Celoteh 133 : Untuk Mereka Yang Mendesak Saya Untuk Bersuara Sesuatu Isu

8 0 0
                                    

Saya selalu sahaja merasa lucu apabila saya menyerang sebahagian kelompok sufi yang terjebak dengan batiniah ini, mereka berkata kepada saya: "Kamu selalu sahaja menyerang sufi dan mengkritik mereka. Wahabi bila pula ingin dikritik?". Usah kata wahabi, saya sudah pun menghasilkan kritikan terhadap akidah Ibn Taymiyyah yang merupakan imam besar untuk golongan wahabi dalam beberapa tempat.

Sekarang, saya ingin bertanya kepada mereka. Saya sudah mengkritik Ibn Taymiyyah yang merupakan paksi utama bagi fahaman wahabi. Apakah mereka sekarang ingin menerima penjelasan saya dalam isu-isu yang saya lontarkan kritikan kepada sebahagian sufi?

Mereka tuntut saya untuk mengkritik wahabi dan sekarang saya telah menunaikannya. Sekarang, adakah mereka terbuka hati untuk terima kritikan saya terhadap sebahagian sufi yang menyeleweng ini?

Jawapannya yang pasti adalah mereka tetap enggan mendengarnya dan tidak mempedulikannya. Mereka tetap dengan pendirian yang sama dan terus-menerus mencela saya sepertimana dahulu. Tidak ada perubahan pun.

Samalah juga apabila saya menyuarakan beberapa isu dalam manhaj beragama, saya pula didesak tentang mengapa saya tidak mengapa tidak mempedulikan sebahagian orang yang masih lagi jahil untuk membaca 「Surah al-Fāṭiḥah」? Apabila saya berbicara tentang bahaya pemikiran dan aliran yang sesat, saya didesak untuk bersuara tentang rasuah.

Kalaulah saya bersuara tentang rasuah, mereka desak pula saya untuk bersuara tentang riba dan sistem kewangan yang durjana pada masa kini. Kalaulah saya menyuarakan isu riba dan sistem kewangan yang durjana pada masa kini, mereka desak saya pula untuk bersuara tentang pembalakan haram di negara kita. Kalaulah saya menyuarakan isu pembalakan haram, mereka desak saya pula untuk bersuara tentang politikus yang keparat.

Begitulah terus menerus dengan isu tidak berkesudahan. Seolah-olah macam tidak ada orang lain yang lebih baik daripada saya untuk bersuara tentang isu pembalakan haram, tidak ada golongan pakar yang lain untuk menjelaskan sistem kewangan yang durjana dan semua perkara hendak memikulkan ke bahu saya seolah-olah saya berkemahiran semua perkara.

Apapun, pokok soalannya adalah kalau saya bersuara tentang isu-isu yang mereka tuntut saya untuk menyuarakan, apakah mereka akan mendengar atau menerima pandangan saya dalam isu pertikaian antara saya dengan mereka?

Kalau mereka sebagai contoh adalah pengikut sufi dan mendesak saya untuk bersuara tentang wahabi, sekarang setelahmana saya bersuara tentang wahabi, adakah mereka pula ingin menerima kritikan yang saya tegakkan ke atas mereka?

Bahkan, Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ahli hadis sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang terkenal dengan kelantangannya dalam menentang wahabi dan membela tradisi kesufian sehingga dia dikenali dengan kepekatannya dengan sufi pun bukannya mereka ingin menerima kritikannya terhadap ašᶜarian sepertimana yang dikumpulkan kalamnya oleh Ṣōdiq bin Salīm bin Ṣōdiq dalam «Ḏamm al-Ašā*iroh Wa al-Mutakallimīn Wa al-Falāsifah».

Apabila Aḥmad al-Ġumāriyy sudah semaksimumnya menentang wahabi dan membela sufi, adakah mereka yang mendesak ini ingin menerima pandangannya terhadap ašᶜarian? Tetap juga tidak. Kalau seorang ulama yang diangkat tinggi oleh golongan mereka dan dijulang sehabis-habisannya pun mereka tidak mahu menerima setelah dia menunaikan apa yang mereka tuntut, apatah lagi saya yang kerdil ini.

Sebegitu juga dengan Sa*īd Fawdah. Walaupun sudah dikenali dengan kelantangan dan aktifnya dalam menentang wahabi, namun kritikannya terhadap Ibn *Arobiyy begitu diingkari sehabis-habisnya. Kalau tokoh yang besar ini yang berjasa secara signifikan serta mencipta nama di persada sejarah dan wacana keilmuan dalam penentangan terhadap wahabi pun dibakulsampahkan pandangannya terhadap Ibn *Arobiyy, mengapa pula desak saya dan orang lain untuk melakukan yang akhirnya mereka sendiri pun akan buat yang sama pada Sa*īd Fawdah?

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now