Celoteh 5

21 1 0
                                    

Sudut Lain Yang Mungkin Orang Yang Mengagumi Kita Tidak Nampak Padanya

Adakalanya saya melihat ada orang kagum melihat pencapaian saya dalam bahasa Arab yang mampu akses pembacaannya lebih besar dan mengorek isi kandungan yang terdapat dalam penulisan bahasa Arab yang tidak mampu dibuat oleh orang lain. Juga pencapaian saya dalam bidang hadis yang mampu mengaplikasikan kaedah *ilal al-Ḥadīṯ secara praktikal.

Untuk bahagian ini, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah yang mengurniakan segala-galanya dan membimbing saya ke jalan tersebut. Semuanya adalah daripada-Nya. Tidak ada satu pun daripada saya.

Kadangkala, saya agak gembira dengan pencapaian bahagian itu. Namun, ada satu bahagian lain saya merasa masih banyak kelompongan dan jauh ketinggalan berbanding yang lain. Saya juga kadangkala berkongsi perasaan kagum sepertimana mereka memandang saya apabila melihat prestasi dan prestij mereka dalam bahagian tersebut, tetapi mereka sendiri tidak menyedari perasaan saya pada mereka dan adakalanya mereka sendiri tidak sedar kehebatan yang ada pada sisinya atau tidak mengakuinya walaupun ia sememangnya kenyataan yang tidak dapat dinafikan.

Adakalanya, saya juga menyimpan rasa iri hati dengan keunggulan yang diraih olehnya. Saya juga manusia biasa yang kadangkala ada perasaan seperti itu. Namun, semoga Allah tidak memasukkan saya dalam golongan hasad.

Apapun, kadangkala kita melihat orang lain memiliki kehebatan yang tidak terkejar mata memandang, tetapi pada perspektif dirinya sendiri, dia sedar betapa banyak tampungan yang dia perlukan untuk menutup bahagian yang bocor. Mereka juga kadangkala ada rasa tersisih untuk suatu bahagian disebabkan kekurangan bahagian tersebut.

Malah, mereka juga ada yang merasa dengki dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Boleh jadi orang yang memandang kagum dengan kita, sebenarnya dalam masa yang sama memiliki kelebihan yang tidak kita miliki. Dan apabila dibandingkan tahap diri kita antara mereka, boleh jadi ada pemisah ibarat langit dan bumi.

Hidup ini tidak perlu begitu kagum terhadap orang lain, malah kepada diri saya sendiri juga sehingga seolah-olah dia seperti dewa yang tiada pesaing untuknya. Kadangkala, kita juga boleh mengungguli mereka jika kita kerahkan usaha yang selebihnya. Tiada ada yang terlambat selagimana kita masih bernafas.

Kadangkala, mereka yang kita anggapnya sebagai tidak tercabar sebenarnya ada menyimpan rasa hampa melihat kekurangan diri sendiri tanpa kita tahu terhadapnya. Kita hidup bermasyarakat dapat membina tamadun bukan atas kapaisiti individu, tetapi erat genggam tangan bersama yang sama-sama mengakui kekurangan sendiri dan saling mempercayai antara satu sama lain dalam menyempurnakan bahagian yang lompong.

Tentu sahaja tidak ada guna hidup untuk melunaskan hasad yang membara. Adakah kita mahu membunuh pahlawan yang tangkas kerana dengki kemampuannya melawan seteru? Sebenarnya perbuatan kita itu akan merugikan kita. Tanpa pahlawan itu, kita akan membina jurang kelemahan antara pihak pasukan kita dengan lawan kita.

Sebegitulah jika kita hidup hanya untuk menjatuhkan orang. Tanpanya, barangkali institusi atau negara atau komuniti atau orang lain atau mungkin diri kita akan terkesan teruk akibat perbuatan durjana kita. 

Kelebihan yang ada pada orang itu mungkin sahaja bermanfaat pada sesuatu yang di luar kesedaran dan pengetahuan kita. Sebab itulah kita perlu belajar bertoleransi dan akui bakat masing-masing yang unik. Masing-masing Allah berikan bahagian yang terbaik untuk hamba-Nya. Tidak perlu kita tamak.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622666890776625152/celoteh-peribadi-5-sudut-lain-yang-mungkin-orang

com/post/622666890776625152/celoteh-peribadi-5-sudut-lain-yang-mungkin-orang

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now