Celoteh 114 : Menjadi Salafi Tanpa Ibn Taymiyyah Dan Ibn al-Qoyyim

8 0 0
                                    

Antara yang membezakan saya dengan salafi yang lain adalah saya tidak menjadikan Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah sebagai tonggak dalam menjelaskan manhaj salaf. Salafi pada hari ini kelihatannya tidak boleh terpisah dengan karya mereka berdua dalam menjelaskan manhaj salaf.

Akan tetapi, saya melihat mereka lebih banyak mengambil prinsip aḏ-Ḏahabiyy dalam berinteraksi dengan naṣ-naṣ mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah. Mereka ini seumpama berlayar di atas kapal aḏ-Ḏahabiyy dengan berkaptenkan Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qoyyim.

Saya kadangkala merasa lucu sebahagian orang yang menjadi seteru saya yang melemparkan tuduhan wahabi ibn⥢taymian yang ingin dinisbahkan kepada saya, padahal saya sama sekali tidak mengambil Ibn Taymiyyah sebagai panutan dalam memahami akidah salaf.

Malah, saya telah secara jelas menyatakan penyelisihan saya terhadapnya dalam isu pemahamannya pada penafian tasybih terhadap Allah, kejisiman bagi-Nya dan sifat baharu yang tiada awal padanya yang berdiri pada zat-Nya yang mana semua ini menjadi subjek utama terhadap penentangan terhadapnya dalam isu akidah. Apatah lagi ingin menjadikan Muḥammad bin *Abdul Wahhāb sebagai paksi perjuangan saya.

Saya bersyukur kepada Allah yang melimpahkan bantuan kepada saya bahawa saya tidak berhajat kepada Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah dan tokoh salafi yang lain yang terkebelangan untuk menegakkan manhaj salaf, khususnya dalam isu interaksi dengan sifat Allah.

Setiap kali saya ingin mengutarakan hujah saya, saya akan membawkan terus daripada kitab salaf untuk membuktikan pegangan saya dan ikutan saya. Jika saya ingin mengutip dari kalam Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qoyyim, itu sekadar penjelas tambahan sahaja. Tanpa kedua-duanya, ia tetap tidak menjejaskan akar penghujahan saya.

Muḥammad al-Albāniyy pernah mengatakan bahawa sesiapa yang tidak membaca kitab Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qoyyim, nanti akan menjadi tersesat. Saya katakan bahawa sesiapa -tanpa mengira sama ada ašᶜarian atau salafi- yang tidak membaca karya-karya salaf , khususnya dalam penentangan terhadap jahmian seperti «ar-Rodd *Alā al-Jahmiyyah Wa az-Zanādiqoh» karya Aḥmad bin Ḥanbal, «as-Sunnah» karya *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal, «as-Sunnah» karya Abū Bakr al-H̱ollāl, «H̱olq Af*āl al-*Ibād» karya al-Buẖōriyy, «al-Iẖtilāf Fī al-Lafẓ» karya Ibn Qutaybah, «ar-Rodd *Alā al-Jahmiyyah» dan «an-Naqḍ *Alā al-Marīsiyy» yang kedua-duanya karya Abū Sa*īd ad-Dārimiyy serta «at-Tabṣīr Fī Ma*ālim ad-Dīn» karya Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy atau karya yang mengumpulkan kalam salaf seperti «al-*Uluww Li al-*Aliyy al-Ġoffār» karya aḏ-Ḏahabiyy dan «Ijtimā* al-Juyūš al-Islāmiyyah *Alā Ḥarb al-Mu*aṭṭilah Wa al-Jahmiyyah» karya Ibn Qoyyim al-Jawziyyah, pasti akan terdedah kepada penyimpangan.

Saya sentiasa sahaja melihat yang mana-mana sahaja polemik tentang isu sifat Allah adalah kerana kekontangan dalam merujuk karya yang telah disebutkan ini. Jika daripada ašᶜarian, mereka akan menyimpang dan berdelusi. Jika daripada pihak salafi, mereka tidak akan dapat mengutarakan penghujahan yang baik kerana tidak cakna dasar yang menjadi sandaran dalam pegangan salaf.

Sebab itulah saya sentiasa menyatakan bahawa untuk menjadi salafi, khususnya dalam isu sifat Allah, tidak semestinya perlu menjadikan Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah sebagai kiblat. Cukuplah dia berpada dengan apa yang telah terbentang dalam karya salaf. Selebihnya akan membawa kepada keyakinan yang utuh, kelurusan kefahaman dan penjelasan yang mapan.

Saya telah membuktikannya di pelbagai penulisan. Bacalah dan amatilah dengan saksama jika sesiapa yang meragui dakwaan saya bahawa salafi sebenarnya tidak berhajatkan karya Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah sebagai batu asas dalam memahami salaf.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/663151111364018176/celoteh-peribadi-114-menjadi-salafi-tanpa-ibn

com/post/663151111364018176/celoteh-peribadi-114-menjadi-salafi-tanpa-ibn

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now