Celoteh 34 : Balasan Orang Yang Bermain ₍Ad Hominem₎

8 1 0
                                    

Baru-baru ini, saya mendapat pendedahan bahawa terdapat seseorang yang suka mencela dan meremehkan serta memandang lekeh terhadap seseorang yang lain yang memiliki PhD dalam sesuatu bidang kerana perbezaan pendapat dan aliran pemikiran akhirnya terciduk ketika ingin melanjutkan ujian kelayakan peringkat Master. Malah, sebahagian subjek mendapat gred gagal yang teruk dalam bidang ilmu yang telah lama dia berkecimpung dengannya.

Bersorak gembira sebahagian orang apabila mendapat tahu pendedahan ini. Cukup-cukup mereka mengejek semula dan memberi hentaman balas terhadap pencela tersebut. Sudah lama agaknya mereka menyimpan dendam dan memendam kemarahan.

Saya tidaklah setuju pendedahan tersebut kerana ia membuka aib orang lain dan merendahkan orang lain dengan sesuatu yang bukan sepatutnya. Saya dapat makluman ini kerana hangat menjadi bualan di media sosial sehingga saya tidak boleh menjauhinya. Cuma, elok kita muhasabah mengapa perkara ini terjadi, iaitu mengapa orang terlalu gembira untuk mendedahkan ini kepada khayalak?

Ini kerana orang tersebut seringkali mempersenda figura yang memegang lulusan PhD. Yang diutarakan bukan hujah balas secara ilmiah, tetapi sindiran yang banyak menjurus kepada penghinaan dan cemuhan yang merendahkan kemampuan ilmunya.

Boleh dikatakan, sikapnya dalam mendepani figura tersebut hanya dengan ₍Ad Hominem₎, bukan objektif dalam pertukaran pendapat. Atas sebab inilah yang membenihkan berang kepada pengikut figura tersebut yang menanti waktunya untuk meletus.

Pengajaran kepada kita adalah apabila kita gemar mencela orang dengan bermain kad ₍Ad Hominem₎, kita juga akan dibalas yang sama. Kalau bukan pada hari ini, mungkin hari esok Allah tunjukkan kepada kita.

Jika kita suka londehkan orang lain dengan memperlekeh yang kosong dari hujah ilmiah, maka seteru kita pun akan gemar berbuat yang sama. Kadangkala, sikap kita terhadap lawan mampu memberi pengaruh kepada pemikiran dan sikap lawan terhadap kita.

Untuk kes ini, saya teringat buku «Do As I Say (Not As I Do) : Profiles In Liberal Hypocrisy» karya Peter Schweizer yang mana dia menempelak sebahagian figura besar liberal dan para advokatornya yang seringkali mengaibkan golongan konservatif dan banyak menyerang peribadi dengan membangkitkan beberapa isu peribadi yang kononnya konservatif dan hipokrit adalah dua wajah yang sama, padahal liberal jauh lebih teruk yang mana mereka bercakap soal keadilan, memperjuangkan kesejahteraan ekonomi dan juara pembela moral, tetapi rupa-rupanya, mereka juga terlibat dengan skandal yang membabitkan alam sekitar, kapitalisme dan beberapa manipulasi kewangan.

Ini juga pengajaran kepada diri saya sendiri. Kadangkala, walaupun saya telah berulang kali mengingatkan untuk menjauhi ₍Ad Hominem₎, mungkin sekali saya tidak terlepas melakukan yang sama tanpa saya sedar.

Saya memohon keampunan kepada Allah atas kesalahan yang tidak saya sedari atau yang saya lakukan tanpa berfikir semasak-masaknya. Malapetaka yang menimpa mungkin kerana denda daripada Allah akibat dosa dan kebejatan yang kita lakukan sama ada pada diri sendiri atau orang lain atau alam.

Kalau kita sentiasa menyelongkar aib peribadi orang lain, maka orang lain pun akan berbuat yang sama ke atas kita. Kalau hidup kita selalu mengkhianati kepercayaan orang lain, maka orang sekeliling pun akan mengkhianati kita. Kalau hidup kita gemar menyinggung orang lain, maka orang lain pun menyinggung kita yang sama. Kalau hidup kita selalu mengungkit dan mengata orang lain, maka orang lain pun akan berbuat yang sama pada kita.

Kalau hidup kita sentiasa bermurah hati kepada orang lain, maka orang ramai akan membalas yang sama kepada kita. Kalau hidup kita senitasa memberi jasa kepada orang lain, maka orang lain akan memberikan yang sama kepada kita.

Apa yang orang lakukan pada kita adakalanya refleksi kepada apa yang kita selalu buat pada orang lain. Semoga kita terhindar daripada kejahatan diri kita yang mana kejahatan itu akan menimpa balik kepada kita dan semoga kita semua memberikan gelombang yang positif kepada orang lain agar ia memancar semula kepada diri kita.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633789043020333056/celoteh-peribadi-34-balasan-orang-yang-bermain

com/post/633789043020333056/celoteh-peribadi-34-balasan-orang-yang-bermain

اوووه! هذه الصورة لا تتبع إرشادات المحتوى الخاصة بنا. لمتابعة النشر، يرجى إزالتها أو تحميل صورة أخرى.
Celoteh Peribadi Amir Kazumaحيث تعيش القصص. اكتشف الآن