SIAPAKAH PEMBACA KITA?

29 1 0
                                    

SIAPAKAH PEMBACA KITA?

Di negara yang tidak sebesar mana ini, dengan bancian terakhir seramai 30 juta penduduk dari pelbagai latar belakang, kita mendoakan paling tidak 10 juta dari mereka suka beraktiviti membaca.

Sudah tentu mereka membaca, Malaysia berada di tangga 53 kadar celik huruf dunia, suatu kelegaan. Para guru berbuih mulut melantun pesan, membaca itu jambatan ilmu. Ibubapa merasa aman melihat anak anak bernafsu membaca. Penulis pula berdoa dalam diam agar penulisan mereka dibaca oleh sang celik huruf.

Jika di zaman tanpa medsos sebarang jenis buku akan diuar uarkan melalui media cetak arus perdana tradisi, majalah sastera dan pemeran di kedai buku (kita berbicara tentang sastera kreatif – bukan buku teks sekolah yang jadi kemestian atas urusan KPM). Kini dunia penulisan dan perbukuan ikut serta kemeriahan medsos sebagai situs mudah untuk kerja kerja promosi. Promosi penulisan menjadi lebih mudah kerana tidak lagi tergantung ikhsan atau upah pada media arus perdana.

Penulis, penerbit, pembaca tegar kini boleh menjadi tukang heboh secara selesa. Perkongsian berita, teaser, riviu, jualan, tawaran dan macam macam mampu dijalankan dengan mudah. Sungguh mudah sejak 10 tahun lalu, pilih sahaja laman mana yang dirasakan mampu memancing pembaca, termasuklah portal riviu buku, kritik sastera, blog, v-blog, bilik penyair dan macam macam teknik lagi – sedang promosi tradisi masih berlangsung dalam kadar yang agak sedikit (artikel di akhbar, wawancara tv, majalah sastera)

------------

JENIS JENIS PEMBACA (dirombak dari sumber THE ATLANTIC)

Pembaca terdiri dari pelbagai jenis manusia. Buku dan nafsu membaca bukanlah aktiviti mudah yang boleh dibawa dari zaman persekolahan menjengah zaman dewasa, bekerja dan berkeluarga. Bertuahlah mereka yang menjadikan buku sebagai peneman meskipun sudah berkeluarga serta terjerat dengan pelbagai permasalahan tuntutan hidup dewasa.

1. Membaca untuk tidur - antara teknik untuk mencapai kantuk. Capai apa sahaja buku dibaca, bayangkan badan yang letih dan isi buku yang bertele tele – mengantuk – tidur. Cuma yang membimbangkan, jika isi bagus serta mengena, akan terlibat cerlang mata sehingga lewat malam atau awal pagi kerana membaca bahan yang seronok.

2. Sang bibliofilia (Bibliophile) - Merupakan penggemar buku sejati. Suka apa saja tentang buku. Aroma kertas, rekaan kulit, edisi tertentu atau, apa saja tentang buku mampu membuahkan minat. Baca jatuh nombor 2 sahaja.

3. Sang Pemarah - Seorang yang suka membaca tetapi pada masa yang sama juga sentiasa membenci apa yang di baca. Sentiasa mengkritik bagaimana si penulis menyusun ayat atau bagaimana plot dan watak pilihan ditulis. Tetapi pada masa yang sama, masih mahu membaca buku tersebut sehingga tamat.

4. Pembaca tersusun/berdisiplin: Mempunyai aturan peribadi ketika memilih untuk membaca. Mungkin disusun jangka waktu satu buku satu minggu? Dua hari? Kemudian barulah beralih pada buku baharu, berhenti membaca hanya jika ada halangan dalam aktiviti hidup seharian.

5. Sang Pengumpul: Semua buku yang disukai akan disambar ketika pesta buku. Ada yang belum dibuka plastik balutan. Ada yang disusun secara tona warna (buku fixi), volume dan ada yang gemar menyepahkan buku buku di kamar terpilih untuk tampil intelektual dan sedikit bohemian.

6. Sang tertunda – Naskah dibeli, diletakkan di mana mana bahagian rumah mungkin ruang tamu atau rak hiasan. Peluang membaca tertunda akibat kehidupan seharian. Terbiar berbulan lamanya kemudiannya barulah dibaca naskah hebat itu dan merasa terlewat. Ada juga yang hilang diambil oleh rakan atau sanak saudara (terutamanya tema seksualiti – mereka rasa rugi mahu keluarkan wang untuk topik sebegitu).

7. Sang tertunda 2 – bukan penggemar buku. Membeli hanya untuk dipamirkan pada orang lain. Namun jika buku itu disentuh penuh minat setelah bosan,dibaca penuh taksub ia dianggap pulih.

8. Sang Terbuka – Pembaca jenis ini akan membaca apa sahaja. Tidak menetapkan genre pilihan. Buku kanak kanak yang menarik, buku cinta picisan popular, novel horror, antologi jenaka, indie mindfuck atau apa sahaja juga dia mahu baca. Pembaca begini bertuah dikurniakan deria hebat dan bersifat terbuka.

9. Sang Gonta Ganti – membaca dua tiga buku dalam waktu yang sama. Mungkin pagi lain, petang lain dan malam pula buku yang lain. Dia mampu melalukannya kerana tanpa sedar dia menyintai bacaan, selayaknya manusia yang mampu multi tasking.

10. ANTI BACAAN – Manusia yang sememangnya benci membaca.Tamat persekolahan tidak lagi mahu menyentuh buku. Merasakan membaca itu beban, membaca isi hati orang yang tidak kena mengena, bukan sahaja buku, blog, suratkhabar, brosur juga tidak mahu disentuh. Dianggap sebagai penambah rencam dalam hidup. Aksara dilihat sebagai panjang dan bakal menyusahkan.

-------------

Kempen membaca yang berterusan sejak zaman berzaman sudah tentu menyimpan pelbagai rahsia setelah membaca. Ada ketikanya kita bosan pada kempen ulangan sedemikian, namun sama seperti dalam artikel yang lepas , MEMBACA bukanlah gerak/nafsu/deria yang hadir mudah pada setiap manusia. Membaca adalah latihan agar jatuh cinta. Cinta yang tidak merugikan pastinya. Nafsu membaca adalah rahmat!

Penulis yang berani dan progresif terus melahirkan karya tanpa peduli siapakah pembaca mereka, cukup sekadar tahu bahawa jenis jenis pembaca di atas wujud. Atas dasar itu, di dunia medsos jika ada pelayar yang memuji (hantaran kamu yang baik, curhatan kamu yang mengena, kamu mengembirakan mereka, karya tulisan kamu memberi definasi baharu pada mereka – KAMU HARUS BERTERIMA KASIH – merekalah pembaca potensi karya kamu.). Menilai pembaca sangatlah subjektif – tidak akan ditemui jawapan – mungkin juga tergantung nasib –

INGAT: Ada buku yang terkubur begitu sahaja (CARI SEBABNYA) atau masuk dalam tong untuk dilupuskan. Buku tanpa pembaca apakah tafsirannya?

Regina Ibrahim

22072019

22072019

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
MENULISWhere stories live. Discover now