Celoteh 167

19 0 0
                                    

Kepincangan Pengkadaran Kerosakan Pada Isu Wanita Yang Mendakwa Menghafal 15 Juzuk Daripada Al-Quran Menanggalkan Tudungnya Dan Pakaiannya Di Kelab Komedi

Saya bukanlah menyokong perlakuan seorang wanita di kelab komedi yang mendakwa menghafal 15 juzuk daripada al-Quran yang menanggalkan tudung dan pakaian sehingga separuh berbogel atas alasan untuk melawak. Malah, orang fasik sepertinya tidak perlu dibela, apatah lagi dipertahankan habis-habisan seakan-akan sama seperti golongan yang tertindas atau mangsa.

Namun, apabila sebahagian penceramah menyebarkan hadis palsu, mengapa sebahagian orang, khususnya dari kalangan pengikut tidak menzahirkan rasa berang yang sama sepertimana terhadap wanita itu? Padahal, ini jelas-jelas menghina agama Islam dengan penyebaran yang tidak berasas terhadap agama ini.

Mengapa apabila sebahagian syarikat yang memperdaya warga muslim yang ingin mengerjakan haji sehingga mereka semua yang berjumlah lebih 300 orang terkandas, sangat lesu paluannya dan hanya sekadar merasa simpati terhadap jemaah yang menjadi mangsa? Padahal, ini adalah jenayah yang jauh lebih besar dari sekadar menanggal baju sambil berbangga bahawa dia telah menghafal separuh daripada al-Quran.

Sebabnya adalah individu atau pihak itu adalah berpengaruh atau memiliki kedudukan yang besar sama ada kewangan, ekonomi dan politik. Atas sebab itulah jika ia meletus pun, ia hanyalah hangat-hangat tahi ayam dan bakaran yang biasa-biasa sahaja, lalu diakhiri dengan tiupan angin di tanah yang kosong.

Orang yang tidak ada apa-apa seperti wanita itu menjadi sasaran yang dahsyat kerana dia bukan memiliki pengaruh seperti sebahagian penceramah dan taikun besar. Disebabkan itulah mereka menderaskan tekanan yang hebat terhadapnya sehingga dia diburu, ditangkap dan disabitkan jenayah serta kelab itu sehingga ditutup sementara kerana dia cumalah sang kerdil lagi kelas bawahan jika dibandingkan dengan penceramah popular atau taikun yang kaya.

Sampai sekarang kita tidak mendengar sebahagian penceramah yang merepek, menyebarkan hadis palsu dan membawa ajaran sesat tidak diambil tindakan atau paling kurang pun sekadar bertemu secara mesra atas tema perbincangan dua hala. Kita pun tidak tahu apakah pengakhiran taikun yang sudah terbabit dengan salah laku, jenayah dan penipuan kewangan sama ada sudah mendapat hukuman setimpal atau hukuman yang dirasakan belum cukup adil atau masih bebas atau tiada khabar lagi tentangnya. Namun, wanita itu juga diberikan sehabis-habis upaya untuk dilenyekkan dan dicari-cari maklumat terkini.

Begitulah apabila prioriti dan pengkadaran jenis kesalahan tidak dihadam dengan sebaiknya. Yang kecil diberikan kempen pembasmian cukup besar, sedangkan yang besar pula hanya dimuktamadkan dengan berkata: "Serahkan kepada pihak berautoriti" dan seumpamanya yang cukup ringan.

Samalah juga apabila isu pornografi dengan rokok. Apabila dapat tahu seseorang menonton pornografi, habis siang dan malam mahu menengking secukup-cukupnya dan kalau boleh, mereka ingin membelasahnya sampai melunyai orang itu. Bahkan, sampai ada yang menghalaunya dari kelas kerana hal ini.

Namun, rokok yang jauh lebih berbahaya daripada pornografi terus diberikan toleransi walaupun dalam keadaan tidak suka, masih diberikan ruang selagimana mereka merokok di luar premis atau di luar penampakan mereka, malah duduk bersama untuk bersosial! Bahkan, perokok pula dibiarkan di jalanan seolah-olah ia pemandangan biasa yang sama seperti sampah sarap di tepi jalan. Bayangkan kalau terlihat orang menonton pornografi di tempat terbuka.

Begitulah hipokrit sebahagian orang. Apabila saya menegur perkara ini, saya menganggap bahawa isu yang kecil ini seolah-olah tidak ada apa-apa dan boleh diketepikan terus atau beranggapan saya membela pelaku kepada kesalahan kecil. Inilah orang yang melakukan falasi ₍Strawman₎ dan mengatakan apa yang saya atau orang lain tidak mengatakannya.

Yang saya memaksudkan adalah layanan dan kadar tekanan kita patut selaras dengan isu yang kita berhadapan dengannya. Janganlah disebabkan seseorang itu berpengaruh dan terkenal atau syarikat itu kaya dan ada kedudukan yang besar dalam ekonomi dan politik diberikan tekanan yang cukup-cukup makan sahaja atau menganggap seakan-akan ia adalah kesalahan yang biasa kedengaran setiap tahun, tetapi orang yang kerdil pula dilibas habis-habisan seakan-akan penceramah terkenal dan taikun yang berkuasa ini membuat kesalahan yang jauh lebih kecil daripadanya.

Celoteh Peribadi Amir KazumaDove le storie prendono vita. Scoprilo ora