Celoteh 169 : Kekecewaan Terhadap Usaha Pelestarian Khazanah Karya Ahli Bait

6 0 0
                                    

Saya kagum melihat kesungguhan usaha pihak salafi dalam memelihara khazanah tokoh ilmuwannya sehinggakan ceramah kuliahnya disimpan rakaman audionya dalam laman web khas mereka dan disediakan bersama transkrip pada bicara dalam audio itu.

Apabila saya melihat dari pihak yang lawan menjadi salafi, khususnya dari kalangan ašᶜarian, māturīdian dan sufi, usah kata rakaman audio dan transkripnya yang tidak dapat disimpan dengan baik. Adakalanya, karya mereka tidak dipelihara dengan baik sehingga tidak sampai seratus tahun pemergian salafi yang hidup pada zaman pita rakaman dan kamera yang terhad untuk yang dipikul di bahu, karya tersebut boleh dikatakan hilang ditelan zaman dan tidak ditemui sekalipun ada rekod penisbahan judul karya itu kepadanya atau karya itu masih lagi dalam bentuk manuskrip yang sehingga sekarang belum dicetak.

Mereka sendiri tidak ada perisian seperti Maktabah Syamilah untuk mengumpulkan khazanah-khazanah mereka. Bahkan, para pecinta ahli bait yang memandang tinggi terhadap tokoh-tokoh ilmuwannya yang merupakan zuriat terbaik di muka bumi dan peninggalan beban yang diwasiatkan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- pun seolah-olah tidak ada usaha sepertimana yang dilakukan salafi.

Kita ambil contoh daripada keluarga al-Ġumāriyy sudah memadai. Walaupun karya *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy sama ada berbentuk buku atau artikel dalam majalah berjaya diensklopediakan, tetapi masih belum ada perisian khas sepertimana Maktabah Syamilah untuk melestarikan dan memesradigitalkan karyanya. Itu belum lagi karya adik-beradiknya yang lain yang masih terabai.

Ada karya abangnya; Aḥmad al-Ġumāriyy masih lagi berbentuk manuskrip penulisan tangan dan sampai sekarang tidak dicetak seperti «al-Iqlīd Fī Tanzīl Kitab Allah *Alā Ahli at-Taqlīd» dan «al-*Atb al-I*lāniyy Li Man Waṯṯaqo Ṣōliḥan al-Fulāniyy». 

Ada karya adik-adiknya yang lain yang entah di mana simpanannya, entah bila akan ditemui semula dan entah bila dicetak sekalipun ada rekod penisbahan pemilikan judul kitab itu. Beberapa kuliah audio Muḥammad az-Zamzamiyy dan anaknya; *Abdul Bārī berjaya disimpan, tetapi masih belum ada transkip, apatah lagi buku khas yang mengumpulkan transkripnya sepertimana yang dilakukan pada salafi yang lain.

Apa yang terjadi sebenarnya? Di mana semangat pecinta ahli bait untuk memperkasakan karya ulamanya dan melestarikan khazanahnya? Adakah jauh ketinggalan berbanding salafi? Saya sangat berharap ada perpustakaan digital khas seperti Maktabah Syamilah yang memfokuskan karya-karya ahli bait memandangkan ahli bait adalah beban peninggalan yang diwasiatkan oleh Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Namun, entah bila kita akan menikmati manfaat itu.

Saya dapat mengutarakan dua sebab mengapa ini terjadi. Pertama, boleh jadi kebanyakan ilmuwan ahli bait berpihak pada kelompok mereka pada masa kini dan setaraf dengan mereka sama ada dari segi tahap keilmuan, kesolehan dan kedudukannya. Maka, kebanyakan orang yang tidak memandang tinggi terhadap ahli bait menganggap bahawa ahli bait dan ulama yang lain adalah sama. 

Maka, bagi mereka, ambil yang mana-mana pun tidak ada masalah. Adakalanya, yang ahli bait begitu dipinggirkan dan tidak diutamakan yang sewajarnya bersama kecintaan yang mendalam sepertimana yang dilakukan pada tokoh-tokoh dan karya yang selain daripada ahli bait.

Ramai sahaja daripada mereka berkata bahawa ahli bait adalah zuriat yang dimuliakan di muka bumi ini. Akan tetapi, apabila melihat senarai karya-karya yang mereka selalu rujuk, yang telah mereka baca dan yang menjadi keutamaan langsung tidak diberikan kepada ahli bait. Nama-namanya banyak yang selainnya. Seakan-akan tokoh ilmuwan ahli bait ini sama sahaja seperti tokoh yang lain sehingga mana-mana boleh diambil atau karya ahli bait tidak ada masalah dipinggirkan.

Kedua, barangkali berlaku banyak perpecahan dalam kalangan mereka sehingga sukar untuk mereka bersatu dalam menjayakan usaha untuk membangunkan perisian yang sama seperti Maktabah Syamilah. Boleh jadi perpecahan adalah disebabkan tuduhan terhadap orang lain dengan label wahabi yang sembarangan atau mana-mana yang tidak semanhaj dengannya, dianggap bukan kelompok yang patut diberikan keutamaan atau beri ruang kepadanya.

Tokoh ahli bait ini sememangnya tidak terhad pada ašᶜarian semata-mata, ada yang salafi seperti Muḥammad Būẖubzah bin al-Amīn, *Alawiyy bin *Abdul Qōdir as-Saqqōf, Ḥasan bin *Aliyy al-Kattāniyy dan saudaranya; Ḥamzah dan ada juga daripda zaydian yang jumlahnya sangat ramai serta sebahagiannya mungkin syiah imāmian. Itu belum lagi subpecahan yang ada pada masing-masing yang mungkin sahaja ada perbezaan yang jelas.

Bahkan, antara andaian saya adalah karya Aḥmad al-Ġumāriyy tidak mendapat tempat sepertimana adiknya; *Abdullah kerana ketidaksukaan sebahagian orang yang cakna bahawa Aḥmad al-Ġumāriyy ini sangat kuat mengutuk ašᶜarian meskipun dia adalah sufi. Ḥasan bin *Aliyy as-Saqqōf dalam «al-Jawāb ad-Daqīq *Alā Mā Waqo*a Fī Kitāb Darr al-Ġommām ar-Roqīq» mendakwa bahawa teks-teks kutukan Aḥmad al-Ġumāriyy terhadap ašᶜarian adalah yang telah diseleweng walaupun ini adalah dakwaan kosong dan tidak berasas.

Kalaulah masing-masing saling berpecah antara satu sama lain, ada sentimen tersendiri dan tidak dapat menghargai keunikan yang ada pada setiap satu daripada ilmuwan, sampai bila-bila kita akan ketinggalan dalam pecutan yang telah didedikasikan oleh salafi terhadap khazanah tokohnya sama ada karyanya atau kuliah audionya. 

Tokoh ahli bait yang salafi mungkin akan ditolak habis-habisan kerana sentimen akidah dan manhaj yang ekstrim. Sebegitu juga salafi yang menolak ahli bait dari aliran selainnya dan termasuk daripada golongan bidaah atau kalaupun mereka menerimanya sebagai ahli sunnah, ia di kelas yang rendah.

Akhirnya, pelestarian khazanah peninggalan bait sepertimana pihak salafi yang lain tinggal angan-angan dan impian yang tidak kesampaian. Dukacita untuk kita menghadapi situasi sebegini.

Yang lebih mendukacitakan lagi adalah mereka yang selalu mendakwa bahawa ikutan mereka adalah yang paling majoriti pun tidak dapat memelihara karya mereka dengan jumlah yang ramai. Malulah kalau seringkali mengutuk wahabi sebagai golongan minoriti, tetapi golongan mereka sendiri tidak dapat menjaga peninggalan tokoh-tokoh dari golongan sendiri.

Tidak ada guna mengutuk dan menempelak wahabi yang giat aktif menyebarkan dakwahnya, fahamannya dan hegemoninya kalau diri sendiri masih berpecah, luntur semangat untuk membuat alternatif yang setara dan berdaya saing serta tidak menghargai keunikan yang ada pada dalam sama aliran.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/693540605710712832/celoteh-peribadi-169-kekecewaan-terhadap-usaha

com/post/693540605710712832/celoteh-peribadi-169-kekecewaan-terhadap-usaha

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now