ADIL PADA GENRE DAN STAIL PILIHAN PENULIS

1.5K 49 9
                                    

ADIL PADA GENRE DAN STAIL PILIHAN PENULIS

Masing masing sudah berkarya. Diterbitkan atau dipamirkan untuk tatapan pembaca buku fizikal atau secara maya tidak menjadi masalah. Berkarya adalah untuk dinikmati oleh khalayak yang mungkin terinspirasi, berinformasi, membuka jalan tidak kira samada untuk hiburan semata melalui tongkahan kata.

Pembahagian genre dan stail terjadi secara tidak langsung. Tanpa sedar, tanpa kawalan perasaan. Ada ketika ia dari mulut pembaca dan penulis. Saya tidak minat penulisan beliau, maaf itu bukan genre penulisan saya. Apa yang penting di sini cara ungkapan tersebut dilafazkan. Apakah bunyinya subtle  berlapik atau kasar?

Penulis di zaman medsos jauh lebih bertuah dibandingkan dengan zaman menjilat stem dan mengetik mesin taip. Bayangkan proses naik turun dua tiga kali (selalunya ke kota) untuk hal hal editan dan proses cetak sehingga pertengahan tahun 80an. Antara sebab kita menghargai naskah lama yang diusahakan tanpa teknoloji moden, suasana gawat negara, perjalanan yang ditempuh dan macam macam kesulitan lagi yang ikut serta proses ini.

Kerja menulis harus dihormati. Mulut harus dikawal agar tidak ada penulis dan penerbitan lain yang kecil hati. Hal hal angkuh seperti melekehkan genre/karya orang lain perlu dipadam sama sekali. Jangan dibiarkan jiwamu sebagai penulis yang dihormati itu rosak, tambahan lagi mereka yang di sekelilingmu hanya ikut serta setuju tanpa tanggungjawab. Apabila penulis membakul sampahkan kerja penulis lain secara verbal, ianya tidaklah semolek dan semulia mana. Pokoknya orang matang tidaklah memijak orang lain untuk tampil hebat, menuai sensasi.

Tidak dapat tidak penulis harus membaca. Mana tahu masih ada ruang untuk berkembang jadi lebih mantap dari tahun ke tahun. Bayangkan kata kata ini, "saya hanya membaca buku buku dari luar negara"

Semakin ramai penulis, semakin ramai pembaca. Perbandingan akan terjadi secara sedar atau tidak, setelah terjadinya tawaran di pasaran perbukuan. Kemudahan medsos sebagai medium luahan harus dimatangi. Hati tidak puas setelah membaca naskah (tidak kira samada dibeli atau diberikan secara percuma pada penulis) janganlah dituruti sangat.

Ramai penulis matang mengambil jalan mudah untuk tidak membaca sebarang reviu karya mereka, ramai juga yang teruja mahu tahu apa perasaan orang setelah membaca dan yang senior sudah tentu tidak hairan lagi pada hal hal yang dianggap remeh sebegini. Tidak ada benar dan salah dalam hal ini.

Genre dan stail menulis akan terus berkembang. Pelbagai gelaran akan muncul sedangkan ianya kekal sebagai usaha menulis. Sastera asli, sastera moden, seram, cinta, sosial, saifai, remaja (young adult), Islamik fiksyen, kumcer, sajak puisi, gabungan dan macam macam lagi. Mana tahu teknik penulisan kamu agak kedepan dan tidak bergenre? Ianya mungkin terjadi dan tidak mampu ditelah.


Hati hati apabila berkomentar di medsos seperti goodreads, tweeter dan mukabuku. Sama seperti nasihat pada hal hal awam hidup, komentar terhadap buku buku tempatan biarlah berpada pada, jangan sampai nanti terguris hati sang pengkarya. Kalau perlu dan bertanggungjawab serta mampu, artikelkan sebaiknya secara teknikal atau bermesej terus pada penulis.

Antara komentar yang tidak matang (dari penulis ke penulis)
1. Kalau bagi free pun aku tak mahu
2. Gimme my money back, menyesal
3. Membosankan dan banyak kesilapan tata bahasa
4. Cerita tidak lojik
5. Sajak sajak kurang matang
6. Yukss! Tak best langsung

Lainlah kalau kamu pembaca berhemah yang tegar, itu lain ceritanya. Pembaca yang melabur sejumlah wang untuk mendapatkan buku rasanya layak untuk memberi komentar yang dirasakan patut. Itupun dengan nasihat agar tidak terjadi perbalahan yang memalukan. Dari waktu ke waktu kamu akan mendengar tentang rungutan 'tidak ada reviu atau kritik yang benar benar kritik'untuk buku, filem dan karya lain di negara ini. Wadah reviu terbaik setakat ini rasanya ada di New York Times, Mekong review, Kl revius dan Dewan Sastera (dikritik juga kerana berbunyi terlalu akademik tidak santai). Ruang kritik kalau sudah menjadi adat untuk memperkatakan hal hal buruk sahaja, tidakkah ia terasa pelik?

Saya fikir demi memenuhi nafsu penulis yang terbaca bahan bacaan yang kurang disukai, cukuplah setakat perbualan sesama rakan secara oral sahaja, ditegur dalam nada yang berlapik atau kalau kamu benar benar mahu menegur cari jalan untuk berhubung dengan penulis tersebut dengan apa cara sekalipun (termasuk bersemuka). Ego penulis akan tetap ada, mudah pula untuk dicalarkan. (antara sebab para penulis selalu disarankan untuk tidak melatah).

Penulis belajar untuk menerima hakikat asas tentang dunia penulisan bahawa:

1. Bukan semua harus suka pada karya kamu

2. Berterima kasih atas kesudian mereka membaca

3. Menilai kembali kalau ada saranan atau kritik lewa (peribadi) cepat ditulikan.

4. Tidak merajuk atau membalas kembali serangan (cari caranya)

5. Sanggup duduk dan berwacana buku sekiranya perlu.

6. Menghormati tata bahasa dan usaha menilai khalayak pembaca

7. Menyelami makna sebenar 'penulisan kreatif'

Dari waktu ke waktu akan ada sahaja hal hal seperti plagiat, hampir sama (inspired by, hippograf, cetakan lewa, font terlalu kecil, editan yang kurang baik dan macam macam lagi. Atas dasar itu sama seperti memilih kata kata dalam tulisan kamu, penulis disarankan untuk berfikir dahulu sebelum memberi kenyataan. Kamu penulis yang dewasa akal fikir, kamu dimohon arif tentangnya.

Ini belum lagi cebih mulut antara penulis yang dianggap indie dan penulis sastera.

Antara frasa kegemaran mereka:

1. I don't read books that basterdized language. (aku tidak akan baca buku yang menganakharamkan bahasa)
2. Nak termuntah melihat frasa lewah leweh sastera orang lama
3. Sudah masuk tahun 2018 sajak masih begitu?
4. Penat membaca buku buku cinta romantik yang beraspirasi dijadikan siri drama petang petang.
5. Allahu... kisah seram bomoh bomoh lagi? muntah hijau?
6. Bunuh, tikam, bunuh tikam itu saja genre mereka?
7. Allahu, takat zine bolehlah mereka merapu...

Akhirnya kita tahu, menulis tetap menulis. Masing masing mempunyai ghairah peribadi. Janganlah diikutkan perasaan sehingga menulis panjang lebar tentang pengkarya lain yang tidak kamu gemari. (lainlah kalau kamu pengkritik/pereviu yang bijak serta bertauliah sila rujuk dinding tentang reviu). Kalau sudah cinta pada dunia penulisan teruslah mempertajamkan cara penulisan meskipun untuk buku akademik, fiksyen atau buku bacaan kanak kanak.

 Kalau sudah cinta pada dunia penulisan teruslah mempertajamkan cara penulisan meskipun untuk buku akademik, fiksyen atau buku bacaan kanak kanak

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
MENULISWhere stories live. Discover now