RAPAT ATAU JAUH? GANDAAN DAN MORFEM
Janganlah disangkut tugas baik pulih penulisan hanya pada sang editor sahaja... tidak adil begitu. Editor yang baik akan menegur penulis secara lisan atau diserahkan kembali karya dengan garis baik pulih. (Percayalah itu semua sudah dilalui oleh penulis dan mereka belajar dari situ sebenarnya, tidak kira samada mereka berprolifik atau berdaya kreatif menulis).
Penulis harus tahu atau paling tidak berusaha melihat apalah aturcara asas (rapat jauh) bila melibatkan penambahan atau kata sendi. Dirapatkan atau dijarakkan?
Jika mengaku indie sekalipun, biarlah indie dari segi isinya sahaja, bukan akibat susunan atau ejaan yang bercelaru.
Sesekali ketika leka menulis/menaip satu dua kesalahan rapat atau jauh akan terjadi. Berikut secara asas kita ulangi pesanan terhadap rapat dan jauh.
------------------
DI
Hanya ada dua gambaran di sini. Di PERBUATAN atau Di LOKASI. Maksudnya aktif atau pasif?
- Rapatkan di pada segala kata perbuatan (dilaksanakan, dimakan, diluncurkan, dimamah, ditelan, diperhatikan, diikuti)
- Jauhkan untuk arah, lokasi (di atas, di bawah, di Melaka, di Kelantan, di Pejabat Pos)
-----------------
PUN
Partikel PUN sering ditemui dalam penulisan Melayu. Gambaran untuk hal (berserta, juga, sama, penekanan)
SAMBUNGKAN: adapun, mahupun, andaipun, sungguhpun, meskipun, ataupun, sekalipun, bagaimanapun, biarpun, walaupun, kalaupun, lagipun.
PISAHKAN jika disebut objek atau subjek: Kereta api pun pergi. Maria pun menangis tersedu. Dia pun berjalan ke arah hotel.
---------------------
KATA MAJMUK MANTAP - (tergabung dua kata atau lebih untuk memberi perlambangan maksud) jika kurang pasti haruslah dirujuk pada pihak penguasa bahasa dari waktu ke waktu. Perubahan ejaan sesekali akan berlaku.
BERSAMBUNG: Antarabangsa, kerjasama, suruhanjaya, beritahu, olahraga, tandatangan, bumiputera, matahari, warganegara, jawatankuasa, setiausaha, pesuruhjaya, kakitangan, sukarela, tanggungjawab
BERPISAH: Ibu bapa, Rumah tangga, Alat tulis, Kereta api, Kapal terbang, Saudara mara
-----------------------
MORFEM
Morfem adalah kata awal yang digabungkan pada kata utama demi penjelasan tanpa senggang (tidak dijauhkan) atau bertanda sempang. Contoh: pra, pasca, pro, anti, tata, juru, eka dan dwi. Cara mengeja perkataan yang digabungkan dengan morfem ini adalah dengan menulisnya sebagai satu perkataan (Ingat! Tanpa senggang atau tanda sempang).
Antioksidan, Prokerajaan, Prasejarah, Pascamerdeka, Jurutera, Ekabahasa, Tatasusila, Tatacara, Dwibahasa.
----------------------
KATA GANDA
Maksudnya berulang. Terdapat 3 jenis kata ganda: Kata ganda penuh, kata ganda berirama dan kata ganda satu perkataan. Berpisah dengan tanda sempang (-) selalunya.
Kata ganda penuh: Kanak-kanak, Kura-kura, Rama-rama, Labi-labi, Labah-labah
Kata ganda berirama: Gunung-ganang, bukit bukau, Kuih-muih, Warna-warni, Mandi-manda, Bukit-bukau
Kata ganda satu perkataan: Rerama, Jejari, Tetupai, Tetikus, Lelangit
--------------------------
NOTA: Antara kesalahan ejaan yang sering dilakukan oleh pengguna Bahasa Malaysia adalah penetapan huruf kecil dan huruf besar untuk mengeja nama am dan nama khas, pengejaan kata nama majmuk, kata ganda, kata ambilan dan morfem prakata. Termasuklah penambahan dekat atau jauh. Semoga para pemula lebih meneliti hal tatabahasa di samping berkreatif. Kita mula mengerti kenapa membaca sangatlah disarankan jika mahu ikut serta menulis. Jangan segan merujuk pada Pusat Bahasa.
YOU ARE READING
MENULIS
Non-FictionOleh kerana dinding Independent sudah penuh dengan 200 artikel dan perkongsian, hal hal menulis akan mula di kongsikan di sini. Seperti biasa hal hal menulis yang sama sama dipelajari dan ditekuni diharapkan menjadi bantuan untuk para penulis pemula...