IBUKU SI PATTU

Start bij het begin
                                    

Meski lemah, tetap dengan rokok yang sering di bibir, ayahku mengawal selia identiti cinanya sebagai entiti yang berasingan dari hidupnya dari aku dan nenek. Makan malamnya dimasak dan dihantar oleh Restoren Cheong Kee yang ada di pekan. Pakaian tidur jalurnya dijahit oleh Tukang Jahit Nam Fook di Jalan Bandar. Saluran radionya pastilah dalam Bahasa Mandarin, minum teh Cina, membaca akbar Cina dan The Straits Times dan masih tegas mengelak berbicara tentang apa sahaja sebelum dia menjadi ayahku. "Untuk apa kau mahu tahu? Ia tidak lagi penting," ayah bertanya dan menjelas sekaligus. Dalam diam aku patuh, takut kalau kalau nanti tersilap kata yang bakal mengguris hatinya.

Di usia 10 tahun, aku pernah bertanya Pattu samada dia sayang padaku. "Sayangkan kau Lalita?" dia bagai mengejek jengkel. "Soalan bodoh. Sebodoh dan buruknya paras engkau. Aku beranakkan engkau di usia 14 – perutku boroi teruk, pedih ulu hati dan kau hampir mengambil nyawaku."

"Alahai... Pattu, betul ker..." suara lembut nenek kedengaran

"Dia hampir membunuhku, amma," Pattu menegaskan. "Lepas tu semua tumpuan jatuh hanya pada kamu, budak perempuan bodoh. Jangan lupa, 10 jam kesakitan sebelum kau dilahirkan."

"Sekejap sajalah proses beranak tu... doktorpun terkejut," Nenek seperti mengingatkan

"Taklah... 10 jam. Sakit nak mampus. Aku sejak awal meluat pada kau," Pattu menumbuk telingaku dan berlalu pergi.

Aku sebenarnya terkejut pada awalnya bila sang ibu tidak menyayangi anaknya secara automatik, namun tersorok rasa lega mendengar penerangannya. Jadinya aku bebas untuk membenci Pattu tanpa sekelumit rasa bersalah.

Pattu adalah hempedu yang aku elak di setiap kehadiran. Dia adalah jeritan dalam kepalaku bila tiap pertanyaannya lambat aku jawab, pantas penyepak singgah, rasa pedih sebagai penghargaan. Dia adalah aliran racun dalam darahku, tulangku, dan itu sememangnya mimpi buruk, jika tidak diambil kira hal hal seperti rambut, warna kulit dan mata, aku sebenarnya persis dirinya. Sangatlah menakutkan. Tidak ada iras ayah dalam diriku, tak sekelumitpun, kerana dia bukan ayahku. Semua orang tahu kisah itu. Aku awal awal lagi sudah tahu, seperti kanak kanak menyerap ceritera secara osmosis, walau ayah tidak berbicara tentangnya, begitu juga nenek.

Aku tahu Pattu dalam diam memilih untuk menunding jari pada ayah bila orang tuanya tahu dia sedang berbadan dua. Aku tahu kisah datuk memukul ayah, jeritannya yang bersalut pilu kecewa: "Aku selamatkan kau, dasar Cina anak haram! Celaka! Aku selamatkan kau dan ini balasannya?" Aku tahu ayah akan hanya berdiam diri. Dia hanya mengulangi berkali kali kata, "aku tidak pernah menyentuhnya"

Aku juga dengar kisah bagaimana datuk terduduk, melutut di kaki ayah dan menangis bila aku dilahirkan: Mataku hijau dan rambutku berwarna seperti jerami gandum.

***

Aku tidak pernah memanggilnya Amma. Dia adalah Pattu sebaik sahaja dia lari dengan jurujual kembara, 2 minggu setelah 30 hari berpantang setelah melahirkan aku. Tetapi sebelum lari, disapunya wang tunai datuk dalam peti besi dan berapa juntai rantai emas. Enam bulan kemudian, dia kembali, tanpa wang atau emas juga tanpa sang jurujual, dia mahkluk yang baran menurut jiran, mengutil aku hingga lebam bila tidak ada yang melihat. Setelah itu, beberapa siri ulangan, lari dengan orang itu dan ini, bersama dengan barang berharga yang tercapai tangan, pulang lagi dengan tangan kosong, lari lagi, balik lagi, menjadi jadi, cepat meradang, bagai orang tidak keruan sehinggalah datuk menyerah kalah dan membeli sebuah rumah 10 batu dari Mambang, di sana dia boleh hidup sendirian dan lakukanlah apa sahaja.

Tidak ada rahsia lagi di rumah kami, begitu juga di kejiranan. Segalanya terbuka – siapa mabuk sorok sorok (makcik Judiht, yang membungkus botol bir dengan kertas suratkhabar untuk dibawa pulang); siapa ambil duit bawah meja ketika jadi kerani kerajaan (Abdullah, Hassan dan Chandran) dan siapa ada perempuan simpanan (Ah Seng); siapa membomohkan suami sendiri agar tidak curang (Fauziah, yang suaminya sedang dalam merangka cari isteri ketiga) dan siapakah kekasih Pattu yang terbaharu. Benar, memang tiada rahsia, tetapi tidak satupun diarakkan kami secara terbuka. Secara masyarakat, kami memang konservatif melampau dan begitu lurus hingga boleh diimbangkan sudu di kepala, pasti tak jatuh. Ya, itu sifat kami semua kecuali Pattu.

MENULISWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu