Celoteh 10 : Sudah Tahu Bodoh, Tetapi Masih Mahu Keras Bermusuhan

15 0 0
                                    

Saya kadangkala hairan orang yang menganggap saya ini bodoh dan memandang lekeh terhadap saya atau menuduh saya memandai-mandai dan berlagak pandai, selalunya kerana berlaku penyelisihan pendapat daripada mereka atau kerana saya memang terkenal dengan pendapat yang pelik. Namun, ada dari kalangan mereka langsung tidak ada ilmu alat yang diperlukan atau kemahiran beberapa bahagian ilmu atau selok-belok sekurang-kurangnya asas untuk berjalan dalam ilmu tersebut.

Saya tidak mencela mereka jika mereka tidak mahu mengikut pendapat saya kerana mereka jahil. Sesiapa pun ada bahagian kejahilan masing-masing, termasuk diri saya sendiri. Namun, ini khas tertuju mereka yang sudah tahu mereka ignoran dan jahil dalam isu atau topik yang dibincangkan, namun berkeras juga untuk menentang semacam dia pandai.

Ada sesetengah mereka langsung tidak tahu bahasa Arab. Bayangkan kalau saya atau orang lain kemukakan rujukan bahasa Arab, bagaimana mungkin mereka dapat membandingkan dan membuat analisis terhadap penghujahan yang saya atau orang lain utarakan? Malah, faktor kelemahan mereka dalam bahasa Arab pun menyebabkan mereka tidak mampu menelaah penghujahan tokoh ikutan mereka sendiri.

Contohnya, mereka ingin terus setia dengan pendapat mazhab šāfiᶜian, namun mereka sendiri tidak dapat membaca karyanya dalam berbahasa Arab. Jika mereka sendiri tidak boleh memahami penghujahan tokoh mereka sendiri, maka itu cumalah ikut-ikutan yang bukan berdasarkan ilmu. Jika begitu, bagaimana mungkin mereka boleh membuat analisis dan perbandingan dengan pendapat yang berbeza dengannya?

Mereka sendiri tidak mampu menelaah penghujahan tokoh mereka supaya mereka boleh mempertahankannya, bagaimana mereka boleh mencela pandangan yang berbeza seolah-olah ia salah? Apakah sebab tidak sama dengan tokoh ikutannya terus dianggap salah? Bagaikan orang buta sedang mempertahankan bahawa obornya lebih terang daripada yang lain.

Benar kata Leonardo Da Vinci tentang tentang sikap ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ atau penyandaran kepada pihak berpengaruh: "Sesiapa yang menjalankan argumentasi dengan menyandarkan kepada pihak berpengaruh, dia tidak menggunakan kecerdasannya; dia sekadar menggunakan memorinya".

Orang buta itu cuma gunakan memorinya yang dia diberitahu bahawa obor yang dia pegang itulah lebih terang, bukan mahu buka mata untuk melihat yang lain. Buta mata zahir mungkin tidak dapat dirawat, tetapi buta mata batin, boleh diubati dengan belajar, bersikap terbuka dan tawaduk.

Apa yang mereka buat adalah menyerahkan semua urusan untuk menulis dan menjawab hujah ilmiah kepada orang lain. Mereka tidak ada kemampuan kendiri untuk membuat analisis dan menelaah karya yang diperlukan untuk menghadapi pertentangan. Atau mungkin sengaja tidak mahu melakukannya. Dia menyerahkan orang lain untuk menjadi pandai supaya orang itu boleh membelanya, tetapi dia sendiri tidak mahu jadi pandai dan bergantung kepada orang tersebut.

Dalam keadaan dia tidak tahu apa-apa, tetapi masih tergamak mahu menzahirkan penentangan yang bukan dalam lapangannya. Orang begini kita akan dengar cakapnya? Apakah itu bukan sikap memandai-mandai dan berlagak pandai yang mereka selalu sahaja lemparkan kepada orang lain, tetapi tidak sedar ia terkena pada diri sendiri?

Ada juga yang tidak puas hati dengan pendapat saya yang mendhaifkan sesuatu hadis. Namun, mereka bukan sahaja tidak tahu bahasa Arab, kitab al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl pun tidak pernah dibuka, apatah lagi kitab *ilal al-Ḥadīṯ yang entah-entah itu di luar jangkauan garapan mereka. Wacana tentang manhaj mutaqaddimin dan mutaakhirin dalam interaksi hadis pun barangkali sesuatu yang sangat terasing bagi mereka.

Saya tidaklah kata saya mempunyai tahap pengetahuan yang luas sepertimana tokoh yang mereka selalu sanjung. Sejujurnya, walaupun saya mempunyai kemahiran bahasa Arab, segala puji bagi Allah, saya masih perlu mengerahkan kesungguhan untuk mempelajari lebih dalam. Ini kerana lain orang, lain cara penyampaian dalam bahasa Arab bergantung kepada tahap mereka dalam bidang bahasa tersebut dan latar belakang kemahiran mereka. Kadangkala, saya pun akan menemukan kesulitan untuk mencerap intipati daripada karya mereka.

Namun, sekurang-kurangnya saya menonjolkan dan membuktikan kemampuan saya bahawa saya ada ilmu alat yang diperlukan atau kemahiran yang sepatutnya dikuasai atau selok-belok pengetahuan untuk mendirikan dan mempertahankan hujah saya. Saya tidak bercakap kosong dan bermain-main.

Kalau ingin bertelagah, lebih baik ia adalah pertemuan buku dengan ruas. Sama-sama boleh melihat dimensi yang kita perhati, kemudian sama-sama boleh membuat keputusan berdasarkan paras mata yang memandang setara tahapnya.

Terpulang ingin mengatakan bahawa saya berlagak. Allah lebih tahu. Kalau saya ingin berbangga pun, sekurang-kurangnya saya berbangga bahawa saya berpihak kepada kebenaran dan berdiri di atas hujah dan berpaksikan ilmu. Saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan nikmat ini.

Akan tetapi, mereka yang berbangga-bangga dengan kebodohan mereka dan kemampuan untuk menghadapi hujah ilmiah hanya dengan celaan, kata-kata kesat, menyindir, menganggap bodoh, memandang rendah, mencemuh dan memaki, yang ini bagaimana pula?

Setakat ingin menjadi wira kepada orang sekeliling dengan hanya pandai menghamburkan perkataan yang menyakitkan lawan sehingga kalau ia boleh dibunuh dengannya, ia akan melakukannya dan ejekan yang membolehkan orang sekeliling gelak berdekah-dekah dalam mempersenda orang lain. Inikah yang dibanggakan mereka? Inikah yang mereka ingin dakwah kepada masyarakat? Inikah agama yang mereka orang ramai mengamalkannya?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622976948243759104/celoteh-peribadi-10-sudah-tahu-bodoh-tetapi

com/post/622976948243759104/celoteh-peribadi-10-sudah-tahu-bodoh-tetapi

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now