Celoteh 111 : Keluarga Al-Ġumāriyy : Antara Naratif ASWAJA Dan Realiti

6 0 0
                                    

Saya telah menyebutkan di banyak tempat dalam memperkenalkan manhaj keluarga al-Ġumāriyy dan beberapa perkara yang berkaitan dengannya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Saya telah menyebutkan di banyak tempat dalam memperkenalkan manhaj keluarga al-Ġumāriyy dan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Sememangnya mereka semua mempamerkan keunikan yang tidak pernah ada dalam sejarah ahli bait atau mungkin sekali tidak akan ditiru bagi mana-mana generasi sesudahnya.

Saya sememangnya akan menyebutkan mereka dengan penuh penghormatan dan ketakjuban. Semoga Allah terus memelihara rasa cinta saya kepada ahli bait, para ulama dan ahli kebenaran.

Cuma, ketikamana saya memperkenalkan keluarga ini, saya selalu menyatakan bahawa arus aliran keluarga ini tidak sepertimana arus perdana mereka yang aswajaean. Keluarga ini memiliki isu mendasar yang jauh berbeza dengan manhaj, praktik dan tradisi keilmuan mereka.

Saya cakna bahawa apa yang saya lakukan ini sememangnya menyinggung aswajaean dan tidak menyenangkan mereka kerana saya seolah-olah sedang menggambarkan keluarga ini bermusuhan dengan mereka.

Mungkin akan ada yang menuduh saya ini berlebih-lebihan dalam menceritakan dapatan saya dalam rangka mencemuh aswajaean yang penuh dengan taklid buta, ketaksuban, kepincangan manhaj dan pelbagai lagi yang lain.

Sebenarnya, ia adalah realiti secara tidak langsung yang telah saya sebutkannya di pelbagai tempat yang mana saya berkongsi perolehan saya dalam pembacaan kitab-kitab mereka dan perolehan saya melalui perkongsian mereka yang rapat dengannya. Bagi yang tidak percaya, dipersilakan untuk semak fakta yang saya bentangkan dalam penulisan saya.

Walau apapun, sebagai contoh, kita lihat bagaimana *Abdul Mun*im al-Ġumāriyy; anak kepada salah seorang tokoh daripada keluarga ahli bait ini,;*Abdul *Azīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq memperkenalkan datuknya ketika mengenangkannya bersempena hari kewafatannya. Kita dapati ada dua naratif ketika berbicara tentang Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq.

Naratif yang pertama adalah penyifatan Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq sebagai seorang yang berkeahlian dalam mazhab mālikian sama ada pada usulnya dan furuknya. Dia juga dahulu seorang yang mahir uṣūl fiqh.

Apabila dia berbicara, dia akan mengemukakan apa yang menunjukkan berketerampilan kuatnya. Aḥmad al-Fuḍoyliyy; salah seorang ulama yang berkepakaran dalam uṣūl fiqh pernah menziarahi ke rumahnya di Tangier. Lalu, dia berbincang dengannya. Lantas, Muḥammad membawakan suatu permasalahan uṣūl yang menggirangkan al-Fuḍoyliyy dengan keseronokan dan ketakjuban.

Secara zahirnya, memang tidak nampak ada apa-apa masalah. Namun, *Abdul Mun*im menerangkan realitinya dengan memetik daripada penyebutan ayah saudaranya; Aḥmad dalam «Subḥah al-*Amīq» bahawa Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dahulu selalu menempelak ketaksuban mazhab dengan tempelak yang amat.

Pada masanya, ketaksuban bertebaran sama ada taksub mazhab, iaitu mālikian dan taksub kepada tarekat kesufian. Dia selalu menjauhkan diri daripada fuqaha mazhab mālikian yang bertaklid dan taksub kepada pendapat-pendapat mazhab mereka dan terjadinya beberapa perdebatan bersama mereka. Sama seperti dia menjauhkan diri daripada sebahagian orang yang taksub kepada jalan kesufian yang mana sebahagian mereka berkata bahawa tempat minumnya dalam jalan kaumnya adalah di atas kebenaran dan selainnya adalah sesat.

Daripada sini, ada dua perkara yang kita dapat peroleh. Yang pertama adalah mana-mana yang bergraduasi daripada madrasah keluarga al-Ġumāriyy atau mereka melazimi keluarga ini atau yang mengenali manhaj mereka secara mendalam dan mempraktikkannya pasti akan menyebutkan tentang seruan kepada pengamalan berasaskan sunnah, berpegang teguh kepada dalil, menjauhi ketaksuban dan mencela taklid yang keji. Apa yang disebutkan *Abdul Mun*im tentang ini sememangnya adalah apa yang disebut Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ; salah seorang murid daripada keluarga ini.

Yang kedua adalah memandangkan aswajaean secara umum tidak begitu mengambil perhatian manhaj penting ini daripada keluarga ini, mereka hanya menggambarkan bahawa keluarga ini adalah keluarga ahli bait dari kalangan ulama yang sufi yang berjuanag untuk mempertahankan aliran sufi dan melawan wahabi secara umum serta menyanggah al-Albāniyy secara khusus.

Karya-karya yang akan diperkenalkan kepada masyarakat pula adalah yang berkaitan dengan kepentingan mereka dalam membela kesufian dan bergelut dengan wahabi.

Manhaj mendasar yang besar ini seringkali diabaikan ketika membuat biografi secara ringkas tentang mereka. Mereka tidak tahu bahawa keluarga ini menyeru kepada ijtihad, berjuang untuk tajdid, tegas dalam ikutan kepada sunnah, sentiasa berpegang teguh kepada dalil meskipun menyalahi tokoh atau mazhab dan membebaskan diri daripada taklid. Dapatan ini bukan daripada saya, tetapi ada di dalam kitab mereka dan ada pada mereka yang menyerlahkan dan mewariskan pemikiran keluarga ini.

Sebab itulah sewajarnya kita menelaah karya-karya keluarga ini sambil mengamati bagaimana manhaj mereka dalam menghidupkan tradisi ilmu dan mencurahkan daya kritis mereka serta mengikuti penceritaan daripada mereka yang telah mengenalinya secara rapat.

Kalaulah Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ tidak menyebutkan perkara ini, saya pun mungkin sampai sekarang akan bersama-sama dengan orang yang hanya mengenali mereka pada nama atau hanya mengenali dengan naratif yang disebarkan oleh aswajaean.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ yang memperkenalkan saya tentang keluarga ini dan perkongsiannya menggerakkan jiwa saya untuk mengkaji lebih dalam tentang keluarga ini. Semoga Allah limpahkan keberkatan yang mencurah kepadanya sehingga hari kiamat atas kecintaanya dalam memperkenalkan manhaj ahli ilmu yang mulia kepada dunia.

Saya tidaklah mengatakan bahawa saya mengenali keluarga ini sepertimana mereka yang menjadi muridnya, teman rapatnya atau pengikutnya yang telah mendedikasikan dirinya dalam kajian tentang mereka. Akan tetapi, apa yang saya kongsikan tentang keluarga ini adalah apa yang saya peroleh melalui pembacaan karya mereka dan perkongsian daripada mereka yang rapat dengan keluarga ini.

Saya tidak membuat naratif saya sendiri dalam menceritakan keseluruhan tentang keluarga ini, khususnya dalam soal manhaj. Inilah yang diperakui dan dibawa oleh lulusan madrasah keluarga ini serta mereka yang telah memperoleh inspirasi daripada keluarga ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/662676052864335872/celoteh-peribadi-111-keluarga-al-%C4%A1um%C4%81riyy

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now