Celoteh 95 : Coretan Untuk Pembenci Ibn Taymiyyah Dan Ibn Qoyyim Al-Jawziyyah

12 0 0
                                    

Saya faham bahawa ada orang sangat keras memusuhi Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah. Sejujurnya, saya pun bukan peminat besar kedua-dua tokoh ini, apatah lagi mengikuti aliran pemikirannya atau mazhabnya. Saya juga ada beberapa perkara yang saya berselisih pandangan dengannya.

Namun, saya melihat ada orang keterlaluan memusuhi kedua-dua ini sehingga sanggup mengatakan nukilan dari pandangan ahli ilmu yang terdahulu adalah dusta dan tidak boleh dipercayai. Bagi mereka, nukilan dalam kesemua kitab mereka tidak ada nilai kredibiliti.

Maha Suci Allah! Saya berpesan agar bertakwa kepada Allah. Janganlah sengaja menjebakkan diri dalam salah satu ciri munafik, iaitu berlebih-lebihan ketika berbalah. Adakah mereka ingin menjawab di hadapan Allah di hari akhirat nanti setelah mereka melemparkan tuduhan sebegini?

Benci mana pun terhadap kedua-dua ini jangan melupakan dan mengabaikan sanjungan para ulama lain terhadap mereka. Carilah sendiri pujian para ulama terhadap kedua-dua ini. Para ulama ini memberi sanjungan berdasarkan pengamatannya secara ilmiah lagi objektif yang bukan secara gopoh dan tulus yang bukan bermuka-muka. Mengimbau ini sudah cukup untuk menyedarkan kita agar menahan lidah daripada berkata yang tidak sepatutnya.

Sesiapa sahaja boleh membenci kedua-dua ini, tetapi realiti tentang pengakuan ulama terhadap kewibawaannya, kefahamannya, keluasan ilmunya, keteguhannya, ibadahnya, kesolehannya dan sifat-sifat murninya tidak boleh ditolak secara semberono.

Kemudian, jangan dilupakan karya mereka ini dimanfaatkan dan memberi inspirasi kepada para sarjana yang lain sesudahnya. Janganlah kerana kita membenci mereka, kita memadamkan segala kebaikan yang ada padanya. Kalau kita boleh menerima tafsir az-Zamaẖšariyy yang muᶜtazilian secara bertapis, bahkan memandang besar nilai ilmu bahasa padanya, maka mengapa tidak boleh dilakukan yang sama pada kedua-dua ini.

As-Suyūṭiyy menggelarkan Ibn Taymiyyah sebagai Šayẖ al-Islām serta terinspirasi pada karyanya yang berjudul «Naṣīḥah Ahl al-Imān Fī Rodd *Alā Manṭiq al-Yunān» dan memuji karya ini, lalu dia meringkaskannya dengan judul «Jahd al-Qorīḥah Fī Tajrīd an-Naṣīḥah». Penyebutan ini boleh dilihat dalam muqaddimah «Ṣown al-Manṭiq Wa al-Kalām *An Fann al-Manṭiq Wa al-Kalām».

Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; ahli hadis sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- mencadangkan pembacaan dua kitab karya Ibn Qoyyim al-Jawizyyah dalam memahami akidah salaf, iaitu «Ijtimā* al-Juyūš al-Islāmiyyah *Alā Ġozw al-Mu*aṭṭilah Wa al-Jahmiyyah» dan «Iẖtiṣōr aṣ-Ṣowā*iq al-Mursalah» sepertimana yang disebutkan «Darr al-Ġomām ar-Roqīq Bi Rosā^il aš-Šayẖ as-Sayyid Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq» yang dikumpulkan oleh *Abdullah bin *Abdul Qōdir at-Talīdiyy.

Cukuplah saya menukilkan dari dua tokoh ilmuwan sufi ini supaya kita semua beringat bahawa sumbangan kedua-dua tokoh ini tidak hanya pada sepihak sahaja, tetapi boleh kepada umat Islam secara umum yang mengambil manfaat daripadanya. Sekuat mana pun kebencian seseorang terhadapnya, mereka tidak dapat menepis hakikat ini kecuali bagi yang sudah terlalu membarah kebenciannya dalam jiwanya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/659437807255879680/celoteh-peribadi-95-coretan-untuk-pembenci-ibn

com/post/659437807255879680/celoteh-peribadi-95-coretan-untuk-pembenci-ibn

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now