Celoteh 53 : Menepis Falasi Ad-Hominem Terhadap Saya

8 0 0
                                    

Falasi ₍Ad Hominem₎ adalah cara yang paling mudah untuk merangkul kemenangan dan memeprtahankan kedegilan diri. Cukuplah membangkitkan isu peribadi yang dapat memburukkannya, lalu dijadikan itu sebagai modal untuk menyahkreditkan penghujahan seseorang serta meruntuhkan kredibiliti daripada seseornag itu.

Tidak perlu sentuh hujah dan tidak perlu mengerahkan minda untuk menyelidik dan membina hujah. Tidak perlu sibuk untuk menjawab balas hujah. Cukup bermain isu peribadi.

Cara permainan ₍Ad Hominem₎ ini sama seperti orang yang berkata: "Saya ragu dengan kemampuan tinju kamu kerana kamu berpihak pada parti politik tertentu. Memandangkan ini adalah latar belakang kamu, maka sayalah pemenang dalam pusingan ini!".

Sebegitu mudah untuk mendakwa kemenangan tanpa melihat terdahulu bagaimana kemampuannya bertinju. Hanya dengan memalukan atau mengejeknya pada isu peribadi, maka seseorang itu memperoleh kejayaan menurut arah tujuannya secara mudah.

Cara ini sama seperti ketika perbincangan atau debat. Dia meragukan kemampuan ilmu seseorang dengan hanya membangkitkan isu-isu yang tiada kaitan dengan hujah seperti penampilan, sanad pengajian dan seumpamanya.

Tujuannya adalah jelas. Sama ada kerana degil tidak mahu mendengar hujah pihak lawan atau mahu mempertahankan keingkarannya dengan menutupnya melalui pengungkitan isu peribadi yang dengan itu, dia menjustifikasikan bahawa kebenaran seolah-olah tidak jelas di matanya dan di mata orang lain kerana isu peribadi yang ditiup-tiupkan.

Sudah banyak kali saya mengingatkan kebobrokan dan kejelekan falasi ini. Ia bukan sahaja jenayah dalam ilmu dan melanggar adab-adab ketika berdiskusi, malah ia adalah pengundang dosa kesombongan yang melayakkan seseorang itu ke neraka. Sehingga kepada penulisan ini pun saya terpaksa ulang lagi peringatan terhadap falasi kerana betapa jahatnya orang yang menggunakan falasi ini dan betapa gamblangnya orang menggunakannya demi meraih kemenangan yang mudah.

Saya sudah biasa terkena falasi ini, lebih-lebih lagi jika orang tahu latar belakang saya yang erotikawan. Biasanya mereka menggunakan falasi ini untuk mendiamkan saya dan mempermainkan saya. Mereka tidak mahu pandang hujah yang saya kemukakan dan mereka mahu melarikan diri daripada pembentangan saya.

Namun, saya serahkan kepada para pembaca untuk menilai penulisan saya yang telah pun saya paparkan dan persembahkan secara percuma untuk para pembaca. Adakah benar seperti gambaran daripada yang orang bermain falasi ini? Allah adalah sebaik-baik penilai.

Malah, penulisan saya ini akan menjadi saksi dan pembela saya di hari akhirat kelak dan ia akan menjadi hujah saya di hadapan Yang Maha Adil. Kalau mereka yang bermain falasi ini sebagai hujah untuk dijawab di akhirat, dipersilakan.

Biar saya perkenalkan penulisan yang bagi saya adalah antara opus magnum bagi saya. Yang pertama adalah «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Dan *Ilal al-Ḥadīṯ». Yang kedua adalah «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah». Yang ketiga adalah «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Saīd ad-Dārimiyy».

Demi Allah saya bersumpah! Ini adalah karya yang belum pernah dihasilkan secara tuntas dan mendalam sebelum saya di tanah air kita, iaitu Malaysia secara khususnya.

Dan saya juga mencabar mereka untuk membuktikan bahawa sebelum 2021, sudah ada karya atau penulisan yang komprehensif sebegini. Saya cabar untuk membuktikan telah ada penulisan yang membahaskan ilmu kemahiran asas *ilal al-Ḥadīṯ secara mendalam di Malaysia sebelum judul penulisan saya «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Dan *Ilal al-Ḥadīṯ» pada tahun 2021.

Saya cabar untuk membuktikan yang perincian perbahasan isu isbat huruf dan suara bagi kalam Allah telah pun ada di nusantara sebelum penulisan saya «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah» pada tahun 2021.

Saya cabar untuk membuktikan bahawa terdapat penulisan khas yang mempertahankan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy di dunia secara mendalam sebelum judul penulisan saya «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Saīd ad-Dārimiyy» pada tahun 2021.

Jika benar-benar tiada, maka semoga ini menjadi bukti khidmat yang terbaik dari saya dengan bantuan Allah dan izin-Nya demi keredhaan-Nya dan umat Islam yang ingin mengambil manfaat. Saya tidak ada hak untuk mendakwa semua ini hasil daripada tangan saya sendiri tanpa kekuatan yang Dia anugerhakan kepada saya. Saya tidak ada hak untuk berbangga dengan apa yang telah saya usahakan tanpa mengikat kesyukuran saya kepada-Nya.

Apa yang saya bentangkan di sini bukan untuk mengangkat diri secara bongkak, tetapi untuk mempertahankan diri daripada direndahkan dan dipermainkan. Seolah-olah saya tidak ada nilai yang berguna langsung. Saya buktikan di mana dan apa nilai saya dalam menabur bakti dalam bidang ilmu dalam kupasan, penjelasan dan penghujahan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/645734424930074624/celoteh-peribadi-53-menepis-falasi-ad-hominem

com/post/645734424930074624/celoteh-peribadi-53-menepis-falasi-ad-hominem

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now