Celoteh 85 : Mengapa Saya Tidak Aktif Dalam Bergelumang Banyak Isu Semasa?

12 0 0
                                    

Saya sendiri juga tidak terlibat dalam soal jawab, perbincangan atau wacana dalam beberapa isu yang menjadi polemik atau sensasi yang hangat dalam perbualan masyarakat semasa meskipun saya cakna tentangnya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Saya sendiri juga tidak terlibat dalam soal jawab, perbincangan atau wacana dalam beberapa isu yang menjadi polemik atau sensasi yang hangat dalam perbualan masyarakat semasa meskipun saya cakna tentangnya.

Saya akan kemukakan alasan sepertimana yang tertera pada gambar ini atau lebih.

Kadangkala, saya mengutip dan mengongsikan apa yang telah dibentangkan oleh orang lain dalam merespons isu tersebut apabila ditanya mengenainya. Bukan kerana bertaklid sepenuhnya, tetapi saya secara peribadi merasakan berbanding saya berkata atas autoriti daripada saya. Maka, lebih manis jika saya menyampaikan autoriti daripadanya.

Malah, saya pun tidak melayani sebahagian perbalahan dalam sesuatu isu pun kerana selalunya ia membuang masa. Sebahagian yang saya temukan adalah jahil, tetapi degil.

Sebahagiannya adalah yang suka bermain falasi dan tidak serius dalam perbincangan serta bersikap objektif dalam penghujahan. Sebahagiannya juga mahir, tetapi suka mempersenda lawannya. Pelbagai lagi jenis orang yang kalau saya melayaninya, pasti ia membuang masa.

Saya sudah lali untuk mendambakan monopoli kemenangan di laman maya dan memenangkan hati semua orang meskipun saya merasakan bahawa pandangan saya penting untuk difahami, disebarkan dan diberi perhatian. Biarlah orang yang seberhaknya mengambil peranan atau sang luncai bersama labu-labunya ingin terjun dalam gaung tersebut.

Malah, yang lebih patut kita berhati-hati dalam mengikuti isu sensasi semasa masyarakat adalah kita tidak tahu plot jungkir yang tidak dijangka. Misalnya adalah tular seorang wanita bahawa dia dirogol dan videonya dimuat naik luahannya di wahana Tik Tok. Apabila polis melakukan siasatan, rupa-rupanya ia adalah perbuatan suka sama suka antara satu sama lain.

Sebegitu juga dengan kes suatu madrasah yang kononnya mendidik secara militan terhadap pelajarnya sehingga terjadinya kes buli di sana. Namun, apabila polis melakukan siasatan, ternyata pengadu itu membuat laporan palsu, tiada kecederaan dibuktikan dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut. Akhirnya, madrasah itu membuat keputusan untuk memfailkan saman terhadap pengadu itu.

Atas sebab itulah kita tidak perlu menjadi orang yang paling awal dalam mengikutinya dan paling pantas menyebarkannya. Jungkiran plot ini adalah sesuatu yang adakalanya tidak terjangka. Selalunya jika ia melibatkan kes jenayah terhadap orang lain, seeloknya diserahkan kepada polis dan pengadilan mahkamah. Tidak perlu kita sesuka hati mengambil posisi untuk menjadi hakim.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/656467753404874752/celoteh-peribadi-85-mengapa-saya-tidak-aktif

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now