Celoteh 68 : Sosok Yang Tidak Terkenal, Tetapi Unggul

7 0 0
                                    

Siapakah sosok yang tidak terkenal dan tidak memiliki kenamaan yang besar, tetapi memiliki kemampuan yang hebat dan memberikan pengaruh kepada seseorang individu atau keluarganya generasi didikan dan cetusannya?

Kalau soalan ini ditanya kepada saya, maka saya menjawab antara orang tersebut adalah Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy. Nama inilah yang saya selalu terlintas dan teringat apabila berbicara topik seperti ini.

Kalau disebut tentang keturunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- daripada keluarga al-Ġumāriyy, kita akan dikenalkan dengan nama-nama anak-anak Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq yang merupakan tokoh ahli hadis, mujtahid, mujaddid lagi sufi. Mereka adalah Aḥmad, *Abdullah, Muḥammad az-Zamzamiyy, *Abdul Ḥayy, *Abdul *Azīz, al-Ḥasan dan Ibrōhīm. Lima yang terawal adalah lebih dominan pengaruhnya jika disebut tentang keluarga al-Ġumāriyy. Akan tetapi, kebetulankah mereka menjadi unggul sebegini?

Ia adalah melalui didikan ayah mereka yang juga seorang ilmuan yang terbilang. Dia seorang yang menguasai pelbagai ilmu secara tahqiq seperti ilmu nahu, ilmu kalam, ilmu tafsir, ilmu mantiq, ilmu fiqh, ilmu uṣūl, luas pembacaannya, kuat hujahnya, seorang yang fasih lagi bijaksana serta bersemadinya sifat-sifat yang mulia dalam dirinya.

Dialah yang giat aktif memperjuangkan seruan untuk mengikuti sunnah, menjauhi taklid yang tercela, menentang ketaksuban mazhab, menghidupkan tradisi ilmu dan pengamalan kepada kesufian yang murni.

Dia menunjukkan keterbukaanya kepada pelbagai mazhab dengan menelaah pelbagai kitab mazhab yang berlainan, berdebat dengan beberapa tokoh yang menzahirkan ketaksuban kepada mazhab, mengembalikan pengamalan sufi kepada landasan yang lurus serta menunjukkan teladan yang baik yang dikagumi dan dicontohi oleh anak-anaknya dan mereka di sekelilingnya.

Cerita tentangnya lebih panjang oleh anak sulungnya; Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dalam «at-Taṣowwur Wa at-Taṣdīq Bi Aẖbār aš-Šayẖ Sīdī Muḥammad Ibn aṣ-Ṣiddīq» dan adiknya; *Abdul *Azīz dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī» serta disentuh sedikit oleh adiknya; Muḥammad az-Zamzamiyy juga dalam «az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh». Sesiapa yang berkeinginan untuk mengetahui ceritanya lebih lanjut, boleh membaca tiga karya utama ini yang memperincikan ceritanya.

Nama ayah mereka tidak begitu popular di mata di dunia. Menurut *Abdul *Azīz, dia tidak begitu minat menulis sebarang kitab meskipun kemapanan ilmunya dan keluasan hafalannya sudah pun memudahkan untuk mencapaikan cita-citanya.

Salah satu sebabnya kerana tidak mahu meraih populariti. Kalau pun menulis, dia akan membakar sebahagiannya. Sebahagiannya pula tidak lagi ditemukan seperti penulisan tentang ₍at-Ta*awwuḏ ₎dan pembacaan basmalah dalam solat menurut mazhab Mālik.

Malah, Aḥmad menceritakan sememangnya secara umumnya dia tidak mahu dikenali sehinggakan dia sanggup berjalan ke jalan yang sunyi yang jauh dari tempatnya jika ingin keluar untuk ziarah atau memenuhi undangan atau menyampaikan pengajaran.

Kita dapat tahu tentang ayahnya pun melalui penceritaan anak-anaknya yang tersohor. Kalau anak-anaknya tidak tersohor, tentu sahaja nama ayahnya juga akan tersembunyi di mata sejarah. Kalau ada di karya lain yang menceritakan tentang Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, ia tidak seterperinci sepertimana yang diceritakan anak-anaknya. Namun, keunggulannya dan gilang-gemilangnya diwarisi melalui anak-anaknya yang telah menyaksikannya dan membekas kesemua itu dalam ke seluruh hayat mereka.

Masing-masing mungkin ada nama yang ingin diperkenalkan. Saya mengalu-alukan kepada sesiapa untuk berkongsi tentang nama-nama yang terasing dalam lipatan sejarah, tetapi memberi pengaruh yang besar kepada seseorang individu atau keluarganya atau generasinya. Mengenali mereka ini mungkin sahaja memberikan kita teladan dan pelajaran yang berguna untuk tatapan pembaca.

Apapun, saya berkongsi cerita ini supaya mereka yang menjadi warga pendidik atau pendakwah agar jangan merasa kecewa jika tidak pernah mendapat tempat di buah mulut atau ingatan di biografi yang tertulis serta dia dikenangi dalam wacana ilmiah.

Lebih baik kita fokus membentuk dan membina seorang individu yang mampu menjadi bermanfaat buat dirinya, bidang keilmuan dan masyarakat setempatnya berbanding merekrut ramai pengikut yang akhirnya tidak menatijahkan apa-apa melainkan sekadar ketaksuban atau kemandulan yang tidak mampu menjadi progresif sepertimana gurunya.

Biarlah kita dalam ingatan yang bermakna daripada seorang individu atau beberapa orang sahaja. Dan apa yang lebih penting adalah apa yang kita usahakan adalah semata-mata untuk redha Allah, berkhidmat untuk agama-Nya dan berbakti kepada dunia keilmuan, bukan mengejar kemahsyuran dan tatapan keterujaan dari pelbagai pengikut.

Kemudian, supaya kita tidak memandang rendah atau memperlekeh orang lain yang tidak dikenali secara sembarangan. Jika wali Allah boleh berada di mana sahaja dengan penzahiran yang kita tidak menyedari keberadaannya, para faqih juga boleh jadi sedemikian.

Kita tidak tahu yang mungkin sahaja kita akan berkonfrontasi dengan seorang yang memiliki kewibawaan dan kesarjanaan akibat lunturnya sangka baik terhadap sesama muslim dan tawaduk sesama saudara. Hanya sebab seseorang itu tidak terkenal, kita bersikap keterlaluan dalam berlaga ataupun berselisih. Sebab itu, berjaga-jagalah apabila berinteraksi dengan orang yang tidak kita kenali.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/653274196443545600/celoteh-peribadi-68-sosok-yang-tidak-terkenal

com/post/653274196443545600/celoteh-peribadi-68-sosok-yang-tidak-terkenal

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now