Celoteh 74 : Alasan Saya Yang Dahulu Ketika Mempertahankan Pandangan

10 0 0
                                    

Benar sekali

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Benar sekali. Saya juga pernah pun terjebak dengan fahaman batiniah, di samping menjadi pentaksub sepertimana kebiasaan aswajaean. Sebab itulah saya menyinggung mereka ini di banyak tempat kerana saya telah pun mengenali realiti praktik dan manhaj mereka yang dahulu saya telah mempertahankannya, di samping saya pernah bergaul dan berjuang bersama mereka.

Respons balas mereka seperti saya tidak menghormati ulama atau saya biadap terhadap mereka walaupun hakikatnya batiniah ini langsung tidak mengikut manhaj ulama atau saya bukan ahlinya dan seumpamanya atau sepertimana yang tertera dalam perkongsian di gambar tersebut ketikamana saya menyinggung mereka telah pun saya gunakan berkali-kali. Mereka fikir saya tidak tahu apa hakikatnya apabila kad falasi ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ atau falasi yang lain digunakan?

Sudah di banyak tempat saya mendedahkan kepincangan pemikiran dan cara mereka dalam berinteraksi dengan pembudayaan ilmiah dan kritis intelektualisme. Apabila saya mengkritiknya dan mencelanya, saya tidak hanya mengkritik dan mencela mereka, tetapi saya juga mencela diri saya yang dahulu dan mereka yang menjelma diri saya dahulu.

Sebab itulah saya faham bagaimana mereka tersentak dan berang apabila saya kritik kerana itulah yang saya telah lalui. Saya tidak mahu mereka atau sesiapapun mengulangi atau meneruskan apa yang telah saya lalui.

Saya bersyukur kepada Allah *Azza Wa Jalla kerana memahamkan kerancuan dalam praktik dan manhaj saya dalam pemahaman serta interaksi ilmiah dalam agama, lalu dengan itu, saya terdorong dengan izin-Nya dan bantuan-Nya untuk meninggalkannya serta menuju kepada yang lebih benar. Saya tetap mendoakan agar mereka yang masih belum terbuka matanya untuk melihat hakikatnya agar dihadirkan lampu penyuluh untuk mengamati sendiri apa yang sedang mereka bergelumang dengannya.

Apapun, dari perkongsian ini, sebenarnya kita memerlukan masa dan kesabaran untuk menyampaikan, menjelaskan dan membentangkan hujah ilmiah dan kebenaran. Mungkin orang yang pernah berdakwah kepada saya pernah ada rasa kejemuan untuk mengingatkan saya berkali-kali untuk meneropong hakikat, bukti dan pertimbangan ilmiah secara objektif. Sekarang, saya pula berada di kedudukan mereka dan mungkin para saudara semua juga sedang berhadapan dengan situasi yang sama.

Nasihat kepada diri saya sendiri dan kepada para saudara semua adalah sentiasa meneruskan memantapkan diri kita bukan kerana ingin bersaing, tetapi demi mencapai kebenaran yang diredhai-Nya, berada di atas jalan yang lurus dan istiqamah di dalamnya sehingga hujung hayat.

Jika kita tulus untuknya, Allah tidak akan menyia-nyiakan dedikasi kita. Dengan syarat bahawa kita bersikap objektif, bebaskan minda daripada belenggu taksub dan taklid yang keji, membersihkan diri daripada sifat tercela pada minda seperti kognitif bias dan falasi yang menghalang kita dari menimbang penghujahan secara saksama dan jitu.

Kemudian, jangan berputus asa untuk terus menyampaikan kebenaran dengan bekalan ilmu yang terbaik yang kita ada. Mungkin kita tidak nampak kesan perubahan dari orang yang berseteru dengan kita pada hari keesokannya, tetapi mungkin pada beberapa tahun akan datang.

Saya juga melalui beberapa lama untuk berubah dan mungkin saudara yang lain juga mengambil masa yang lebih lama daripada apa yang telah saya lalui. Oleh itu, fahamilah rintangan dakwah dan sentiasa bergantung kepada Allah sepenuhnya agar diteguhkan jiwa dan dimantapkan pemikiran agar dapat menyampaikan yang terbaik kepada masyarakat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/655595625954623488/celoteh-peribadi-74-alasan-saya-yang-dahulu

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now