Celoteh 78 : Berhenti Memuja Orang Lain

12 1 0
                                    

Salah satu eksploitasi terhadap manusia ialah seseorang menjadikan orang lain hilang harga diri sehingga mereka lenyap, lalu menjadi sebahagian diri seseorang itu. Dengan kata lain, seseorang itu menjadikan orang lain tidak mampu mengenal potensi, bakat dan kemampuan dirinya sehingga orang itu menjadi objek bagi dirinya agar memuja dirinya. Eksploitasi yang dilakukan khususnya para narkasistik ini sebenarnya telah merosakkan pemikiran dan wawasan dunia untuk sesuatu yang bermakna.

Sebab itu saya begitu benci sahabat-sahabat saya yang terlalu memuja artis-artis sama ada K-pop, Hollywood atau bola sepak sehingga mereka mengalami kecelaruan identiti sama ada mereka punya diri mereka atau mereka itu sudah menjadi identiti orang lain.

Begitu juga dengan pemujaan tokoh ilmuwan seolah-olah mereka punya kuasa sakral yang berkeramat sehingga legasi mereka tidak dapat disambung oleh sesiapa pun. Seolah-olah tiada siapa yang berhak untuk menjadi Einstein yang kedua, Netwon yang kedua, al-Buẖōriyy yang kedua, aš-Šāfi*iyy yang kedua dan lain-lain.

Mereka lebih suka memilih untuk seseorang tidak menjadi genius atau lebih genius daripada mereka yang mampu menyelesaikan permasalahan semasa yang vital buat diri mereka. Seolah-olah lebih baik biasa-biasa sahaja atau tidak mampu bersaing bagi memberi kontribusi yang optimum kepada masyarakat dan dunia.

Berhentilah memuja orang lain. Kalian punya identiti kalian. Kenapa kalian leburkannya dalam identiti mereka? Apakah kalian sememangnya dicptakan untuk menjadi objek bagi dirinya? Tidak ada kesalahan jika seseorang meniru kebaikan yang ada padanya, tetapi jika seseorang menghilangkan harga diri masing-masing sehingga jauh untuk meneroka bakat, potensi dan kemampuan dirinya lalu lebur dalam pemujaan terhadap yang lain, maka itu bukanlah dianggap sebagai mencontohi teladan.

Saya tidak akan percaya seseorang yang mendakwa dirinya tidak suka menjadi dewa pujaan sehingga dia berkata kepada peminatnya dan pengikutnya: "Berhenti memuja aku. Mahukah aku bimbing kalian agar kalian menjadi lebih hebat daripadaku atau setaraf atau hampir setaraf sehingga kalian mampu bersaing denganku?".

Jika dia benar-benar menyayangkan peminatnya dan pengikutnya, dia tidak akan membiarkan mereka hilang kecelikan dalam memperoleh bakat-bakat baginya. Kalau seorang bapa tidak membiarkan anaknya kemiskinan dalam keadaan tidak tahu bakat, potensi dan kemampuan untuk bertahan dan keluar dari belenggu tersebut serta mewarisi kedudukannya, maka sebegitu jugalah seseorang terhadap peminatnya.

Mereka yang tidak berminat untuk mencipta pelapis dan generasi yang terdidik dan celik sebenarnya itulah pengeksplotasi manusia. Mereka memperhambakan manusia untuk menjadi dewa dewi pujaan dengan menghilangkan harga diri dan identiti seseorang yang lain.

Mereka membiarkan kesengsaraan orang lain yang menjauhkan diri mereka dari memperoleh kepuasan diri mereka semata-mata keseronokan dirinya. Walaupun peminatnya dan pengikutnya seronok tergila-gila terhadapnya dengan sukarela, hilang identiti dan harga diri merupakan penyakit yang serius dan membarah membawa kepada penderitaan.

Sebab itu saya telah cuba berusaha untuk menjauhkan pemujaan orang lain terhadap saya dengan menyatakan bahawa tidak boleh sama sekali mengikuti pandangan saya melainkan seseorang mampu berfikir seperti saya dalam beragumentasi atau lebih genius daripada saya bagi pengukuhan pendapat. Saya berlepas diri dari mana-mana segala penisbahan pengikut saya yang sekadar mengikut membuta tuli.

Sekalipun mereka sudah genius, mereka mungkin tidak akan lagi kenal nama saya kerana mereka sudah mampu berdikari untuk independen dari pergantungan terhadap penghujahan saya. Jika mereka benar-benar menginginkan untuk menjadi hebat, saya akan cuba untuk membantunya semampu yang saya boleh agar mereka mampu cemerlang sesuai dengan personaliti mereka. Sekaligus menjauhkan dari unsur pemujaan terhadap diri saya. Semoga hal itu menjadi kenyataan.

Saya teringat Muḥammad Akrom Abū Ġowš ketika hari kewafatan Maḥmūd Afandiyy yang meriwayatkan kata-katanya daripada sebahagian beberapa murid yang terutama kepadanya :

إذا أنا لم أقدر على جعلكم أفضل مني في العلوم فسأكون أنا قد فشلت

"Apabila aku tidak mampu untuk menjadikan kalian lebih utama daripadaku pada segenap ilmu, maka aku telah menjadi orang yang gagal". [Rujuk ᗒ https://www.facebook.com/muhammad.abughoush/posts/pfbid02DmQuJL2LbM2Pv5Bdz9eTLCLXbtVM4wsWBMt3xWj8oz961V979z4okkWviHCc1C8vl].

Saya berharap inilah yang saya dapat berikan kepada saudara, teman, rakan dan sahabat handai. Mempunyai pengikut yang mampu berdiri sendiri sebenarnya sangat hebat dan berguna untuk diri kita sendiri. Mereka sebenarnya sangat membantu dalam saling memberikan motivasi tatkala kita jemu dan tersungkur, menampung kekurangan kita dalam sesuatu pencapaian yang kita tidak peroleh serta mempunyai rangkaian yang memberi keuntungan.

Seorang pelabur tidak sesuka hati sekadar menyambut peminat tanpa memberikan apa-apa faedah pada diri mereka pada waktu pejabat mereka. Tentu sahaja mereka mencari pelabur lain yang mampu sama-sama menjana pendapatan yang lumayan.

Atau sekurang-kurangnya mereka akan melaburkan yang lain agar suatu hari nanti mereka peroleh keuntungan besar atas pelaburan mereka terhadap tenaga seseorang yang lain. Mereka lebih suka dihormati oleh tokoh konglomerat, korporat dan bangsawan berbanding namanya disebut-sbut oleh sekadar si lekeh yang tidak punya apa-apa.

Begitu juga dalam perkara yang lain. Sangat tidak berfaedah sekadar ada seseorang yang hanya mampu tergila-gila dengan yang ada pada diri kita tetapi langsung tidak memberikan apa-apa manfaat yang berguna untuk mendorong kita ke pencapaian yang lebih ulung dari keadaan sekarang. Jika kita hanya membiarkan sekadar itu sahaja, hal itu bukan sahaja merosakkan orang lain, tetapi ia tidak memberikan apa-apa kebaikan pada diri kita.

Bimbinglah mereka agar suatu hari mereka memberi kontribusi yang hebat untuk diri kita suatu hari nanti. Jika bukan yang nyata di dunia, sekurang-kurangnya pahala di akhirat atas membantu seseorang lain atas dasar taqwa dan kebaikan.

Lebih baik nama tidak dikenali oleh kebanyakan orang biasa, tetapi dihormati dari orang kenamaan dan kebesaran. Jika tidak dikenali pun, Allah lebih mengenali kebaikan seseorang.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/655901865932947456/celoteh-peribadi-78-berhenti-memuja-orang-lain

com/post/655901865932947456/celoteh-peribadi-78-berhenti-memuja-orang-lain

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now