Celoteh 171 : Perlunya Merapati Sang Fajir Bagi Tujuan Dakwah

8 1 0
                                    

Dikatakan aš-Šāfi*iyy berseloka :

اوووه! هذه الصورة لا تتبع إرشادات المحتوى الخاصة بنا. لمتابعة النشر، يرجى إزالتها أو تحميل صورة أخرى.

Dikatakan aš-Šāfi*iyy berseloka :

أحب الصالحين ولست منهم # وأرجو أن أنال بهم شفاعة

وأكره من تجارته المعاصي # وإن كنا سواء في البضاعة

※Aku mencintai sang soleh, namun daku bukan daripada mereka

Ku berharap agar aku peroleh syafaat melalui mereka

Aku membenci mereka yang bergelumang dengan kemaksiatan

Meski kami pun sama pada barang dagangan※

Sebab itulah kita jangan sesuka hati menyisihkan sang fajir yang bergelumang dengan maksiat dan melayani mereka dengan bengis. Mereka ini cuma diuji oleh Allah dengan kemaksiatan atau kejahilan yang menyelubungi mereka sepertimana para agamawan diuji dengan rasa diri itu baik dan dipilih Allah.  

Kalau kita sebagai agamawan tidak suka diperlekehkan oleh golongan fajir kerana sikap pengkastaan dan layanan buruk sepanjang masa, maka agamawan juga tidak boleh sesuka hati memperlekehkan golongan fajir seolah-olah mereka ini terlalu kotor untuk didekati dan berinteraksi dengannya, apatah lagi menjauhkan mereka dari hak keberagamaan yang mereka berhak untuknya. 

Kita semua ada cabaran masing-masing, tetapi berbeza rupa syaitannya dan jenis bisikannya. Jangan sangka sebab seseorang itu tidak merokok atau tidak pernah menonton video lucah, maka dia terselamat dari musuh yang halus dan licik, apatah lagi tipu daya tuhan yang jauh lebih unggul daripada segala-galanya. Sang soleh dan sang fajir masing-masing perlu merendah diri dan sama-sama muhasabah diri.

Sang soleh perlu sedar bahawa ketaatan yang dapat mereka tumpahkan dan ibadah yang dapat mereka laksnaakan adalah rahmat daripada Allah dan anugerah-Nya. Jika dia ujub, riyak dan sombong, dikhuatiri nikmat itu akan ditarik atau dia menjadi yang lebih teruk daripada sang fajir yang dia kutuk.

Sang soleh perlu terbuka untuk merapati bagi tujuan bimbingan dan dakwah tentang keagungan nilai menjadi seorang hamba yang cekal dalam kebaikan dan setiap dalam keberagamaan yang murni. Itulah tanggungjawab yang dipikul oleh setiap mereka yang berkemampuan dan berkebolehan untuk membawa seramai yang boleh ke arah haluan ini.

Sang fajir juga perlu beringat bahawa hidup ini tidak sepatutnya dikotorkan dengan dosa dan wajib memperbaiki diri agar dapat menjadi hamba Allah yang dipilih. Oleh itu, dampingilah orang yang soleh, pelajari kebaikan daripadanya dan contohi teladan yang bermakna yang mereka tampilkan. Walaupun pahit teguranya atau kita tidak suka beberapa sikap daripada sebahagian orang yang soleh, jika ia baik, maka usah diabaikan.

Ini mengingatkan saya ketika mendekati para erotikawan kerana mereka ini walaupun mereka ini merasakan diri ini pelaku maksiat, tetapi mereka suka mengambil tahu isu agama dan ada keinginan untuk mendalami ilmu agama serta ada kesedaran yang tersisa dalam mempertahankan agama. Begitulah apabila saya berkongsi ilmu agama dan berwacana tentangnya pada mereka sepanjang merapati mereka. Namun, orang agamawan selalu sahaja menyisihkan mereka dan bersikap bengis terhadap mereka.

Mereka ini bukan perlu disisihkan hanya beralasankan perbuatan maksiat mereka, tetapi mereka perlu dibantu dan dididik untuk menjadi yang lebih baik. Mereka memerlukan dorongan untuk berubah dan kita perlu bersabar dalam berdakwah kepada mereka sama ada kerana karenah mereka atau mengambil masa yang lama untuk mereka berubah dan sedar.

Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat melihat di mata kepala saya sendiri perubahan daripada mereka dan hasil perapatan saya bersama mereka. Mereka mula cakna untuk ambil tahu dan belajar ketikamana sebelum ini mereka tidak nampak begitu minat atau tidak peduli terhadap agama mereka. 

Mereka mula mengajukan pertanyaan kepada saya tentang kemusykilan yang ada pada isu agama walaupun saya bukanlah orang yang terbaik untuk mereka dan bukanlah setara dengan mufti atau ilmuwan kenamaan yang menyerlah dengan kewibawaannya. Apabila mereka membuka perbincangan, nampak minat mendalam untuk mengkaji, peningkatan ilmunya, pertambahan pemahamannya dan luasnya capaiannya. 

Perlahan-lahan mereka menjadi progresif dan tampak kesungguhan mereka untuk belajar dan mara ke hadapan walaupun perlahan dan sebelum ini agak sukar untuk mereka berubah. Sekalipun erotikawan, tidak ada yang menghalang entusias mereka apabila ingin mempelajari agama. 

Mereka ini jika kita benar-benar tulus ingin menbentuk mereka, pasti mereka akan menjadi acuannya. Kalau sepanjang masa kita mengabaikannya hanya kerana dia terbabit dengan tontonan erotika, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mereka berubah setelah ternyata bahawa mereka ada minat untuk agama, lebih-lebih lagi kita yang sesuai menjadi orang yang berinteraksi dengannya?

Malah, kalaulah saya meninggalkan mereka sepertimana yang dilakukan para agamawan kebiasaannya melakukannya, pasti mereka akan kekal ignoran dalam agama atau mungkin lebih teruk lagi. Dikhuatiri apabila mereka ingin memahami agama, sama ada mereka akan memandai-mandai sendiri atau merujuk kepada orang yang tidak sepatutnya kerana agamawan yang mereka ingin rujuk seringkali mengabaikan hak pertanyaannya dan perbincangannya dengan mengeji dan mengutuk mereka kerana isu erotisisme pada mereka.

Kalaulah mereka terjebak ke arah ajaran sesat lagi menyeleweng disebabkan orang agamawan menyisihi mereka dan memulaukan mereka serta mengabaikan hak mereka untuk bertanya tentang agama atau mendalaminya atas alasan mereka ini pelaku maksiat yang tidak ada keberkatan atas ilmunya, maka adakah mereka ingin bertanggungjawab?

Bahkan, ada yang sanggup halau mereka dari kelas apabila didapati mereka menonton video lucah, tetapi masih memberikan ruang untuk perokok selagimana bukan di hadapan mereka dan di luar kelas walaupun diketahui bahawa perokok jauh lebih dahsyat daripada sekadar menonton video lucah! Adakah mereka akan bertanggungjawab jika mereka menjadi orang yang membenci agamawan dan terjebak kepada fahaman yang menyeleweng apabila mereka terjauh daripada pengajian manhaj yang lurus?

Saya faham jika agamawan tidak mahu tercemar namanya apabila ada merapati sebahagian orang sebegini. Akan tetapi, cubalah bayangkan kalau itu adalah adik-beradik atau keluarga kita. Adakah kita akan memutuskan hubungan dengan mereka, bermasam muka terhadap mereka, berpaling daripada sejauh-jauhnya dan tidak mahu melayani lagi?

Saya berharap para agamawan bersikap sebagai pendakwah lagi pembimbing, bukan seorang yang kedekut dan hanya tersepit di dinding mereka. Janganlah sebab kita tidak suka dalam beberapa perkara, kita mengabaikan mereka, lebih-lebih lagi jika mereka ada hak untuknya seperti hak orang yang bertanya untuk kepada ahli ilmu.

Kalaulah selama ini orang yang memusuhi agama bertanya kepada kita tentang agama, lebih-lebih lagi pertanyaan yang bebas daripada unsur provokatif dan nampak ketulusan ingin mengetahuinya, adakah kita akan mengabaikannya atas alasan mereka ini berakidah kufur, lantang dalam menentang agama dan kerap melawan orang agama? Jika mereka ini jauh lebih teruk daripada fajir sebelumnya boleh diberikan layanan yang sepatutnya, mengapa sukar sekali untuk si fajir yang lain?

Kalaulah mereka berubah atas sebab penjelasan yang kita berikan dan jawapan yang kita kemukakan, tidakkah ini adalah rahmat yang wajar disyukuri? Sebab itulah kita perlu merapati mereka kerana kita tidak tahu di mana antara mereka yang boleh berubah atau apa potensi pada mereka yang dapat kita asah untuk mereka menyerlah.

Saya sendiri pun tidak sangka bahawa erotikawan ini boleh dibentuk dan dibimbing sehingga sampai apa yang telah ceritakan di sini. Lantas, apa alasan lagi untuk tidak melaburkan sedikit usaha untuk berinteraksi, bergaul dan merapati golongan fajir yang sebahagiannya mungkin ada potensi untuk dididik dan yang kita bantu? Kalau kita membiarkannya, siapa lagi yang ingin diharapkan? 

Diri mereka sendiri yang mungkin akan membawa kepada sikap memandai-mandai atau rakan sebaya mereka yang sama-sama tidak tahu atau golongan ilmuwan sesat yang lain yang menjadi tempat pergantungan mereka sebagai alternatif kepada agamawan setelahmana mereka kecewa dengan golongan agamawan yang seringkali memberikan layanan yang cukup buruk, lebih-lebih lagi hak mereka yang berhak untuknya dicabuli oleh agamawan yang bengis?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/693716094236737536/celoteh-peribadi-171-perlunya-merapati-sang

Celoteh Peribadi Amir Kazumaحيث تعيش القصص. اكتشف الآن