Celoteh 9 : Apabila Sampai Masa Untuk Menyelisihi Saya, Maka Lakukannya

14 1 0
                                    

ᐉNota ≂ Ini adalah ringkasan dan intisari daripada judul «Diari Diri : Usah Gentar Menyelisihi Saya Jika Saya Menyalahi Kebenaran».∦

Saya berpesan supaya sentiasa iltizam dengan kebenaran dan jauhi ketaksuban kepada seseorang, termasuk diri saya sendiri atau sesuatu pihak. Dahulukan kebenaran berbanding insan, termasuk saya meskipun insan tersebut dijulang tinggi, dipuja melambung dan dibesar-besarkan aura sakralnya.

Saya mengingatkan hal ini kerana ia kembali kepada pengalaman yang pernah saya lalui. Jika sesiapa yang membaca penulisan-penulisan saya, boleh dikatakan banyak juga berkisar tentang terhadap ketaksuban, antitalfīq, sikap enggan untuk kebenaran, mendahulukan sentimen dan lain-lain. Ya. Saya sebenarnya seorang yang berpijak di atas landasan itu dan saya memang tegar dengannya.

Sememangnya saya agak sempit kompromi saya untuk mana-mana yang datangnya daripada salafi dan saya agak keras permusuhan saya dengannya. Sebab itulah saya sangat memahami sikap mereka tersebut yang saya gambarkan dalam penulisan saya kerana saya sendiri telah menempuh dalam dunia tersebut.

Sehinggalah pada suatu hari, saya dipertemukan dengan seorang salafi. Entah bagaimana dia boleh mempengaruhi saya dalam membina serta meriset kefahaman saya tentang manhaj dalam agama. Saya memang suka mengikuti penulisannya dan saya ada menyimpan beberapa penulisan daripadanya. Sampai sekarang, saya masih ada simpan penulisannya.

Penulisannya bukanlah berputar kepada mempertahankan aliran salafi. Namun, lebih kepada keharmonian antara salafi dan lawannya yang tegar, ašᶜarian-sufi. Masa itu, saya pun agak ada kecenderungan kepada fahaman salafi, cuma lebih kepada pengharmonian sepertimana yang dia bawakan, bukan kepada ketaksuban jenis yang lain.

Tidak lama kemudian, dia menuju kepada fasa yang baharu. Dia menuju kepada zaman ijtihad. Ya, dia agak berani untuk mengatakan dia seorang mujtahid. Masa inilah dia mula membangunkan mazhabnya sendiri dan mempertahankan pendapat-pendapatnya yang mewakili dari mindanya sendiri.

Sejujurnya, saya memang mengikut langkahnya untuk berubah kepada yang baharu. Pada mulanya, saya teragak-agak dan masih belum berani sepertinya. Namun, setelah beberapa masa melihat bagaimana luasnya dunia yang kita boleh teroka apabila kita menjadi independen, maka saya mula mengorak langkah.

Dalam ramai orang, saya paling takut untuk menyelisihinya. Sebab saya kenal ketegasannya dan sikap kerasnya terhadap musuh dan lawan yang menentangnya. Malah, dia sentiasa membawakan hujah-hujahnya yang saya kira agak sukar untuk dijatuhkan. Apabila saya ada pendapat yang menyelisihinya, saya meletakkannya ke bawah dan mengunggulkan pendapatnya terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, saya banyak mempelajari daripadanya dan dia sememangnya membumikan pengaruhnya dalam diri saya. Saya yang sekarang adalah pengaruh daripadanya. Waktu ini pun, masih tidak lekang fanatik saya terhadapnya.

Entah bagaimana suatu hari, dia terlalu ekstrim dan mula menyimpang. Pada mulanya, saya cuba bersangka baik kerana sebelum ini saya melihat tindakannya ada justifikasinya. Saya juga ada menyimpan rasa marah dan berang terhadapnya kerana melampaunya. Namun, saya tetap memendamkannya dan cuba menahan pedih dalam bersangka baik.

Pada masa itu, saya juga malu untuk bersama dengannya atau mengambil penulisan daripadanya kerana kontroversi yang mencalit namanya. Sehinggakan saya tidak mahu menyebut namanya, malah dalam penulisan ini pun, saya masih enggan untuk menyebutkan namanya kerana teruknya pengaruh pada namanya.

Sampai suatu masa, saya menetapkan keputusan. Saya tidak ada lagi kaitan dengnanya dan saya mengambil haluan yang berbeza daripadanya. Saya terpaksa tinggalkannya kerana dia sudah mula merapu dan menyimpang terlalu jauh.

Saya keberatan pada mulanya, tetapi lama kelamaan, saya terasa beban itu diangkat. Saya rasa aman sedikit dan merasa sedikit keluasan dalam minda saya. Pada mulanya, saya ada merasa resah kerana tanpanya, bagaimana mungkin saya dapat melangkah ke haluan ini?

Hari ini, segala puji Allah, dengan izin-Nya, saya boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu ambil peduli tentangnya. Jika tidak, maka tidaklah terbentang penulisan yang para pembaca telah menelaahnya sekarang. Andaikata dia berdiri di hadapan saya untuk menentang pendapat saya, maka saya berharap Allah berikan kekuatan kepada saya untuk menghadapinya.

Saya kadangkala menjenguk dia untuk melihat perkembangannya. Pun begitu, sampai hari ini dia masih dengan mengarutnya. Saya berharap dia kembali sepertimana dia dahulu yang mempamerkan kejaguhan kepada berprinsip kuat dengan ikutan al-Quran dan sunnah.

Saya agak sedih yang seorang insan menjadi titik peralihan dalam saya menjadi sebegini. Kalaulah dia tidak sebegitu, sudah tentu saya akan julangnya sebagai tokoh agung saya, ilmuwan yang paling saya hormati dan pemikir tajam yang mengagumi saya yang menyeru kepada pengukuhan kefahaman dan entusiastik terhadap kebenaran.

Namun, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Di tangan-Nya milik semua hidayah dan Dialah yang menyesatkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Akhirnya, mahu atau tidak mahu, peristiwa sebegini mengheret kita untuk kembali kepada-Nya dan sentiasa berpaut dengan tali-Nya.

Saya berpesan tentang ini kerana saya juga tidak tahu bagaimana nasib saya di pengakhiran atau pada masa akan datang. Allah adalah Empunya kepada jalan yang lurus dan taufik. Saya kadangkala bercakap seperti saya lebih baik daripadanya, namun saya mungkin sahaja akan tertimpa nasib yang sama sepertimana insan tersebut. Allah lebih tahu.

Saya memohon perlindungan agar saya dijauhi daripada kecelakaan sedemikian. Kita semua pun perlu berserah kepada Allah agar Dia menyelamatkan kita daripada kesesatan dan malapetaka tersebut.

Apapun, jika sampai masanya perlu untuk berselisih, maka jangan gentar buat sedemikian. Takutlah kepada Allah. Janganlah takut kepada manusia, termasuk diri saya. Junjunglah kebenaran. Kenali kebenaran, maka kita akan mengenal ahlinya. Sebesar mana aura yang disakralkan oleh pengikut atau diri kita, itu bukan penentu kebenaran. Ia adalah pada al-Quran dan sunnah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622976761208143873/celoteh-peribadi-9-apabila-sampai-masa-untuk

com/post/622976761208143873/celoteh-peribadi-9-apabila-sampai-masa-untuk

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now