Celoteh 69 : Terlunturnya Kecintaan Populariti Dalam Diri Saya

4 0 0
                                    

Saya bersyukur kepada Allah kerana Dia melunturkan kedambaan untuk meraih populariti dalam jiwa saya dan tidak peduli siapa yang akan mengikuti dan meninggalkan saya. Mungkin sahaja sudah lebih daripada tujuh tahun saya bergelumang dalam penulisan ilmiah.

Namun, saya tetap mara ke hadapan dan tetap menyampaikan dan mengongsikan meskipun penulisan saya tidak dicapai oleh mana-mana orang. Semoga Allah kekalkan nikmat ini sehingga saya menghembuskan nafas akhir saya.

Saya sememangnya menulis atas dasar minat untuk menabur bakti kepada bidang keilmuan, di samping mencari keredhaan Allah Tabāroka Wa Ta*ālā. Walaupun saya telah menghasilkan penulisan yang beraneka, tetapi saya tidak terkesan jika sedikit atau tiada siapa yang ingin membacanya.

Walaupun saya ada menaruh harapan bahawa pada suatu hari nanti, ada orang berminat untuk membacanya dan mengambil manfaat daripadanya, saya tetap mengutamakan kepuasan diri saya, fokus untuk membentangkan penulisan yang terbaik dan kekal untuk mengharapkan limpahan rahmat daripada-Nya.

Kalau pun saya menginginkan pengikut, saya akan hanya mengiktiraf mereka yang memiliki kemampuan ilmu bahasa Arab, ilmu uṣūl dan ilmu hadis dan beberapa ilmu yang lain serta memiliki entusias dalam intelektual dan pemikiran kritis. Tentu lagi jika ingin mengangkat sebagai sahabat atau teman sefikrah.

Saya sama sekali tidak menganggap seseorang pengikut jika hanya bertaklid pandangan saya atau mereka yang sama sekali tidak memiliki ilmu yang penting bagi seorang yang faqih. Para pentaklid ini sebenarnya terdedah dengan ikutan hawa nafsu atau mudah terumbang-ambing dalam ikutan. Sebab itulah lebih baik kita ditemani oleh rakan yang memiliki mutu yang tinggi berbanding ramai pengikut sekeliling, tetapi tidak memberi apa-apa faedah.

Pun begitu, bukan bermakna saya tidak menganggap mereka adalah saudara seagama yang sama-sama berpegang dan berjuang untuk akidah yang murni dan keluhuran Islam. Malah, saya boleh sahaja untuk bergaul dan beramah mesra dengan mereka sebagai sahabat yang biasa. Cuma, untuk mengatakan bahawa dia seyogianya dipanggil pengikut saya atau teman sekefahaman dengan saya, maka saya perlu ada piawaian.

Syarat yang saya letakkan ini bukan untuk kepentingan saya semata-mata, tetapi untuk kebaikan mereka. Saya sedang menyarankan kepada mereka agar pelajari ilmu-ilmu yang vital dan krusial yang menyampaikan seseorang kepada faqih.

Biarlah ikutan kita dalam agama berasaskan kritis dan penghujahan yang kukuh. Sama ada ingin mengikuti saya atau orang lain atau mana-mana tokoh, lebih baik kita mengikuti mereka atas dasar kecelikan dan kecendekiaan. Mana-mana orang pun akan merasa bangga jika pengikutnya adalah terdiri daripada golongan yang faqih.

Bukanlah di sini saya menganggap bahawa saya sama berdiri dengan para sarjana yang terbilang. Saya mungkin lebih hina daripada debu di sisi mereka. Allah lebih mengetahui kedudukan saya.

Saya pun menzahirkan kesyukuran kepada-Nya dengan setinggi-tinggi kesyukuran kerana menganugerahkan beberapa ilmu yang berguna untuk diri saya. Namun, saya sedaya upaya agar tidak berlebihan dalam mengungkapkan kesyukuran serta sentiasa meletakkan kedudukan diri yang sewajarnya.

Apapun, saya juga seorang penuntut ilmu yang masih berusaha untuk melaburkan ketekunan dan usaha untuk memperbaiki kelemahan saya, meningkatkan penguasaan ilmu saya dan menambahkan bekalan di dada.

Dalam masa yang sama, saya akan berjuang untuk menebarkan kebenaran dan menyangkal penyelewengan, kebatilan dan kesesatan semampu yang saya ada dengan izin-Nya dan kurniaan-Nya kerana itulah tanggungjawab sebagai seorang muslim yang diberikan nikmat ilmu.

Saya berkongsi kerana dasar kecintaan saya untuk menyumbang kepada lapangan ilmiah. Sama ada orang ingin mengambil manfaat ataupun tidak, itu saya tidak peduli.

Namun, jika ia bermanfaat kepada minda dan jiwa, saya mengharapkan pahala yang besar dari sisi-Nya dan melimpahkan kebaikan kepada para pembaca. Jika ia tidak bermanfaat, maka saya mengharapkan keampunan daripada-Nya terhadap kekurangan, keaiban, kelompongan dan kesilapan saya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/653374673366794240/celoteh-peribadi-69-terlunturnya-kecintaan

com/post/653374673366794240/celoteh-peribadi-69-terlunturnya-kecintaan

Ops! Esta imagem não segue as nossas directrizes de conteúdo. Para continuares a publicar, por favor, remova-a ou carrega uma imagem diferente.
Celoteh Peribadi Amir KazumaOnde as histórias ganham vida. Descobre agora