Celoteh 40 : Penulisan Saya Bukan Berkaitan Dengan Seks Sahaja

10 1 0
                                    

Saya akui bahawa penulisan saya yang mendapat perhatian yang tinggi adalah perbahasan yang berkaitan dengan seks. Mungkin nama saya dengan isu yang berkaitan dengan seks sama ada penulisan ilmiah atau penzahiran erotisisme langsung sama sekali tidak terpisah daripada saya sepanjang hidup ini dan setelah pemergian saya.

Sejujurnya saya tidak menyesal atas apa yang saya lakukan dan perjuangkan. Saya akan menanggungnya di hari akhirat kelak. Penulisan saya akan menjadi saksi pembelaan saya di hari akhirat kelak.

Cuma, saya memohon keampunan daripada Allah jika adanya berlebihan, kesia-siaan atau kesalahan yang saya tidak sedari. Jika ia adalah mampu ditarik balik selagimana saya hidup dan berkemampuan, maka silalah maklumkan kepada saya agar saya membetulkan apa yang salah dan meluruskan apa yang menyimpang.

Apapun, saya ingin nyatakan adalah jika sesiapa yang menelaah penulisan saya, pasti dia akan mendapati bahawa penulisan saya yang tidak berkaitan dengan seks adalah lebih banyak daripadanya. Banyak daripadanya adalah pencerahan tentang manhaj pemikiran, prinsip-prinsip ilmu, perbahasan uṣūl fiqh, hadis, konflik aliran, isu-isu kemasyarakatan dan lain-lain.

Demi Allah! Kalaulah saya diberi kesempatan dan kemampuan oleh Allah untuk menjadi penulis aktif, pasti penulisan saya yang bukan berkaitan dengan seks akan menjadi selautan yang tidak mampu diukur kuantitinya berbanding penulisan tentang seks.

Malah, pada karya yang saya anggap sebagai mahakarya atau magnum opus, saya sama sekali tidak menjulang penulisan yang berkaitan dengan seks meskipun saya menyimpan rasa kebanggaan bersama kesyukuran kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana curahan ketekunan dan kerah penelitian dalam menghasilkan karya yang terbaik.

Antara magnum opus saya adalah «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Hadis Dan *Ilal al-Ḥadīṯ», «Antara Sumber Rujukan Taᶜdil Dan Tajrih Perawi», «Penjelasan Interaksi Dengan Naṣ Yang Berkaitan Dengan Sifat Allah», «Merungkai Paradoks Antara Ketetapan Takdir Dengan Kebebasan Ikhtiar Manusia» dan «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy». Jika saya ingin mengemukakan penulisan yang terbaik saya pun, saya tidak akan mendahulukan penulisan yang berkaitan dengan seks.

Sebab utama saya tidak mengkehadapankan penulisan berkaitan dengan seks adalah kerana ia penulisan yang berorientasikan respons konflik terhadap saya, lebih-lebih lagi berkaitan dengan penglibatan saya dalam erotisisme, bukan atas dasar minat saya yang asli dalam membentangkan dan perkongsian ilmu saya.

Dengan kata lain, penulisan yang berkaitan dengan seks hanya sekadar menjawab tuduhan dan celaan terhadap saya, bukan dalam kerangka mempersembahkan apa yang sebenarnya menjadi dorongan untuk berkongsi tanpa mengira respons balas negatif yang mendatang.

Malah, aplikasi dalam penulisan seks juga banyak mengambil dari kemahiran bahasa Arab, ilmu hadis dan uṣūl fiqh. Dengan kata lain, dalam membahaskan topik berkaitan dengan seks, ia tidak lari daripada ilmu ini. Prinsip dan kaedah pemahaman saya sebahagiannya telah diabadikan dalam penulisan saya yang berkaitan. Saya tidak menulis dengan syahwat, tetapi saya menulis berpandukan ilmu dan hujah ilmiah. Silalah telaah karya-karya saya. Ia adalah bukti bagi kenyataan saya.

Sebab itulah saya juga berpesan dengan tegas bahawa mereka yang membuta tuli mengikut pandangan saya dalam isu seks. Dalami dan mahirkan diri dengan ilmu alat dan kemahiran yang diperlukan sebelum mengambil pandangan saya. Beberapa penulisan saya sudah membantu dari segi pendedahan, tips dan nasihat supaya seseorang mampu mencapai tahap yang dihajatkan.

Sibukkan dengannya dan semoga dengan izin Allah, kalian mampu menelusi perbahasan saya dengan kefahaman yang utuh. Bahkan, mampu memperbaiki bahagian yang saya silap yang saya tidak sedari serta mengungguli apa yang saya tidak mampu mencapainya meski saya berusaha bersungguh untuknya. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak menulis dengan syahwat, tetapi saya menulis berpandukan ilmu dan hujah ilmiah.

Saya berpesan seperti ini kerana inilah pesanan imam empat mazhab dan ahli ilmu supaya tidak bertaklid dan mengambil pandangan secara membabi buta, lebih-lebih lagi mereka yang memiliki kemampuan ilmu dan daya yang besar untuk membuat penyemakan dan penganalisisan.

Silalah semak pendapat saya sama ada menepati al-Quran dan sunnah ataupun tidak. Hidup beragama mesti dengan ilmu dan hujah yang kukuh, bukan syahwat, sentimen, keinginan sendiri atau kepuasan sesuatu pihak.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/634493602966454272/celoteh-peribadi-40-penulisan-saya-bukan

com/post/634493602966454272/celoteh-peribadi-40-penulisan-saya-bukan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now