis/pengkarya yang hadir dengan seribu satu sifat. Pendiam, radikal, bijaksana, tertekan, suicidal, gah, romantik, pemarah dan macam macam pe'el manusiawi. Saya hanya duduk di tepi melihat dan meneliti. Sama sahaja seperti melihat aktiviti aktiviti secara langsung tentang DBP di dinding medsos. Ghairah berkomentar bagi menaikkan semangat bagaikan sudah hilang, terasa bagaikan rugi tenaga (mereka tetap mahukan gaya begitu) - dihujungnya diri bersoal pada diri, "Kau tak malukah? entah orang hargai entah tidak, nak jawab apa kalau nanti jika ditanya pula siapa engkau?"

Proses menilai diri sebagai penulis (penongkah kata) dilakukan dari waktu ke waktu dalam dunia penulisan. Undangan hadir ke wacana bahasa dan penulisan adalah gambaran eksistensial yang sudah dinikmati. Ia mungkin remeh, tidak berbaloi seperti upah di panggung, tetapi kemanisannya ada di situ. Tidak kiralah apa yang ada di minda penganjur, namun setiap jemputan dimanipulasikan sebaik mungkin sebagai penulis. Ada kenikmatan yang tersorok bertemu dengan penulis lain dan hadirin yang mahukan sepotong dua ilmu dan pencerahan. Tidaklah sedaif mana langkah langkah yang sudah diambil selama ini...

Semua di atas bukanlah petanda semangat yang sudah mati, malah saya kira langkah selamat diambil setelah menilai: Jangan terlalu hemoi, orang suka atau orang meluat? Rasa dengki yang wujud, ruang peluang, kenapa dia bukan aku? Setiap satu ditangani dengan penuh pertimbangan. Ego pengkarya juga diambil kira. Ah! Ego manusia kemana mahu lari? Ia sama sahaja, berubah ubah setelah mengutip pengalaman dan kenyataan. Jadi masuklah dalam daerah bertenang.

Wattpad membenarkan luahan peribadi yang menyenangkan. Kalau laman dibaca oleh 1 atau 2 sudah cukup baik. Boleh juga jadi peti idea. Dalam kes saya, laman Wattpad dicari hanya bila perlu, ketika mereka para pelajar mahu mencari butiran informasi bagi menyiapkan tesis atau kerja kursus kolej/universiti. Ketika itu terima kasih mereka membuahkan rasa berbaloi. Wattpad adalah paparan ilmu yang diikhlaskan. Jadi silakan...

NOTA: Penulis akan terus menulis, mencari idea baharu, seronok dan segar. Membina kekuatan tongkahan kata dan menidakkan segala remeh temeh tak guna seduit dalam dunia penulisan. Berharap akan punya lebih waktu untuk membaca naskah naskah tempatan yang hebat!

 Berharap akan punya lebih waktu untuk membaca naskah naskah tempatan yang hebat!

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
MENULISWhere stories live. Discover now