Celoteh 2

39 2 0
                                    

Minat Saya Pada Manhaj Ahli Bait : Punca, Sebab Dan Yang Berkaitan Dengan Zaydian

Pengkajian secara mendalam kepada manhaj ahli bait, khususnya zaydian yang menjadi paksi kepada manhaj tersebut antara yang saya ingin merealisasikan impian tersebut

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Pengkajian secara mendalam kepada manhaj ahli bait, khususnya zaydian yang menjadi paksi kepada manhaj tersebut antara yang saya ingin merealisasikan impian tersebut.

Ada lima faktor yang mendorong saya untuk menceburkan diri dalam kajian seperti ini dan saya merasakan kajian ini adalah perlu. Yang pertama adalah kerana saya telah mengenali salah satu keluarga ahli bait melalui jalur keluarga al-Ġumāriyy yang merupakan tokoh ilmuwan agung di era ini melalui perkongsian Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ yang salah seorang murid kebesaran bagi keluarga ini, iaitu *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adiknya; *Abdul *Azīz dan Ibrōhīm.

Setiap kali perkongsiannya, saya mendapati perasaan ketakjubannya dan penghormatannya yang besar terhadapnya. Begitu juga kesaksian muridnya yang lain atau kenalan yang rapat dengannya atau yang mendalami manhaj keluarga ini. Malah, perasaan yang sama juga saya dapati setelahmana saya membaca beberapa karya daripada mereka.

Perasaan itu juga yang diserlahkan Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ ketika menceritakan manhaj ahli bait secara umum dan yang lebih luas daripada keluarga tersebut. Oleh itu, saya bertekad untuk mempelajarinya setelahmana Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ telah berjasa kepada saya untuk memperkenalkan keluarga al-Ġumāriyy.

Mungkin sahaja ada khazanah yang bernilai daripada ahli bait selain daripada keluarga al-Ġumāriyy. Jika para pembaca mendapat manfaat yang banyak lagi menakjubkan pada keluarga al-Ġumāriyy, ini tidak menolak kemungkinan bahawa ahli bait secara umumnya ada keunikan yang sememangnya patut kita cari dan amati yang menjangkaui naratif dan tumpuan hanya pada al-Ḥabīb semata-mata.

Yang kedua adalah saya melihat beberapa nama tokoh zaydian dalam «A*lām al-Mu^allifīn az-Zaydiyyah» karya *Abdul Salām bin *Abbās al-Wajīh dan saya mendapati ahli bait padanya tidak terkalah ramainya. Dengan kata lain, ramai dari kalangan ahli bait adalah zaydian dan warisannya juga banyak dan berharga.

Sekalipun zaydian yang mana akidahnya adalah seiras dengan muᶜtazilian pada isu ketuhanan, qodariah dalam isu perbuatan hamba dan takdir serta khawarij dalam isu keabadian pelaku dosa besar dalam neraka dan begitu juga permasalahan yang lain yang menyalahi ahli sunnah, mereka menyimpan khazanah keilmuan yang agung yang tidak patut diabaikan dan diketepikan.

Sepertimana kita memanfaatkan karya az-Zamaẖšariyy dalam bidang bahasa sekalipun dia adalah muᶜtazilian, seperti itulah pada ahli bait dari zaydian. Bahkan, peninggalan zaydian juga memiliki kepelbagaian tema penulisan sama sepertimana ahli sunnah.

Tidak hairan fiqh mereka adalah muktabar di sisi institusi al-Azhar meskipun tidak muktabar pada akidahnya dan ini adalah benar kerana kebanyakan usul pada fiqhnya dekat dengan ahli sunnah. Malah, tidak hairan jika sebahagian zaydian bermazhab šāfiᶜian kerana kedekatannya.

Yang ketiga adalah sememangnya kewajipan kita untuk mengikuti ahli bait sepertimana yang Zayd bin Arqom meriwayatkan bahawa Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

أَمَّا بَعْدُ ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ : أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللَّهِ ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ وَرَغَّبَ فِيهِ ، ثُمَّ قَالَ : وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي ، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي ، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي

"Adapun sesudah itu. Wahai manusia! Sebenarnya aku adalah manusia biasa yang hampir-hampir utusan tuhanku datang, lalu aku menyahutnya. Aku meninggalkan dua bebanan pada kalian. Yang awalnya adalah kitab Allah yang padanya adalah hidayah dan cahaya. Maka, cengkamlah kitab Allah dan berpegang teguhlah dengannya" Lantas, baginda mendorong kepada kitab Allah dan menggalakkannya. Kemudian, baginda berkata: "Ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah pada ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah pada ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah pada ahli baitku". [Ṣoḥīḥ Muslim﹇no. 4552].

Bebanan yang baginda meninggalkan kepada umatnya semestinya sesuatu yang sangat penting dan tidak patut diperkecilkan. Sewajarnya kita tidak mengalpakan mana-mana peninggalan ahli bait, lebih-lebih lagi yang menyampaikannya kepada sunnah datuknya yang mulia lagi terpuji. Biarpun zaydian, janganlah sampai mereka ini dipencilkan dan disisihkan, apatah lagi dizalimi dan dianiaya.

Jika kita mengiktiraf sumbangan Muḥammad bin Ismā*īl aṣ-Ṣon*āniyy; salah seorang tokoh ilmuwan ahli bait dari zaydian adalah cukup agung sekali dalam pentas keilmuan, mengapa pula yang selebihnya diabaikan dan direndahkan?

Yang keempat adalah ahli bait selalu sahaja menjadi tokoh yang menjadi pemberat yang besar kepada aswajaean. Selalunya, apabila dibawakan kalam daripada ahli bait, mereka akan memberikan perhatian yang lebih besar berbanding yang selainnya. Sebab itulah, saya mendapati keperluan untuk mengkaji pemikiran mereka kerana itu menjadi bekalan bantuan saya ketika berinteraksi dan berhadapan dengan aswajaaean.

Yang kelima adalah apa yang menjadi manhaj berdasar kepada ahli bait sepertimana yang disebut Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ adalah yang dekat dengan salafi, iaitu beriltizam kepada sunnah, berpegang teguh kepada dalil, menjauhi taklid dan mencela ketaksuban. Pada saya, seeloknya kita mempelajari mereka yang berkongsi manhaj yang mendasar secara signifikan supaya kita ada keharmonian dan kedekatan persaudaraan serta mengikis pemisah yang ketara dalam aliran ini.

Malang sekali, apa yang disebutkan oleh Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ ini jauh berbeza dengan apa yang dibawa oleh golongan al-Ḥabīb dan para pengikutnya. Bandingkan mereka dengan keluarga al-Ġumāriyy sudah cukup. Perbezaan manhaj ini akan memberi kesan kepada tradisi keilmuan dan praktik beragama, khususnya kesufian. Saya telah mendedahkan beberapa perkara ini dalam sebahagian penulisan ini.

Saya sememangnya berharap bahawa penulisan Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ berkaitan dengan manhaj ahli bait ini sewajarnya dibaca oleh golongan al-Ḥabīb dan pengikutnya atau ia mesti dihantar ke setiap rumah mereka demi kempen kesedaran dan pendedahan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622666328288985088/celoteh-peribadi-2-minat-saya-pada-manhaj-ahli

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now